Najib Razak, Arul Kanda Mengaku Tidak Bersalah Pinda Laporan Audit 1MDB

Hadi Azmi & Ali Nufael
2018.12.12
Kuala Lumpur
181212-MY-najib-620.jpg Bekas perdana menteri Najib Razak diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Mahkamah Kuala Lumpur, Malaysia, 12 Disember, 2018.
S.Mahfuz/BeritaBenar

Bekas perdana menteri Malaysia, Najib Razak dan bekas ketua pegawai eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy mengaku tidak bersalah atas tuduhan meminda laporan audit 1MDB di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu.

Najib yang sebelum ini dihadapkan dengan 38 pertuduhan lain berkait skandal tersebut, dituduh menyalahguna kedudukannya sebagai perdana menteri dengan mengarahkan laporan akhir audit 1MDB yang sedang disediakan untuk dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) antara 22 dan 26 Februari 2016.

Arahan itu bagi mengelakkan Najib dikenakan tindakan undang-undang berhubung skandal 1MDB.

Najib yang tiba di mahkamah bersama anaknya, Norashman, kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan.

“Pihak mahkamah membenarkan jaminan sebanyak 500,000 ringgit yang perlu dibayar hari ini,” kata hakim Azura Alwi yang turut menambah jaminan itu dikeluarkan dengan seorang penjamin.

Jumlah wang jaminan tersebut ditentukan berikutan bantahan oleh peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah terhadap cadangan pendakwa utama, Gopal Sri Ram, yang memohon supaya wang jaminan ditetapkan pada RM1 juta.

Shafee berhujah anak guamnya telah membayar sebanyak RM5.5 juta kepada mahkamah sejak pertuduhan pertama pada 4 Julai dan mencadangkan tiada jaminan lanjutan dikenakan.

"Agak kejam sekiranya Yang Arif kenakan jaminan tambahan," kata Shafee.

Bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Arul Kanda tiba di Mahkamah Kuala Lumpur, Malaysia, 12 Disember, 2018. S.Mahfuz/BeritaBenar
Bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Arul Kanda tiba di Mahkamah Kuala Lumpur, Malaysia, 12 Disember, 2018. S.Mahfuz/BeritaBenar

Tambah beliau, pertuduhan terhadap anak guamnya dan seorang lagi tertuduh, Arul Kanda adalah bagi kesalahan sama. Beliau turut mempersoalkan perbezaan jumlah jaminan antara kedua-duanya.

Sri Ram dalam hujah balasnya berkata Najib merupakan pesalah utama manakala ini pertuduhan pertama bagi Arul.

"Pesalah utama selalunya dilayan dengan cara berbeza daripada rakan subahat. Hakikat bahawa dia telah dituduh sebelum ini tidak harus dijadikan keistimewaan," jelas Sri Ram.

Terdahulu, Arul yang didakwa bersubahat dengan Najib meminda laporan audit 1MDB dibebaskan dengan ikat jamin RM500,000 dengan seorang penjamin di kamar lain oleh Hakim Rozina Ayob.

Peguamnya, N. Sivananthan, tidak membantah jumlah jaminan yang ditetapkan tetapi memohon mahkamah membenarkan anak guamnya itu membayar melalui ansuran dua kali sebanyak RM250,000 pada Rabu dan Khamis.

Sivananthan memberitahu mahkamah anak guamnya itu kini sedang menganggur.

"Dia menganggur sejak Mei, Yang Arif."

Bagaimanapun, Hakim Rozina tetap memerintahkan wang ikat jamin dibayar penuh pada hari yang sama.

"Tertuduh juga perlu menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sehingga kes berakhir."

Hakim Azura dan Hakim Rozina bersetuju kedua-dua kes disebut semula pada 4 Januari bagi membolehkan Najib dan Arul dibicarakan  bersama dan kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Ketika ditemui pemberita di lobi mahkamah, Shafee berkata tuduhan terhadap anak guamnya secara khusus merujuk kepada arahan pindaan ke atas draf laporan audit 1MDB. Justeru, ia tidak seharusnya difahami sebagai meminda kerana dokumen yang dimaksudkan bukanlah dokumen akhir ketika kesalahan yang didakwa berlaku.

"Ia bukan laporan muktamad, ia draf laporan.

"Beberapa hari lepas, dakwaan mengatakan beliau meminda, sekarang pertuduhan bersetuju yang ini adalah dakwaan bahawa beliau mengarahkan perkara-perkara tertentu semasa laporan sedang didraf," kata Shafee.

Dakwaan pindaan itu mendapat perhatian umum apabila Ketua Audit Negara Madinah Mohamad pada 25 November mendedahkan beberapa perenggan laporan itu dipinda atas arahan Najib.

Susulan pendedahan Madinah itu, beberapa individu menafikan terlibat dalam pindaan berkenaan termasuk bekas ketua audit negara, Ambrin Buang.

Ambrin yang disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selama tujuh jam pada 5 Disember, menegaskan tiada pindaan dalam laporan audit 1MDB yang dibentangkan di Parlimen pada 2016.

Madinah kemudiannya mempertahankan dakwaannya dan berkata beliau telah mengemukakan semua bukti serta memberi penjelasan selama tiga jam kepada PAC di Parlimen dua minggu lepas.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.