Diseksa, diberi makan babi rutin harian mangsa sindiket penipuan pekerjaan
2023.04.24
Kuala Lumpur
“Hidup umpama dalam neraka. Diseksa setiap hari itu sudah menjadi rutin,” kata mangsa sindiket penipuan pekerjaan ketika menceritakan pengalaman ditahan di KK Garden, Myawaddy yang terletak di timur sempadan Myanmar dua tahun lalu.
Adam (bukan nama sebenar), 20, yang berasal dari Johor, tiba-tiba terdiam. Suaranya tersekat-sekat sebaik mengungkapkan perkataan diseksa. Pasti ada sesuatu yang terlalu memeritkan untuk diluah mengenai trauma yang dialami bersama mangsa lain.
Difahamkan Adam tidak tergamak berkongsi pengalaman dipaksa makan daging babi, perbuatan haram di sisi agama Islam yang dianutinya sejak lahir.
Adam antara belia yang terpedaya dengan iklan tawaran gaji lumayan sindiket penipuan pekerjaan yang kemudian menjual mereka kepada sindiket penipuan dalam talian.
Menurut Adam, dia diperdaya oleh rakan yang mengumpannya dengan upah AS$2,000 (RM8,875) sebulan sebagai pembantu hotel dan memilih untuk menerima tawaran itu kerana ingin membantu ibunya menanggung dua adik lelaki.
“Saya berusia 19 tahun ketika meninggalkan rumah dan sejak itu, saya melalui ‘azab’ selama setahun di KK Garden.
“Pada mulanya, saya dan rakan diterbangkan ke Bangkok, Thailand dan dari sana, kami dipindahkan ke pekan berdekatan sempadan Myanmar. Kemudian kami menyeberangi sempadan sebelum dipaksa berjalan kaki melintasi sebuah kampung sehingga tiba di KK Garden,” katanya.
Taktik sindiket
Modus operandi sindiket itu ialah melalui iklan peluang kerjaya di laman sosial termasuk Facebook dan mangsa yang tertarik akan menghubungi ejen melalui aplikasi WeChat, WhatsApp serta Messenger.
Setelah mendapat persetujuan mangsa, ejen memaklumkan akan mengurus dan menanggung kos perjalanan ke destinasi pekerjaan namun sebaik tiba, semua dokumen perjalanan serta telefon akan dirampas dan dimusnahkan.
Mangsa kemudian dikurung dan dikawal ketat serta dipaksa bekerja antaranya dengan sindiket perjudian dalam talian dan ‘love scam.’
Menurut Kementerian Luar, sebanyak 564 laporan mengenai warga Malaysia menjadi mangsa sindiket itu diterima setakat 13 Feb lepas.
“Seramai 401 orang berjaya diselamatkan dengan 377 telah dihantar pulang. Baki 24 yang lain sedang ditahan di depoh tahanan sementara menunggu proses pengusiran pulang manakala 163 lagi masih dikesan,” katanya dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen pada 15 Feb.
Diseksa
Seorang lagi mangsa, Alex, 28, dari Selangor, turut berkongsi pengalaman ditahan selama lapan bulan sebelum dijual kepada sindiket lain pada harga AS$25,000 (RM110,937) kerana gagal memperdaya mangsa melalui penipuan dalam talian.
“Bila sudah sampai di KK Garden, saya fikir itulah pengakhiran saya. Mana mungkin saya akan terlepas dengan kawalan yang begitu ketat,” katanya kepada BenarNews.
Ketika di KK Garden, Alex dipaksa bekerja selama 14 jam dan tidur di sebuah bilik kecil yang memuatkan tiga katil dua tingkat tanpa perabot lain.
“Walaupun unit tersebut tidak kelihatan seperti penjara dan tiada kunci tambahan, tiada siapa berani melarikan diri kerana kompleks yang menempatkan kami dikawal oleh kumpulan lelaki bersenjata, di bahagian luar dan di bahagian dalam,” katanya.
