Enam Pesalah Pemerdagangan Manusia Didakwa di Mahkamah

Zam Yusa
2018.11.21
Kota Kinabalu, Sabah
181121-MY-police-620.jpg Pasukan polis membawa tertuduh ke mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, November 21, 2018.
BeritaBenar

Enam individu termasuk seorang anggota polis tambahan yang terlibat dalam aktiviti pemerdagangan manusia telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu pada Rabu.

Tertuduh terdiri daripada lima rakyat Malaysia iaitu Anuar Madjinil Hadji, 34, Amin Ali, 28, Omar Sapari, 53, polis bantuan Sarjan Jasni Ot Ali @ Mohd. Ali, 53, dan Badri Jalal, 62 serta seorang rakyat Filipina yang memegang dokumen pengenalan pelarian, Muksin Munib, 60.

Kesemua tertuduh didakwa di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Menurut fakta yang dikemukakan di mahkamah, tertuduh didakwa menyeludup 21 rakyat Filipina termasuk enam wanita berumur antara 22 dan 55 tahun di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu(KKIA) pada Februari 2017 hingga Oktober tahun ini.

Tiada pengakuan direkodkan daripada keenam-enam tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Hakim Azreena Aziz berkata mereka layak mendapat khidmat peguam.

“Kamu layak mendapatkan pembelaan dan patut mendapatkan peguam,” kata hakim kepada semua tertuduh yang mengangguk tanda faham.

Hakim Azreena menetapkan 7 Disember sebagai tarikh sebutan semula kes. Pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Khairuddin Idris.

BeritaBenar difahamkan lima lagi anggota sindiket itu termasuk dua penjawat awam tidak akan didakwa, sebaliknya bertindak sebagai saksi bagi pihak pendakwaan sekiranya kes tersebut dibicarakan.

Lima saksi berpotensi itu termasuk dua kakitangan Jabatan Imigresen KKIA dan Jabatan Pendaftaran Negara di Kota Kinabalu, menurut pegawai penyiasat kes tersebut bila dihubungi oleh BeritaBenar.

“Kelima-lima mereka dilepaskan dengan ikat jamin antara RM3,000 dan RM15,000 (antara AS$750 dan AS$3,750) setiap seorang,” kata beliau yang bercakap kepada BeritaBenar dengan syarat namanya tidak disiarkan.

Sindiket dipercayai menyeludup orang dari selatan Filipina ke Semenanjung Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dalam sebuah operasi dari 24 Oktober sehingga 8 November.

Menurut kenyataan polis Sabah pada Selasa, kesemua sebelas lelaki tersebut ditahan di Kota Kinabalu, Tuaran, Beaufort and Penampang.

Sindiket dikatakan mempunyai rangkaian di selatan Filipina dan mengatur penyeludupan orang dari Basilan ke Sabah menerusi “lorong tikus”.

“Mereka yang diseludup termasuklah rakyat Indonesia, Pakistan dan China. Siasatan mendapati pendatang asing tanpa izin diseludup masuk ke Semenanjung Malaysia melalui KKIA menggunakan dokumen sah dan palsu,” kenyataan itu menyebut.

“Antara dokumen yang digunakan ialah MyKad (kad pengenalan Malaysia) milik orang lain dan MyKad palsu, MYPR (dokumen pemastautin tetap), sijil kelahiran palsu, pas IMM13 (pas pelarian) dan surat pelepasan imigresen.”

Tangkapan dibuat hasil daripada operasi dipanggil “Ops Kenal Sabah Siri 1/2018” yang dijalankan oleh polis dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara muali 24 Oktober sehingga 8 November. Operasi ini menyasarkan aktiviti pemerdagangan rakyat Filipina ke Semenanjung Malaysia melalui KKIA, menurut kenyataan itu lagi.

“Operasi ke atas sindiket itu dilancar berdasarkan pemantauan berterusan oleh polis Sabah sejak 2017.”

Bekas ketua polis Sabah Ramli Din pada tahun lepas berkata negeri itu berjaya menangkap pesalah pemerdagangan orang paling ramai di Malaysia dengan kebanyakan kes dikesan di sebelah pantai timur disebabkan pantainya yang panjang.

Katanya, walaupun Malaysia menerima taraf “Tier 2” dari Laporan Pemerdagangan Orang (TIP) 2017 Jabatan Negara AS, kerjasama dari semua pihak masih diperlukan.

Pada Mei 2017, Ramli berkata polis Sabah berjaya menyelamatkan 250 mangsa penyeludupan orang dan migran serta menahan 19 pesalah dan 42 juragan bot pada tahun itu.

Menurut laporan TIP, kerajaan Malaysia tidak memenuhi piawaian minimum untuk membasmi ancaman tersebut, tetapi mengambil langkah penting untuk berbuat demikian.

“Kerajaan menunjukkan usaha penting dengan mendakwa lebih ramai pesalah, meningkatkan penguatkuasaan jenayah berkenaan pembendungan pasport tidak sah, memberi lebih banyak kebebasan bergerak kepada mangsa, menambah tiga kali ganda dana untuk NGO termasuk tiga rumah perlindungan yang diuruskan oleh NGO dan menubuhkan mahkamah pertama khas untuk pemerdagangan orang,” kata laporan itu.

“Kerajaan juga meminda levi pekerja asing dan Akta Agensi Pekerjaan Swasta untuk mengalih beban hutang dari pekerja asing. Bagaimanapun, kerajaan tidak menunjukkan peningkatan usaha keseluruhan berbanding pada tahun sebelumnya. Usaha kerajaan untuk melindungi mangsa masih tidak mencukupi dan mangsa yang dikenal pasti kerajaan berkurangan daripada tahun sebelumnya.”

Laporan itu seterusnya menyatakan kesukaran yang dihadapi pegawai penguatkuasaan telah menghalang usaha-usaha anti pemerdagangan. Walaupun pihak berkuasa menyiasat jenayah-jenayah ini, pegawai yang bersalah biasanya terlepas dari pendakwaan dan hukuman.

“Tiada rakyat Malaysia termasuk pegawai yang disyaki terlibat didakwa atas jenayah yang dibongkar di sempadan Thailand pada 2015,” laporan itu menyebut.

“Pesalah yang dikenakan pendakwaan berkurang berbanding tahun sebelumnya. Maka, Malaysia diturunkan kepada Tangga Kedua senarai Pemerhatian (Tier 2 Watch List).”

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.