Malaysia Telah Minta Bantuan Interpol Cari Jho Low

Hata Wahari
2017.10.23
Kuala Lumpur
171023-low-620.jpg Model Gigi Hadid menyapa mesra rakyat Malaysia, Low Taek Jho, di sebuah majlis amal di Bandaraya New York, 20 Okt 2014.
AFP

Kerajaan Malaysia telah memohon bantuan Pertubuhan Polis Antarabangsa (Interpol) bagi mengesan Low Taek Jho atau Jho Low, yang dipercayai terlibat dalam skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), menurut Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada Isnin.

Ahmad Zahid Hamid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata bagaimanapun polis Malaysia belum mendapat sebarang maklum balas daripada Interpol.

“Polis telah mengemukakan kepada Interpol di manakah orang (Jho Low) seperti yang ditanya oleh Menteri Besar Selangor, Azmin Ali, tetapi masih belum ada maklumat,” katanya pada hari pertama persidangan Dewan Rakyat yang berlangsung dari 23 Okt hingga 30 Nov.

Ahmad Zahid berkata beliau cukup yakin bahawa Interpol telah menjalankan tugas dengan profesional.

"Tapi kita yakin usaha yang dilakukan oleh beberapa pihak di peringkat antarabangsa, terutamanya agensi perisikan, telah dimuktamadkan dan kita yakin bahawa kes itu telah tidak lagi relevan kecuali dibangkitkan oleh ahli politik yang tidak pernah puas hati mengenai kes ini." tegasnya dalam nada memerli Azmin.

Azmin telah menyoal sama ada polis telah mengemukakan permohonan kepada Interpol untuk mengesan Jho Low bagi menjawab pelbagai soalan berkaitan skandal kewangan 1MDB.

Ahmad Zahid juga berkata Presiden Interpol yang baharu ialah Timbalan Menteri Keselamatan Negara China, Meng Hong Wei, yang telah dipilih pada sidang di Bali hujung tahun lalu.

Menerusi jawapan bertulis di Parlimen pula, kementerian itu menyatakan bahawa Interpol juga gagal mengesan dan menentukan lokasi mereka yang terbabit dalam 1MDB untuk disoal siasat.

Menurut jawapan itu, selain Jho Low, Interpol turut memburu bekas eksekutif kanan 1MDB iaitu Casey Tang Keng Chee dan Jasmine Loo Ai Swan, Pengarah SRC International Nik Faisal Ariff Kamil dan Pengurus Deutsche Bank, Yusof Annuar Yaacob.

1MDB, dana kendalian Malaysia itu dibebani hutang dan menjadi sasaran siasatan pengubahan wang di sekurang-kurangnya 12 negara serta dikaitkan dengan tuduhan rasuah yang membelenggui Najib, namun beliau telah menafikan sebarang salah laku.

Sehingga kini, kedudukan individu yang terpalit dengan skandal 1MDB tidak diketahui walaupun beliau telah dinamakan dalam saman sitaan Amerika Syarikat (AS) dan pendakwa raya Singapura.

Azmin, pada 14 Ogos tahun ini, telah memfailkan permohonan menuntut satu perintah mandamus yang mengarahkan ketua polis negara menangkap dan membawa Jho Low di hadapan majistret Malaysia bagi menghadapi pertuduhan jenayah mengikut Seksyen 409 dan 420 atau sebarang kesalahan lain.

Beliau memberi alasan bahawa Jho Low telah melakukan kesalahan seperti pecah amanah serta penipuan sehingga menyebabkan syarikat 1MDB mengalami kerugian dan pihak ketiga mendapat keuntungan secara salah.

Bagaimanapun, permohonan itu ditolak oleh Hakim Mahkamah Tinggi Hanipah Farikullah pada 3 Okt lepas atas alasan tiada merit.

Azmin kemudian memfailkan rayuan terhadap keputusan itu menerusi firma guaman Tetuan Daim & Gamany di Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada 6 Okt.

1MDB terus menjadi pertikaian di Dewan Rakyat apabila Speakernya, Pandikar Amin Mulia terus menolak soalan yang dikemukakan anggota Parlimen berkaitan syarikat itu selepas menolak 10 soalan lisan oleh pembangkang pada persidangan dewan.

Tindakan sama turut dilakukan pada persidangan Dewan Rakyat Julai lepas apabila Pandikar Amin menolak 30 soalan berkaitan 1MDB.

Ketua Pembangkang Wan Azizah Wan Ismail berkata sehubungan itu, anggota Parlimen telah mengemukakan  usul mengikut Peraturan 99 Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat bagi menyemak dan menentang keputusan Speaker.

“Menurut Peraturan 99,  memadai dengan usul bersendiri seorang ahli, namun kami telah mengemukakan usul bersendiri itu dengan ditandatangani oleh lebih daripada 60 ahli parlimen pembangkang yang merangkumi Parti Keadilan Rakyat, DAP, Amanah, PPBM, Warisan dan PAS,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, Wan Azizah berkata usul itu turut ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat tanpa alasan.

Wan Azizah menegaskan bahawa tindakan Pandikar Amin itu merupakan usaha terkini kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Najib Razak untuk menyembunyikan dan menggelapkan situasi sebenar 1MDB daripada diketahui umum.

Dalam permohonan mahkamah, Jabatan Kehakiman AS telah mendakwa antara 2009 dan 2004, "pelbagai individu, termasuk pegawai awam dan rakan-rakan mereka, telah bersekongkol untuk mengalihkan berbilion-bilion dolar daripada 1MDB melalui pelbagai cara."

Nama Jho Low juga disebut dalam dokumen tersebut yang menyatakan satu rangkaian pengalihan dana daripada 1MDB bermula pada September 2009, sejurus selepas penubuhan 1MDB.

Menurut dokumen berkenaan, bagi tempoh antara 2009 dan 2011, atas alasan kononnya untuk melabur dalam usaha sama  1MDB dan PetroSaudi International, sebuah syarikat pengekstrakan mineral swasta Arab Saudi, pegawai-pegawai 1MDB dan individu-individu lain telah mengatur pemindahan lebih US$1 bilion daripada 1MDB ke akaun Bank Swiss yang dibuka atas nama Good Star Limited.

“Akaun Good Star tidak dimiliki oleh PetroSaudi atau usaha sama itu, tetapi oleh Low Taek Jho (alias Jho Low), seorang rakyat Malaysia yang tidak mempunyai kedudukan rasmi dalam 1MDB tetapi terlibat dalam mewujudkannya dan menjalankan kawalan yang signifikan terhadap urusannya,” kata dokumen itu.

Dokumen terbabit juga cuba memperjelas bagaimana rumitnya cara Low didakwa mengubah lebih US$400 juta dana yang disalah guna daripada 1MDB menerusi akaun Good Star ke AS, dan membeli beberapa aset yang kemudian dirampas oleh AS. Ini termasuk L'Ermitage Hotel di Beverly Hills yang dibeli dengan harga lebih US$44 juta, sebuah hartanah di Beverly Hills bernilai US$17 juta dan EMI Music Publishing yang dibeli lebih US$106 juta.

Pengambilalihan itu, yang berlaku dalam empat fasa, membabitkan hartanah di New York dan London serta jet yang dibeli dengan harga US$35 juta, kata dokumen berkenaan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.