Penganalisis: Keputusan UMNO tidak tanding dua kerusi tertinggi beri kestabilan kepada kerajaan

Iman Muttaqin Yusof dan Noah Lee
2023.01.17
Kuala Lumpur
Penganalisis: Keputusan UMNO tidak tanding dua kerusi tertinggi beri kestabilan kepada kerajaan Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, 13 Jan 2023
S. Mahfuz/BenarNews

Keputusan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) untuk tidak mempertanding dua jawatan tertinggi dalam pemilihan Mei depan akan memberi kestabilan kepada Kerajaan Perpaduan, kata penganalisis pada Selasa namun memberi amaran bahawa ia bakal menimbulkan kemarahan dalam kalangan ahli dan melemahkan lagi parti itu.

Resolusi itu menyaksikan jawatan Presiden UMNO kekal dipegang oleh Ahmad Zahid Hamidi yang bertanggungjawab membawa parti tersebut bekerjasama dengan Anwar Ibrahim bagi membentuk kerajaan. Bagaimanapun, ia turut menyebabkan kumpulan dalam UMNO yang tidak menyokong langkah itu berasa tidak puas hati dengan apa yang disifatkan mereka sebagai tidak demokratik.

“Dari satu sudut, Ahmad Zahid merupakan individu utama yang membawa kepada penubuhan Kerajaan Perpaduan. Walaupun berdepan reaksi negatif pemimpin lain seperti Hishammuddin (Hussein), Ahmad Zahid tetap meneruskan rancangan menubuhkan Kerajaan Perpaduan. Sekiranya berlaku peralihan kuasa kepada kem satu lagi (Hishammuddin, Ismail Sabri Yaakob), ia mungkin membuatkan UMNO keluar daripada Kerajaan Perpaduan,” kata Syaza Shukri, Penolong Profesor Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Menurut Syaza, Ahmad Zahid merupakan individu yang mendapat manfaat paling besar daripada penubuhan Kerajaan Perpaduan dan ia tidak akan berlaku tanpa beliau serta UMNO.

Hafidzi Razali, Pengarah Bersekutu agensi perundingan risiko politik BowerGroupAsia, berkongsi pandangan serupa.

“Pengaruh Ahmad Zahid kekal signifikan walaupun ketika parti itu kalah. Ia membolehkan Ahmad Zahid kekal berkuasa untuk sekurang-kurangnya tiga tahun lagi dan ini memastikan beliau kekal relevan dalam UMNO dan Kerajaan Perpaduan. Jawatan Presiden-Timbalan Presiden itu datang dalam satu pakej untuk kelangsungan politik mereka,” katanya kepada BenarNews.

Beliau berkata kestabilan dalam UMNO hanya mempunyai kesan terhadap kestabilan Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar selagi Ahmad Zahid berpendapat faedah yang diperoleh melebihi risiko.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 Malaysia, UMNO dan Barisan Nasional hanya mampu memenangi 30 daripada 178 kerusi Parlimen yang ditandingi manakala Pakatan Harapan (PH) pimpinan Anwar mendapat 82 kerusi. Keputusan itu menyaksikan Anwar perlu bekerjasama dengan UMNO bagi membolehkan beliau membentuk kerajaan.

Selepas berjaya menubuhkan kerajaan dengan bantuan UMNO, Anwar menamakan Ahmad Zahid dan Fadillah Yusof dari blok Borneo sebagai Timbalan Perdana Menteri. Beliau turut memberikan enam jawatan dalam Kabinetnya kepada UMNO, termasuk beberapa portfolio penting.

Tindakan Anwar melantik Ahmad Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri bagaimanapun mengundang kritikan banyak pihak kerana Presiden UMNO itu sedang berdepan 47 pertuduhan jenayah di mahkamah.

Menjunjung titah Agong

Mohamad Hasan, Timbalan Ahmad Zahid, memberitahu para perwakilan di Perhimpunan Agung UMNO yang berlangsung selama empat hari minggu lepas bahawa keputusan membawa parti itu untuk bekerjasama dengan PH membentuk kerajaan adalah bagi mematuhi titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah yang mahukan sebuah Kerajaan Perpaduan dibentuk.