Menurut Alex, pergerakan dalam kompleks itu dikawal rapi dan setiap pekerja diberikan sekeping kad akses untuk mengambil makanan serta keluar dari kawasan penginapan untuk ke tempat kerja.
“Kami diberi makan empat kali sehari. Kebiasaannya nasi yang dicampur daging babi. Terdapat orang Melayu beragama Islam dalam kalangan kami dan mereka turut dipaksa makan makanan yang sama walaupun daging babi adalah haram untuk mereka.
“Kami perlu berjalan kaki ke tempat kerja. Jika gagal mencapai sasaran memperdaya mangsa yang ditetapkan, kami akan dihukum. Jika mencuri akan dipukul. Jika melawan balik, akan dipukul juga.
“Pernah sekali saya menyaksikan seorang daripada kami terpaksa tinggal di pusat panggilan selama tujuh hari tanpa tidur kerana tidak memenuhi kuota memperdaya dua mangsa sehari,” katanya.
Menurut Alex, bagi aktiviti penipuan, mereka diarah mencipta identiti palsu di media sosial untuk menipu warga emas dari Korea, Taiwan serta China dan mangsa diperdaya untuk jatuh cinta seterusnya menyerahkan wang simpanan mereka.
Katanya mereka yang dikurung di KK Garden berasal dari pelbagai negara termasuk Taiwan dan Eropah serta ditempat di bangunan berasingan. Wanita Malaysia dihantar ke pusat panggilan manakala wanita dari Vietnam dan China di bangunan yang menempatkan sarang pelacuran.
Alex bernasib baik kerana berjaya melarikan diri ketika transit di sempadan Myanmar-Thailand.
“Itulah peluang saya. Saya berjaya memperdaya sindiket dan kemudian meminta bantuan rakyat Malaysia yang saya kenal di Thailand untuk pulang,” katanya.
Adam dan Alex adalah antara 150,000 orang dari pelbagai negara yang menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia antarabangsa saban tahun.
Pada 14 April, Radio Free Asia, agensi berita yang bersekutu dengan BenarNews, mendedahkan pengalaman dua remaja dari Laos dan Myanmar diseksa semasa dalam tahanan sindiket itu di bandar kasino di sempadan Thailand-Myanmar.
Melalui video yang dikongsi dengan RFA, remaja terbabit menceritakan pengalaman dipukul dengan tali dan batang besi malah dikenakan renjatan elektrik selepas gagal mencapai sasaran seorang mangsa bagi setiap tiga hari.
Kebanyakan mangsa dibebaskan setelah keluarga mereka membayar sejumlah wang tebusan kepada sindiket penipuan beberapa bulan selepas berada dalam tahanan.
Hab penipuan di Kemboja
Sindiket itu turut beroperasi di Kemboja. Duta Besar Malaysia ke Kemboja Eldeen Husaini Mohd Hashim memberitahu BenarNews bahawa hampir 300 rakyat Malaysia yang terperangkap di negara itu berjaya diselamatkan manakala 12 lagi sedang dikesan.
Katanya kebanyakan mereka berada di wilayah Sihanoukville, Phnom Penh serta Kampot dan misi menyelamat turut mendapat kerjasama kerajaan Kemboja sejak 2019.
Berbeza dengan situasi di Myanmar, siasatan pihak berkuasa Kemboja mendapati tiada sebarang bentuk seksaan dilakukan ke atas mangsa dari Malaysia yang diselamatkan.
“Pihak kedutaan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Kemboja seperti polis, tentera dan risikan untuk mengesan serta menyelamatkan baki mangsa.
Pada 19 Feb, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Abdul Jalil Hassan berkata polis telah menyiasat dua agensi pekerjaan yang dipercayai dalang sindiket itu membabitkan rakyat Malaysia ke Thailand.
Katanya siasatan dijalankan di bawah Unit Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran polis dengan kerjasama Kementerian Luar dan pihak berkuasa Thailand. Sehingga kini, tiada maklumat lanjut dikongsi berkaitan kes itu.