Follow us

Malaysia Perlu Pasukan Bertindak Khas Selaras Strategi Tangani IS

Hata Wahari
2015-04-16
E-mel
Komen
Share
Generasi muda Islam Malaysia semasa majlis berbuka puasa pada hari pertama bulan Ramadan di Kuala Lumpur pada 29 Jun 2014.
Generasi muda Islam Malaysia semasa majlis berbuka puasa pada hari pertama bulan Ramadan di Kuala Lumpur pada 29 Jun 2014.
AFP

Malaysia memerlukan strategi menangani ancaman daripada kumpulan negara Islam (IS) yang membawa anak muda menyertai perjuangan jihad kumpulan itu melalui media sosial, kata seorang pegawai kanan polis kepada Berita Benar di Kuala Lumpur.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Bukit Aman Ayob Khan Mydin Pitchay mencadangkan supaya kerajaan membentuk sebuah pasukan bertindak di peringkat persekutuan dengan segera, supaya dapat menyelaras semua usaha menangani propaganda kumpulan militan itu, secara bersepadu.

Kumpulan Negara Islam guna media sosial berkomunikasi

Adalah difahamkan, kumpulan IS banyak menggunakan jaringan media sosial untuk berkomunikasi dalam menarik dan mempengaruhi minat anak muda menyertai perjuangan jihad mereka.

Ayob berkata, setakat ini semua agensi terlibat bergerak dengan sendiri dan pengujudan badan bertindak itu membolehkan semua tugas digerakan dalam satu arah.

Katanya kerajaan perlu menubuhkan pasukan bertindak khas itu yang sepatutnya dianggotai oleh Polis Diraja Malaysia, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Imigresen, Kementerian Pertahanan, institusi pengajian tinggi swasta dan awam .

Malaysia mengutuk keras tindakan militan negara Islam di Syria, yang melakukan jenayah atas nama Islam. Penularan ideologi kumpulan itu juga bercanggah dengan undang-undang Islam dan amalan agama yang penuh kesederhanaan dalam kehidupan, seperti kata Perdana Menteri Najib Razak dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Ogos 2014.

Kerajaan Malaysia pada Rabu mengumumkan seramai 119 rakyatnya terlibat dengan kumpulan militan IS, daripada jumlah itu, 10 orang terkorban manakala 46 masih bebas di Syria.

Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi, pada Khamis, mengesahkan Polis menahan seramai 95 orang yang dipercayai terlibat dengan kumpulan militan itu, di Malaysia.

Berperang dari segi ideologi

Ayob berkata “Kita kini berperang dari segi ideologi, tidak ada bukti bahawa ideologi ini dapat dipatahkan memandangkan masih ramai yang hendak pergi ke Syria di mana IS berkuasa untuk berjihad,

“Kita perlu bertindak untuk mematahkan ideologi ini, jika orang awam tidak mahu terlibat, maka menjadi tanggungjawab jabatan-jabatan kerajaan untuk mematahkan dan bertindak, tak kan nak duduk diam sahaja,’’ katanya.

Perlu pusat pemulihan

Selain itu, beliau turut mencadangkan penubuhan sekurang-kurangnya lima pusat pemulihan khusus bagi mereka yang ditahan kerana menyertai IS ataupun bersimpati terhadap kumpulan militan itu.

Ayub berkata, pusat pemulihan khusus itu penting kerana sekiranya tahanan militan itu dibiarkan berkawan dengan penjenayah biasa, mereka boleh mempengaruhi banduan lain dengan ideologi mereka.

“Kita nak betulkan ideologi, jika tidak diasingkan mereka di tempat lain, tidak mungkin mereka akan dapat dipulihkan. Sekurang-kurangnya kita memerlukan lima tempat penahanan khusus bagi tujuan itu” tegas Ayob Khan.

Beliau berkata, kumpulan itu turut memperalatkan agama dengan menggunakan hadis dan nas Al-Quran untuk ‘memperakui’ yang mereka berjuang adalah untuk Islam.

Ayub seperti yang dilaporkan sebelum ini berkata kumpulan militan IS menyasarkan pelajar dari institusi pengajian tinggi Malaysia untuk menyertai sebagai pejuang jihad kumpulan berkenaan dengan memancing dan menjanjikan gaji bulanan sebanyak AS $ 2,000 (RM7,200) beserta penginapan dengan "polisi tidak boleh pulang" melainkan jika dibenarkan.

Sebelum ini sekumpulan pelajar Malaysia yang dipercayai berada di Syria untuk menyertai kumpulan militan IS sejak tahun lepas, telah menghubungi seorang rakan di Malaysia, melalui Facebook  mengajak beliau menyertai mereka sebagai pejuang jihad.

Pelajar itu bertindak membuat laporan polis Isnin lalu, selepas diganggu oleh rakannya di Syria yang sering memuat naik rakaman video mengenai perjuangan kumpulan militan itu, di laman facebook beliau.

Seorang bekas pelajar Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), nekad melarikan diri ke Syria semata-mata mahu berkahwin dengan pejuang militan kumpulan IS, yang dikenalinya melalui Facebook.

Parlimen Malaysia pada minggu lalu telah meluluskan Rang Undang-undang Pencegahan Keganasan (POTA) 2015 di Dewan Rakyat, yang antara lain membenarkan pihak berkuasa menahan suspek keganasan untuk tempoh yang tidak terhad tanpa perbicaraan, dalam usaha menangani sebarang kemungkinan ancaman.

POTA telah dikecam oleh pembangkang dan kumpulan hak asasi manusia kerana dilihat sebagai tamparan terhadap kebebasan awam

Lihat Laman Penuh