Polis Soal Siasat CEO, Pengarang Malaysian Insider Mengenai Berita Rasuah

Hata Wahari dan S. Adie Zul
2016.02.26
Kuala Lumpur
160226-MY-tmi-620 Bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin (tengah) bersalaman dengan para penyokongnya semasa perhimpunan di Kuala Lumpur, 7 Disember, 2015.
AFP

Polis Malaysia pada  Jumaat menyoal siasat ketua pegawai eksekutif dan empat kakitangan sebuah laman web berita paling popular,  yang disekat kerajaan selepas ia menyiarkan laporan mengenai dakwaan rasuah yang membelenggui  Perdana Menteri  Najib Razak.

Kesemua lima pekerja The Malaysian Insider (TMI)  itu telah dipanggil ke ibu pejabat polis di Kuala Lumpur pada hari yang sama  parti UMNO menggantung bekas Timbalan Perdana Menteri  Muhyiddin Yassin, pengkritik lantang kerajaan Najib.

Najib memecat Muhyiddin sebagai timbalannya pada Julai lalu kerana lantang mengkritiknya berhubung dakwaan rasuah yang ada kaitan dengan dana pelaburan negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Semasa menggantung Muhyiddin daripada jawatan nombor dua dalam parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), parti utama dalam Barisan Nasional,  pegawai-pegawai mendakwa pada Jumaat bahawa beliau ‘tidak membantu dengan sewajarnya’  Najib, presiden UMNO.

Sementara itu, polis meluangkan masa empat jam untuk menyoal siasat Ketua Pegawai Eksekutif TMI Jahabar Sadiq, Pengarang Urusan Lionel Morais dan Penolong Pengarang Berita V. Anbalagan. Mereka juga menyoal dua penyunting  laman web berita itu, Abdar Rahman Koya dan Srihanasham Noordin.

Kelima-limanya dipanggil sehari selepas syarikat-syarikat telekomunikasi menutup laman web itu atas arahan  Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

Berikutan sekatan itu, TMI memberikan alamat alternatif untuk melayari laman webnya namun ia juga disekat oleh pengawal selia internet tempatan, menurut akhbar dalam talian Malay Mail.

Laman itu disekat dalam negara selepas ia menerbitkan laporan  mendakwa adanya bukti yang boleh dipercayai untuk mendakwa Najib berhubung skandal berkaitan 1MDB.

Pada Jumaat, Jahabar memberitahu pemberita menerusi WhatsApp bahawa beliau dan kakitangannya "mempertahankan berita mereka’.

'Kami tidak mendedahkan sumber kami'

Najib telah disiasat berhubung deposit sebanyak AS$ 681 juta (RM2.6 bilion)  ke dalam akaun bank peribadinya pada 2013, dan laporan-laporan media pula mengaitkan wang tersebut dengan 1MDB. Beliau menegaskan yang beliau tidak mengambil apa-apa wang untuk kepentingan peribadinya.

Bulan lalu, Peguam Negara Mohamed Apandi Ali "membersihkan nama" Najib lantas mengelakkan beliau daripada menghadapi pertuduhan rasuah  berikutan laporan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang tidak didedahkan kepada umum.

Pada  26 Jan, Apandi mengumumkan bahawa "tiada jenayah dilakukan" dan wang tersebut merupakan "derma peribadi" kepada Najib daripada keluarga  diraja Arab Saudi. Bagaimanapun, suruhanjaya itu kemudian merujuk kes itu kepada lapan ahli Panel Penilaian Operasi, badan bebas yang ditubuhkan untuk memantau operasi SPRM dan menilai kes-kes yang tidak dibawa ke mahkamah untuk pendakwaan.

Pada Rabu, badan pencegahan rasuah itu berkata, panel itu telah meminta supaya dibuka semula siasatan berhubung derma kontroversi itu, dan mengemukakan semula hasil siasatannya kepada Peguam Negara untuk semakan.

Laman web The Malaysian Insider disekat selepas ia menerbitkan laporan yang memetik kenyataan seorang ahli panel penilaian yang tidak dinamakan.

