KPN: Pegawai Arah Anggota Minta Dana Hari Raya Berdepan Tindakan

Ali Nufael dan Vathani Panirchellvum
2019.06.03
Kuala Lumpur
190603-MY-police-620.jpg Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador bercakap kepada pemberita selepas melancarkan kempen keselamatan jalan raya Ops Selamat 15 di Plaza Tol Gombak, Malaysia. 3 Jun 2019.
S. Mahfuz/BeritaBenar

Pegawai tinggi polis yang masih ingkar dan terus mengarahkan anggota bawahan mengumpul dana kononnya bagi sambutan Aidilfitri yang menjelang tiba bakal berdepan tindakan disiplin termasuk dipindah keluar dari jabatan serta-merta, kata Ketua Polis Negara (KPN) Abdul Hamid Bador pada Isnin.

Ketua polis itu turut menyifatkan perbuatan meminta sumbangan sedemikian sebagai satu tindakan yang menjijikkan.

Bercakap kepada BeritaBenar, Abdul Hamid menjelaskan bahawa arahan beliau adalah bagi menyingkirkan risiko terjebak dalam perangkap mereka yang ingin menggunakan pengaruh pihak berkuasa untuk tujuan yang tidak baik.

“Ramai yang ikhlas dalam memberikan sumbangan kepada pihak polis tetapi pada masa yang sama, ada juga yang tidak jujur, menunggu peluang untuk menyumbang dan pada masa yang sama membeli pengaruh.

“Saya tidak mahu berdepan kemungkinan itu. Lebih baik terus menutup pintu untuk menyingkirkan risiko yang tidak perlu,” katanya kepada BeritaBenar.

Beliau turut berkata tindakan akan diambil untuk meminda dan menambah baik peraturan serta polisi dalam pasukan keselamatan itu bagi memastikan maruah dan integriti polis terjaga.

“Saya akan lakukan penambahbaikan itu,” kata beliau lagi.

Kenyataan Abdul Hamid itu adalah berkaitan memo dalaman beliau yang tular di laman sosial. Dalam memo itu, Abdul Hamid memberi amaran kepada para pegawainya supaya menghentikan amalan meminta sumbangan bagi mengadakan sambutan rumah terbuka Hari Raya.

Mengulas tentang memo itu, Abdul Hamid berkata polis negeri atau daerah tidak perlu menganjurkan rumah terbuka jika tidak mempunyai kewangan yang mencukupi.

"Jika tiada duit, tidak perlu membuat majlis hari terbuka. Rakyat tidak akan mempersoalkan tindakan itu. Apa yang jelas, wang itu datangnya daripada sumber awam dan lebih menjijikkan jika ada yang datang daripada sumber yang haram."

"Saya telah tegaskan bahawa tindakan meminta sumbangan ini perlu dihentikan dengan segera. Tiada lagi alasan," tegas beliau selepas melancarkan kempen keselamatan jalan raya Ops Selamat 15 di Plaza Tol Gombak.

Kata beliau lagi, arahan yang dikeluarkan itu sepatutnya dilihat secara positif kerana ia mengurangkan beban pasukan untuk menganjurkan acara yang memakan belanja besar.

“Rakyat tidak akan bersedih jika polis tidak mengadakan rumah terbuka. Saya tidak rasa rakyat akan memberontak atau buat protes kerana ini. Rakyat akan faham. Tetapi masih ada yang degil dan melihat bahawa ia satu kejayaan menganjurkan majlis di balai mereka dengan makanan mewah," tambah beliau.

Abdul Hamid berkata arahan dalaman dikeluarkan selepas beliau menerima laporan daripada anggota bawahan yang mengatakan mereka diarah mengutip derma untuk majlis hari raya.

"Oleh itu, saya mengeluarkan arahan dalaman tersebut untuk memberi amaran kepada ketua polis negeri dan daerah agar tidak melakukan perkara itu," kata beliau.

Kenyataan tegas Abdul Hamid dibuat  seminggu selepas beliau mengarahkan semua anggota polis menamatkan hubungan dengan anggota kongsi gelap atau sindiket jenayah.

"Selagi tangan belum bergari atau belum menyarung pakaian lokap, adalah lebih baik untuk kita memutuskan hubungan dengan sindiket jenayah ataupun kongsi gelap," kata Abdul Hamid minggu lepas.

Menerusi memo dalaman yang disebarkan pada Isnin, Abdul Hamid melarang pegawai atasan daripada mengarahkan pegawai dan anggota bawahan untuk mengumpul dana bagi membiayai sambutan perayaan.

Menurut beliau, perbuatan itu mencemarkan nama baik pasukan polis.

“Walaupun saya telah memberi amaran yang keras dan jelas, namun masih terdapat pegawai atasan, termasuk Ketua Polis Daerah (KPD),  yang mengerah anak- anak buah untuk mengumpul dana dengan cara yang hina, kononnya untuk membiayai majlis sambutan perayaan. Lebih menjengkelkan, ada yang mendakwa bahawa kutipan berkenaan adalah untuk dipanjangkan kepada golongan asnaf.

“Saya sekali kali mengulangi amaran saya supaya perbuatan keji dan terkutuk seumpamanya ini, dihentikan serta-merta sebelum padah menimpa diri dan tindakan keras diambil ke atas mereka yang terbabit.

“Jangan gadai maruah diri serta pasukan, dan tidak segan silu bergelumang dengan najis rasuah dan salah guna kuasa,” menurut memo dalaman tersebut.

Abdul Hamid, yang baharu dilantik sebulan lalu, telah dilihat tegas dalam beberapa perkara termasuk bersetuju dengan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC). 
Beliau adalah KPN pertama yang bersetuju dengan penubuhan suruhanjaya itu selepas kesemua KPN sebelum ini menolak IPCMC dengan alasan bahawa kuasa polis akan terhakis.

Seorang pegawai tinggi polis, yang enggan dinamakan memandangkan isu itu adalah sensitif, memberitahu BeritaBenar bahawa amalan meminta sumbangan dari luar sudah menjadi suatu budaya dalam pasukan polis sejak sekian lama. 

“Mereka masih degil walaupun sudah diberi amaran kerana mereka tidak menganggap ia satu kesalahan. Selagi tiada tindakan, mereka akan terus melakukannya.

“Tetapi mereka ini tidak mewakili seluruh pegawai polis. Hanya segelintir,” kata beliau.

Cynthia Gabriel, Pengarah Eksekutif Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4), menyambut baik ketegasan yang dipamer oleh Abdul Hamid.

“Tetapi beliau perlu mengimplementasikannya dengan tindakan tegas,” kata Gabriel.

Beliau mencadangkan agar gaji anggota polis yang didapati bersalah melakukan perbuatan itu dipotong dan tindakan disiplin diambil ke atas mereka.

Abdul Hamid dilantik menjadi KPN mengantikan Mohamad Fuzi Harun yang bersara pada 3 Mei.

Dengan pengalaman 40 tahun dalam pasukan polis, Abdul Hamid berdepan tugasan yang besar iaitu memastikan para pegawainya berada di landasan yang betul serta bersih daripada salah guna kuasa dan rasuah.

Beliau memberitahu akhbar the Sun pada awal bulan lepas bahawa terdapat ramai anggota yang baik dalam pasukan keselamatan itu berbanding mereka yang tidak baik.

“Anggota yang bagus ini telah lama dipinggirkan dan saya akan pastikan di bawah saya, hanya yang bagus akan diambil kira,” kata beliau.

“Tapi, pertamanya, saya harus menetapkan satu contoh yang baik,” katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.