Tukang emas selebriti Global Royalty saman Rosmah Mansor, tuntut AS$14.57 juta
2023.04.17
Kuala Lumpur
Tukang emas selebriti dari Lubnan telah memfailkan saman menuntut AS$14.57 juta (RM67.46 juta) daripada Rosmah Mansor, isteri bekas Perdana Menteri Najib Razak, yang kini meringkuk dalam penjara, susulan kegagalan beliau memulangkan 43 barang kemas yang diserahkan kepadanya pada Februari 2018.
Dalam saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 29 Mac lepas, Global Royalty Trading SAL mendakwa Rosmah, 71, telah berbohong apabila mendakwa barang kemas terbabit telah disita oleh kerajaan Malaysia dalam serbuan di premis yang dikaitkan dengan Najib ketika dalam siasatan berhubung skandal dana pelaburan negara 1MDB pada 2018.
Syarikat itu mendakwa telah menghantar 44 barang kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara kepada Rosmah pada 10 Feb 2018.
“Plaintif mendakwa barang kemas itu telah diserahkan kepada defendan sejak 2018. Bagaimanapun, plaintif mengambil masa sekurang-kurangnya empat tahun untuk mendapatkan kembali hanya satu daripada barangan kemas tersebut dan plaintif terpaksa menanggung kerugian melibatkan empat puluh tiga barangan kemas dengan nilai keseluruhan A$14,567,270.
“Kerugian ini telah mengakibatkan kesan yang teruk ke atas operasi perniagaan plaintif, mengakibatkan kerugian dan bukannya keuntungan akibat tindakan curang defendan,” demikian menurut firma guaman David Gurupatham and Koay dalam peryataan tuntutan.
Global Royalty adalah firma pembekal barang kemas eksklusif kepada personaliti terkenal, ahli politik dan kerabat diraja antaranya Angelina Jolie, Naomi Campbell, Oprah Winfrey serta para hartawan dari Timur Tengah.
Firma itu turut mendakwa Rosmah atau ejen serta wakilnya telah menerima barang kemas terbabit di Kuala Lumpur, Dubai serta Singapura dan penghantarannya disertakan dengan memorandum yang menerangkan dengan jelas diskripsi, harga serta syarat dan terma berkaitan.
Global Royalty mendakwa Rosmah mengesahkan sudah menerimanya melalui surat bertarikh 22 Mei 2018 namun mendakwa kesemua barangan tidak lagi berada dalam milikannya kerana telah disita dan diletakkan di bawah simpanan pihak berkuasa.
Bagaimanapun, selepas firma itu membuat semakan dengan pihak berkuasa Malaysia, daripada sejumlah 12,000 unit barang kemas yang disita, hanya gelang tangan emerald berlian yang dianggarkan bernilai AS$220,000 telah disahkan sebagai milik Global Royalty.
Firma itu menegaskan adalah menjadi tanggungjawab Rosmah untuk memastikan keselamatan kesemua barangan kemas terbabit dan mendakwa beliau telah memperdaya Global Royalty dengan mengalihkan tanggungjawab kepada kerajaan Malaysia setelah kehilangan 43 barang kemas itu.
“Plaintif mempunyai hak untuk menuntut ganti rugi atas kehilangan 43 barang kemas dan oleh itu, defendan seharusnya dipertanggungjawab untuk membayar kerugian yang telah berlaku,” katanya.
Pada November lepas, Rosmah telah menuntut semula barang kemasnya selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonan kerajaan untuk menyita item yang didakwa mempunyai kaitan dengan skandal 1MDB.
Mahkamah memutuskan bahawa pendakwaan gagal membuktikan barangan itu diperoleh secara haram dan kerajaan tidak mencabar keputusan tersebut.
Susulan itu, Global Royalty menuntut Rosmah memulangkan 43 barang kemas terbabit dalam keadaan baik bermula dari tarikh keputusan mahkamah.
“Sekiranya atas apa juga sebab barangan itu tidak dapat ditemukan semula atau dipulangkan dalam keadaan yang baik, defendan perlu membayar ganti rugi kepada firma untuk kos barangan kemas yang berjumlah AS$14.57 juta termasuk kos, faedah dan lain-lain kerugian yang dianugerahkan oleh mahkamah,” katanya.
Firma guaman Reza Rahim & Rajivan, yang mewakili Rosmah, pula menegaskan anak guam mereka akan mencabar tuntutan saman itu dan mempertahankan diri beliau dengan bersungguh-sungguh.
Menurut firma itu, Rosmah belum menerima writ atau pernyataan tuntutan saman tersebut.
“Anak guam kami juga ingin menyatakan bahawa tuntutan saman yang sama telah difailkan sebelum ini oleh pihak yang sama namun telah ditarik balik sebelum dibicarakan di Mahkamah Tinggi,” katanya.
Pada September lepas, Rosmah didapati bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek solar hibrid untuk sekolah luar bandar di Sabah dan dihukum penjara 10 tahun serta denda RM970 juta (AS$233 juta). Beliau telah menfailkan rayuan terhadap keputusan dan hukuman yang dijatuhkan ke atasnya.
Beliau dijadual berdepan perbicaraan pada bulan depan berkaitan cukai pendapatan dan kes pengubahan wang haram berjumlah RM7.1 juta (AS$1.7 juta).
Terkenal dengan gaya hidup serba mewah, Rosmah menjadi tajuk berita pada 2018 apabila pihak berkuasa Malaysia merampas pelbagai barangan dari kediaman beliau termasuk wang tunai dalam pelbagai matawang berjumlah RM117 juta (AS$27.8 juta), beg tangan mewah, sejumlah besar jam tangan eksklusif buatan Switzerland dan 12,000 barangan kemas.
Seperti Rosmah, juga di Asia Tenggara, Imelda Marcos yang merupakan balu bekas Presiden Filipina Ferdinand Marcos, juga terkenal dengan gaya hidup mewah dan memiliki sejumlah besar koleksi barang kemas, kasut-kasut eksklusif, lukisan seni serta hartanah yang dijarah sepanjang pemerintahan suaminya selama 20 tahun di mana mereka didakwa telah mengaut kekayaan berbilion-bilion dolar melalui penyelewengan dan rasuah.
Anak tiri Najib, Riza Aziz turut dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan menyeleweng dana berjumlah AS$250 juta (RM1.25 bilion) yang digunakan untuk membiayai penerbitan filem dan pemilikan hartanah.
Pada Mei 2020, Riza dibebaskan daripada pertuduhan pengubahan wang haram selepas bersetuju memulangkan aset di luar negara yang dikaitkan dengan kesalahan itu dan dianggarkan berjumlah AS$107.3 juta atau RM465.3 juta.
Riza juga dikehendaki membayar sejumlah kompaun kepada kerajaan Malaysia mengikut Seksyen 92 Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Bagaimanapun, pada Oktober 2024, Riza bakal berdepan perbicaraan kes saman 1MDB dan tiga subsidiarinya atas dakwaan salah guna dana berjumlah AS$250 juta bagi membiayai penerbitan filem serta membeli hartanah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.