"Kami tidak mendedahkan sumber ahli  panel yang memberikan kami  maklumat kerana ini merupakan kod etika wartawan iaitu tidak mendedahkan sumber," kata Jahabar.

Sehari sebelum itu, SKMM mengeluarkan kenyataan yang memberi amaran kepada portal-portal berita supaya "tidak menyebarkan atau menyiarkan artikel-artiklel yang tidak ditentukan kesahihannya, yang boleh menyebabkan kekeliruan dan mencetuskan situasi yang tidak diingini".

Dalam mesejnya di Twitter pada  Jumaat, Ketua Polis Negara  Khalid Abu Bakar berkata beliau telah mengarahkan Pusat Tindak Balas Siasatan Siber Polis  memanggil Jahabar untuk disoal siasat kerana laporan laman web berita itu berhubung suruhanjaya pencegahan rasuah berkenaan.

Komen Najib

Sementara itu, dalam blognya bertajuk "  "Netizen untuk kebaikan  lebih besar," perdana menteri turut mempertimbangkan isu TMI itu.

Najib menegur TMI dan menyalahkan "pahlawan papan kekunci, askar siber dan portal berita" itu kerana menjadikan internet  sebagai ‘pentas permainan’ mereka, dengan tajuk-tajuk  menarik, yang katanya, untuk memenuhi agenda mereka sendiri.

“ Ini adalah kewartawan yang tidak sihat. Internet adalah harta bersama yang dimiliki secara kolektif oleh semua warga global. Oleh itu, kita bertanggungjawab untuk tidak menyalahgunakannya," kata Najib.

'Jerat penapisan'

Sementara itu, Human Rights Watch (HRW)  yang beribupejabat di AS, pada Jumaat  mengkritik Malaysia kerana menyekat kebebasan media dan mendiamkan pengkritik kerajaan Najib. Mereka menggesanya supaya menarik balik sekatan terhadap TMI.

"Dengan menyekat The Malaysian Insider, kerajaan (Malaysia) telah mengambil tindakan keterlaluan terhadap kebebasan media secara terang-terangan, dan menimbulkan kebimbangan (di kalangan rakyat) mengenai komitmen Malaysia terhadap hak asasi manusia dan prinsip demokrasi," kata Phil Robertson, timbalan pengarah HRW bagi rantau Asia,  dalam mesejnya melalui Twitter.

Pentadbiran Najib telah "mengetatkan lagi jerat penapisan dan kawalan," kata Robertson.

Penggantungan UMNO mendapat kritikan

Muhyiddin pula digantung sebagai Timbalan Presiden UMNO semasa mesyuarat dua jam Majlis Tertinggi parti di ibo pejabat parti itu di Kuala Lumpur.

Setiausaha Agung UMNO Tengku Adnan Tengku Mansor berkata majlis itu  memutuskan bahawa Muhyiddin telah melanggar artikel perlembagaan parti yang menyatakan bahawa" Timbalan Presiden parti hendaklah membantu Presiden dalam menjalankan tugasnya."

Muhyiddin telah melanggar artikel itu menerusi kritikannya yang berpanjangan terhadap Najib, kata Tengku Adnan, lapor Star Online.

Para penyokong Muhyiddin mengkritik keputusan itu. Mereka termasuklah Mukhriz Mahathir, yang terpaksa meletakkan jawatan sebagai menteri besar Kedah pada awal bulan ini berikutan penentangan  yang diketuai oleh pemimpin-pemimpin UMNO yang setia kepada Najib.

Mukhriz, yang juga anak kepada bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad, yang merupakan pengkritik paling lantang terhadap pentadbiran Najib, menyifatkan tindakan terbaru majlis tertinggi itu sebagai "keputusan yang memalukan."

Naib Presiden UMNO Zahid Hamidi, yang juga menggantikan Muhyiddin sebagai Timbalan Perdana Menteri, akan mengambil alih jawatan Timbalan Presiden parti itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.