Bumi Kenyalang Malaysia Tolak Hudud


2015.04.02
150402-my-sarawak620 Warga tua daripada suku kaum Penan berdiri di sebelah generasi muda yang memakai topi bola di luar kampung mereka di Long Nen sebuah kawasan di Negeri Sarawak pada 20 Ogos 2009. Kaum Penan merupakan suku pribumi Sarawak, yang terakhir di dunia. Mereka suka memburu dan hidup berpindah-randah.
AFP

Empat parti politik gabungan kerajaan Malaysia dari negeri timur Borneo pada Khamis menentang perlaksanaan Undang-undang Islam Hudud.

Ketua Menteri Sarawak Adenan Satem berkata, Parti Persaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Sarawak Progressive Democratic Party (SPDP) dan Sarawak United People’s Party (SUPP) menjelaskan pendirian mereka pada mesyuarat pemimpin Barisan Nasional (BN) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

"Kami sepakat menentang hudud dengan sebulat suara," kata beliau yang juga Presiden PBB serta Pengerusi BN negeri.

Menurut laporan akhbar The Star, Adenan memaklumkan bahawa beliau menerima surat daripada pemimpin pembangkang daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) memintanya membentangkan usul bahawa hudud tidak akan dilaksanakan di negeri itu, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.

Tangani perkara itu bila tiba masanya

Bagaimanapun, beliau enggan menyatakan sama ada akan menerima cadangan usul hudud itu, sambil menambah, “Kami akan menangani perkara ini apabila tiba masanya."

Ketua Menteri bagi negeri terbesar di Malaysia itu, semasa menyampaikan ucapan penggulungan pada persidangan DUN, November lepas, telahpun menyatakan bahawa hudud tidak akan dilaksanakan di negeri itu.

Sosio-etnik Sarawak sangat berbeza daripada Semenanjung Malaysia, dan penolakkan itu dilihat sebagai memenuhi kepentingan lebih 40 kumpulan etnik, kepercayaan agama dan mazhab selain mengekalkan keharmonian rakyat negeri itu.

Sarawak mempunyai 31 kerusi Parlimen, merupakan penyumbang utama kepada kemenangan BN dalam memerintah Malaysia.

Isu hudud timbul semula dan menjadi sangat kontroversi di tanahair, selepas DUN Kelantan yang ditadbir oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS) meluluskan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) yang melibatkan perundangan hudud, qisas dan takzir, pada 19 Mac lalu.

Ia disusuli notis pemberitahuan oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang meminta agar rang undang-undang persendirian berkenaan hudud dibawa ke Parlimen pada sidang kali ini yang akan tamat pada 9 April depan.

Perkara itu menjadi satu perbincangan hangat di Malaysia dengan anggota kabinet Najib Razak sendiri tidak senada dalam menyatakan sokongan mereka terhadap perlaksanaan undang-undang berkenaan, manakala Perdana Menteri, masih “terkunci”mulutnya berkaitan isu Hudud itu.

Oleh staf BenarNews dengan maklumat daripada laporan berita.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.