Polis di selatan Thailand Temui Puluhan Kubur Di Kem Penyeludupan

Oleh Nasueroh
2015.05.01
150501-MY-TH-KUBUR620 Mayat mangsa pemerdagangan manusia dipercayai rakyat Rohingya yang diliputi dengan pakaian dan selimut di sebuah kem penyeludupan di Padang Besar, wilayah Songkhla, 1 Mei 2015.
Berita Benar

Polis di selatan Thailand pada Jumaat menemui 31 kubur di sebuah kem penyeludupan di dalam hutan di sempadan Malaysia, dipercayai mengandungi mayat warga Islam Rohingya, kata pegawai.

Polis turut menjumpai satu lagi mayat warga Rohingya di atas tanah di situ, dan berjaya menyelamatkan seorang pendatang yang dikatakan berasal dari Bangladesh.

Polis percaya kesemua 32 mayat yang ditemui itu, mati akibat dibiarkan kebuluran oleh sindiket pemerdagangan manusia.
Wilayah selatan Thailand terkenal sebagai pusat transit bagi penyeludupan pendatang haram, termasuk Rohingya, orang Islam minoriti yang melarikan diri dari penganiayaan dan konflik di Myanmar, yang majoriti penduduknya beragama Buddha.

Kem penyeludupan itu, terletak di pendalaman kawasan hutan pergunungan Padang Besar di daerah Sadao,  kawasan  jajahan wilayah Songkhla,  hanya 300 meter (984 kaki) dari  sempadan Malaysia, kata polis.

Sejam perjalanan melalui jalan hutan

Ketua Polis Padang Besar, dalam wilayah Thailand,  Kol Weerasant Tarnpiem berkata balainya telah menerima permintaan dari kumpulan bantuan rakyat Rohingya di Songkhla untuk menyelamatkan beberapa rakyatnya yang dijadikan tawanan oleh kumpulan samseng.

"Hari ini, seramai 88 anggota polis berjalan kaki selama satu jam ke dalam hutan. Kami menemui sebanyak 34 tempat perlindungan, termasuk bilik tidur, bilik rehat dan dapur. Ia kelihatan seperti baru saja ditinggalkan, " kata Weerasant.

"Polis menemui seorang mangsa, warga Bangladesh, yang masih hidup tetapi dalam keadaan lemah bernama Thu Don Kha, 26. Beliau memberitahu polis terdapat lebih 100 warga Rohingya ditawan di kem itu, tetapi broker sindiket itu melarikan mereka. Pihak polis menemui satu mayat diatas tanah dan lebih daripada 30 kubur warga Rohingya, samada kubur lama atau baru, " tambah beliau.

Lima mayat dikeluarkan dari kubur di kawasan berkenaan pada Jumaat, menurut Mai Khom Rescue Foundation, sebuah kumpulan tempatan yang turut berada di tempat kejadian dan membantu menggali kubur.

Seorang pekerja daripada kumpulan itu berkata seorang pendatang ditemui masih hidup dan berada di dalam keadaan sangat lemah dan kurus, telah dibawa ke sebuah hospital tempatan untuk mendapatkan rawatan.

Laluan penyeludupan Rohingya

Penemuan mengerikan di dalam hutan di sepanjang sempadan Thai-Malaysia pada Jumaat itu berikutan tertangkapnya seramai 76 pendatang tanpa izin dari Myanmar termasuk enam rakyat Rohingya, pada 30 Mac lalu, di wilayah Nakhon Si Thammarat, selatan Thailand.

Pihak berkuasa Thailand menahan 76 pendatang itu, dalam kereta api yang menuju ke Malaysia.

Warga Rohingya tidak mendapat taraf kerakyatan di Myanmar, telah dinafikan kewarganegaraan mereka dan sering dikatakan sebagai pendatang haram dari Bangladesh.

Sejak 2012, beribu-ribu warga Rohingya telah melarikan diri dari konflik di negeri Rakhine, di Myanmar.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.