Follow us

Mahkamah Tinggi Malaysia Ketepikan Hukuman Sebatan Terhadap Pelarian Rohingya

Hadi Azmi
Kuala Lumpur
2020-07-22
E-mel
Komen
Share
Pelarian Rohingya memakai pelitup muka dan mengekalkan penjarakan sosial susulan penularan COVID-19 sedang menunggu untuk menerima barangan daripada sukarelawan di Kuala Lumpur, 7 April 2020.
Pelarian Rohingya memakai pelitup muka dan mengekalkan penjarakan sosial susulan penularan COVID-19 sedang menunggu untuk menerima barangan daripada sukarelawan di Kuala Lumpur, 7 April 2020.
Reuters

Mahkamah Tinggi di Kedah pada Rabu mengenepikan hukuman sebatan terhadap 27 pelarian Rohingya yang sebelum ini didapati bersalah kerana memasuki negara secara haram pada awal tahun ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Alor Setar Arik Sanusi membuat keputusan itu selepas mendengar hujah pembelaan dan pendakwaan dalam prosiding tiga jam yang berakhir pada 12.30 tengah hari.

Peguam Collin Andrew berkata hakim itu mengiktiraf status Rohingya sebagai pelarian dan turut mengambil maklum situasi di Wilayah Rakhine, Myanmar dalam penghakiman beliau.

“Mereka ini adalah pelarian Rohingya yang memerlukan perlindungan antarabangsa kerana penindasan yang dihadapi mereka.

“Oleh kerana itu dan selari dengan prinsip antarabangsa bahawa mereka ini tidak boleh kembali ke negara asal, mahkamah mengambil maklum tentang situasi di Wilayah Rakhine,” kata Andrew yang memetik kata-kata hakim berkenaan.

Selain itu, Arik berkata pelarian Rohingya bukanlah pesalah tegar atau ganas maka adalah tidak berperikemanusiaan untuk menghukum mereka dengan sebatan.

“Hakim Arik berkata individu terbabit juga berdaftar dengan UNHCR (Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian) sebagai pelarian maka hukuman sebatan hanya akan menambah kesengsaraan mereka,” kata Andrew kepada BeritaBenar.

Beliau berkata hakim itu turut memerintahkan enam remaja Rohingya berumur 17 tahun yang kini menjalani hukuman penjara tujuh bulan di Kedah diserahkan kepada UNHCR selepas mereka selesai menjalani hukuman pada 27 Julai ini.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan Majlis Peguam turut menghantar wakil masing-masing sebagai pemerhati pada prosiding itu.

Kumpulan pelarian Rohingya itu pada mulanya didakwa kerana masuki negara secara haram di bawah Akta Imigresen pada 23 Mac lepas dan pada 23 Jun, mereka telah mengaku bersalah sebelum dijatuhi hukuman pada hari yang sama.

Mengikut akta itu, jika didapati bersalah, seseorang boleh dijatuhi hukuman denda atau penjara tidak melebihi lima tahun dan sebatan tidak melebihi enam kali.

Andrew berkata dalam penghakimannya, hakim itu berkata hukuman sebatan dalam kes terdahulu hanya membabitkan mereka yang bertindak ganas, pesalah tegar atau yang mendatangkan ancaman terhadap ketenteraman awam dan pelarian Rohingya tidak memenuhi kriteria yang dinyatakan.

Menurut Andrew, kumpulan pelarian Rohingya itu tidak diwakili peguam ketika mereka mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.

"Saya memfailkan permohonan rayuan pada 6 Julai selepas mengetahui tentang hukuman tersebut," kata Andrew merujuk kepada hukuman penjara dan sebatan yang dijatuhkan terhadap mereka.

Keputusan yang tepat

Mengulas keputusan hakim itu pada Rabu, Pesuruhjaya SUHAKAM Jerald Joseph memberitahu BeritaBenar bahawa ia adalah keputusan yang tepat.

