Thailand, BRN bakal sambung rundingan damai secara bersemuka bulan depan

Mariyam Ahmad dan Muzliza Mustafa
2022.07.11
Pattani, Thailand, dan Kuala Lumpur
Thailand, BRN bakal sambung rundingan damai secara bersemuka bulan depan Seorang wanita berjalan di sebuah pasar di Pattani, sebuah wilayah di Selatan Thailand, 16 Mac 2019.
Reuters

Rundingan damai secara bersemuka antara kerajaan Thailand dan pejuang pemisah Selatan Thailand akan bersambung di Kuala Lumpur pada awal Ogos depan, kata para pegawai Thailand dan ketua perunding kumpulan pemberontak BRN pada Isnin.

Para pegawai yang mewakili Panel Dialog Damai Thailand dan Barisan Revolusi Nasional (BRN) telah bertemu di Putrajaya minggu lepas untuk membincangkan prosedur bagi rundingan damai bulan depan yang dipelopori oleh Malaysia serta langkah menghentikan keganasan sepanjang tempoh Buddhist Lent, yang bermula dari 14 Julai hingga 10 Okt, kata Setiausaha bagi panel Thailand Jeneral Thira Daehwa.

“Kedua-dua rakan dialog bersetuju menetapkan rundingan delegasi penuh ke-5 pada 1 dan 2 Ogos di Malaysia. Panel dialog Thailand akan diketuai oleh Jeneral Wanlop Rugsanaoh manakala BRN oleh Ustaz Anas Abdulrahman,” menurut Thira dalam satu kenyataan.

Anas Abdulrahman, keua perunding BRN yang juga dikenali sebagai Hipni Mareh, turut mengesahkan tarikh itu kepada BenarNews.

Pusingan terakhir rundingan damai secara bersemuka antara kedua-dua pihak berlangsung di sebuah hotel berhampiran ibu kota Malaysia dar 31 Mac hingga 1 April lepas.

Mereka telah menghasilkan Inisiatif Damai Ramadan yang menyaksikan pejuang pemisah BRN dan pasukan keselamatan Thailand bersetuju menghentikan keganasan di kawasan sempadan di selatan Thailand sepanjang bulan puasa yang dianggap suci oleh umat Islam sehingga pertengahan bulan Mei. Selain itu, buat pertama kalinya, pemberontak tidak bersenjata dibenarkan menziarahi keluarga mereka sepanjang tempoh itu.

Cadangan bagi menghentikan keganasan sepanjang Buddhist Lent adalah tercetus daripada Inisiatif Damai Ramadan dan jika berjaya, akan membolehkan sami Buddha melakukan amalan keagamaan mereka selama tiga bulan tanpa gangguan, kata Rukchart Suwan, Presiden Buddhists for Peace, sebuah organisasi yang berpangkalan di wilayah Yala.

“Bagi menunjukkan pengiktirafan terhadap kepelbagaian kepercayaan dan budaya di Selatan Thailand, diharapkan kedua-dua pihak membincangkan isu mengenai Buddhist Lent yang damai dari 14 Julai hingga 10 Okt 2022,” katanya.

Anas yang mewakili BRN memaklumkan BenarNews bahawa cadangan itu akan dibincangkan paa bulan Ogos.

“Merujuk kepada langkah mengurangkan tindakan, ia perlu berdasarkan persetujuan bersama di meja rundingan selaras dengan norma-norma, kaedah dan mekanisme gencatan senjata,” katanya.

“Ini perlu dibincangkan oleh pasukan pemantauan bersama BRN dan kerajaan Thailand, kawasan yang spesifik dan jelas, garis masa serta penglibatan pihak ketiga dan sebagainya.”

Sementara itu, satu lagi kumpulan pemisah iaitu Pertubuhan Pembebasan Bersatu Patani (PULO), pada akhir bulan lepas meminta untuk dibenarkan menyertai rundingan damai Thailand-BRN. Pada pertengahan bulan April, semasa bulan Ramadan, PULO melancarkan dua pengeboman di tepi jalan yang telah meragut nyawa seorang penduduk kampung dan mencederakan tiga anggota polis daripada skuad bom selepas mendakwa ia dipinggirkan daripada rundingan damai itu.

Serangan itu telah menjejaskan gencatan senjata selama 40 hari sepanjang bulan Ramadan.

Minggu lepas, semasa keganasan paling tragis, tentera Thailand telah membunuh sekurang-kurangnya tiga suspek pemberontak BRN dan menahan seorang lagi dalam insiden tembak-menembak di wilayah Pattani dan Narathiwat. Mereka turut membunuh dua suspek pemberontak PULO dan menahan lapan lagi di Yala sambil mendakwa kesemua suspek mengaku mereka adalah anggota PULO.

Selatan Thailand terdiri daripada wilayah Pattani, Narathiwat, Yala serta empat daerah dalam wilayah Songkhla di kawasan yang majoriti pendudduknya beragama Islam dan berbangsa Melayu.

Sejak pemberontakan meletus semula pada Januari 2004, lebih 7,000 orang terbunuh manakala 13,500 lagi cedera dalam keganasan yang berlaku di seluruh kawasan itu, menurut Deep South Watch, sebuah badan pemikir tempatan.

Pergerakan pejuang pemisah bersenjata yang menentang kerajaan Thailand yang majoriti penduduknya beragama Buddha bermula pada 1960-an. Tuntutan utama pergerakan itu ialah kawasan selatan Thailand diberikan kemerdekaan.

Satu proses damai rasmi bagi menyelesaikan isu itu telah bermula pada 2013 namun tidak membuahkan berhasil.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.