Mohamad berkata susulan kekalahan UMNO dalam pilihan raya umum November lepas, keputusan terburuk pernah direkodkan parti itu sejak negara merdeka, ia merupakan satu rezeki buat UMNO kerana masih dapat berada dalam kerajaan dan menyandang beberapa jawatan penting.

Mohamad, yang juga Menteri Pertahanan, juga berkata kerjasama dengan PH pimpinan Anwar merupakan langkah terbaik buat UMNO berbanding kerjasama dengan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin Yassin kerana PH tidak bermuka-muka. Selain itu, beliau berkata UMNO tidak menyertai PH sebaliknya hanya menjalin kerjasama bagi mewujudkan kestabilan dalam kerajaan dan membawa Malaysia kembali kepada kesederhanaan.

“Lebih mudah untuk Anwar sekiranya Ahmad Zahid dan Mohamad kekal memegang jawatan tertinggi (dalam UMNO). Walaupun Khairy berkata UMNO akan kekal bekerjasama dengan PH sekiranya dia dilantik menjadi Presiden, ia masih satu ketidakpastian buat Anwar,” kata Lau Zhe Wei, seorang lagi penganalisis politik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Beliau merujuk kepada bekas Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin yang dikatakan adalah antara pencabar Ahmad Zahid bagi jawatan Presiden parti itu sekiranya ia dipertanding.

Katanya kegagalan UMNO mempertanding kedua-dua kerusi utama menunjukkan parti itu tidak membenarkan proses demokrasi berlaku.

“Jika kita bercakap dari sudut demokrasi, ia satu tindakan yang tidak demokratik kerana tidak memberi peluang kepada ahli untuk mencabar dua jawatan tersebut. Ia tidak elok buat parti dari segi itu,” kata Lau kepada BenarNews.

Bekas Naib Presiden UMNO Hishammuddin turut menyatakan kesediaan bertanding merebut jawatan utama pada pemilihan parti yang akan diadakan tidak lama lagi.

“Kita kena tunggu keputusan mesyuarat Perhimpunan Agung UMNO kali ini dan sekiranya keputusan ada pemilihan, saya sendiri tidak keberatan untuk memikirkan untuk bertanding,” katanya kepada pemberita selepas Ahmad Zahid selesai menyampaikan ucapan dasar presiden di perhimpunan itu.

Perhimpunan itu turut menyaksikan perwakilan pada Sabtu meluluskan usul jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertanding dalam pemilihan parti akan datang.

Sejurus sebelum undian, Khairy mendakwa terdapat cubaan untuk mempengaruhi keputusan supaya usul itu diluluskan dan menggesa perwakilan supaya tidak membenarkan perkara sedemikian berlaku.

“Saya merayu kepada perwakilan yang ada di dalam dewan, kita jangan biarkan usul ini lulus terutamanya usul tiada pertandingan bagi jawatan nombor satu dan dua parti. Kita bagi perwakilan di bahagian kebebasan untuk memilih pucuk pimpinan parti akan datang. Siapa menang akan mendapat mandat penuh daripada parti. Siapa menang kita akan sokong dan ketepikan perbezaan selepas pemilihan. Ini adalah budaya kita dalam UMNO,” katanya dalam hantaran di media sosial.

Ahmad Zahid pula berkata keputusan itu muktamad kerana dibuat pada Perhimpunan Agung UMNO yang merupakan badan pembuat keputusan tertinggi dan dilakukan mengikut perlembagaan parti.

Bagaimanapun, James Chin, Profesor Kajian Asia di Universiti Tasmania berkata keputusan itu masih boleh dicabar melalui beberapa kaedah.

“Walaupun parti telah membuat keputusan secara konsensus dan menunjukkan UMNO telah bersatu, sesetengah ahlinya masih tidak gembira dengan ketetapan berkenaan.

“Sama ada mereka akan membuat aduan secara rasmi kepada Pendaftar Pertubuhan atau mereka mendiamkan diri. Sekiranya mereka berdiam diri maka ia adalah kejayaan buat Ahmad Zahid tetapi adalah mustahil untuk mereka diam kerana sesetengah ahli memang tidak gembira dengan keputusan itu,” katanya kepada BenarNews.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.