“Ini jelas merupakan berita baik dan tepat buat pelarian, hakim juga mengakui bahawa mereka adalah pelarian dan prihatin dengan keadaan mereka," katanya.

Beliau bagaimanapun mempersoalkan keputusan pihak berkuasa dalam menangani masalah itu melalui proses kehakiman dan bukan melalui cara biasa Malaysia menangani isu pelarian iaitu menahan mereka di depot imigresen sementara menunggu dokumentasi dan pendaftaran dengan UNHCR.

"Itu adalah perkara yang paling logik untuk dilakukan kerana kita tidak dapat mengusir mereka, tidak dapat mengirim mereka kembali ke Myanmar dan juga tidak dapat mengirim mereka kembali ke Bangladesh.  Jadi mengapa tidak melakukan prosedur yang sama?” soal Joseph.

Kumpulan hak asasi manusia Amnesty International dalam satu kenyataan pada Rabu menyambut baik berita itu namun meminta Malaysia membebaskan semua pelarian Rohingya yang dipenjara, selain berkata ia tidak mempunyai sebab yang kukuh untuk menahan mereka di tengah-tengah penularan pandemik global COVID-19.

"Bahkan sebelum pandemik itu, penahanan untuk tujuan imigresen hanya diizinkan dalam keadaan yang sangat luar biasa. Dalam krisis kesihatan awam global sekarang ini, penahanan berkaitan imigresen tidak dapat dibenarkan,” kata Penyelidik Amnesty International Malaysia Rachel Chhoa-Howard.

Sementara itu, kumpulan advokasi Human Rights Watch (HRW) dalam satu kenyataan meminta pihak berkuasa Malaysia menghentikan pendakwaan terhadap pelarian Rohingya yang memasuki negara secara haram dan memastikan mereka dilindungi selaras dengan undang-undang antarabangsa.

Timbalan Pengarah Asia HRW Phil Robertson berkata hukuman yang dijatuhkan terhadap pelarian Rohingya adalah kejam dan merupakan satu bentuk penyeksaan di bawah undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.

"Malaysia secara tidak sah memperlakukan mereka seperti penjenayah, mereka adalah orang yang melarikan diri daripada kekejaman di Myanmar. Rohingya yang tiba dengan kapal harus dianggap sebagai pelarian yang memiliki hak untuk mendapat perlindungan berdasarkan undang-undang antarabangsa,” kata Robertson.

Malaysia tidak menjadi ahli dalam Konvensyen Pelarian 1951 atau Protokolnya dan pada masa ini, kerajaan tidak mempunyai kerangka perundangan atau pentadbiran untuk menangani pelarian.

Sebaliknya, setiap orang yang memasuki negara ini secara haram dikumpulkan dalam satu kategori iaitu sebagai pendatang tanpa izin berdasarkan undang-undang Malaysia.

Pada Selasa, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia menahan 25 pendatang tanpa izin Rohingya di sebuah rumah transit yang dikawal oleh sindiket pemerdagangan manusia di Langkawi beberapa jam selepas mereka tiba dengan menaiki sebuah kapal dari Cox Bazar. Turut ditahan dua penyeludup etnik Rohingya yang cuba memberi rasuah kepada pihak berkuasa untuk membebaskan mereka.

Malaysia sebelum ini menyatakan bahawa negara itu tidak akan menerima pelarian Rohingya lagi dan merancang menghantar 269 orang yang mendarat di Langkawi pada awal bulan lepas kembali ke laut selepas kapal mereka diperbaiki. Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bagaimanapun menafikan perkara itu ketika menjawab soalan di Parlimen minggu lepas.

"Kerajaan tidak pernah merancang untuk menghantar pendatang tanpa izin Rohingya kembali ke laut terbuka," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan yang diajukan dalam aturan mesyuarat Parlimen minggu lepas.

Nisha David di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada artikel ini

Lihat Laman Penuh