Follow us

Bangladesh Diletak dalam Senarai Pemerhatian Laporan Pemerdagangan Manusia AS

Staf BeritaBenar
Washington
2017-06-27
E-mel
Komen
Share
Boom Mosby (kanan), dari Thailand, menerima anugerah Tokoh Laporan Pemerdagangan Manusia 2017 daripada Ivanka Trump pada majlis yang berlangsung di Jabatan Negara Amerika Syarikat, 27 Jun 2017.
Boom Mosby (kanan), dari Thailand, menerima anugerah Tokoh Laporan Pemerdagangan Manusia 2017 daripada Ivanka Trump pada majlis yang berlangsung di Jabatan Negara Amerika Syarikat, 27 Jun 2017.
AFP

Bangladesh didapati kurang menjalankan siasatan dan pendakwaan bagi jenayah pemerdagangan mannusia sejak tahun lepas dan telah diletakkan dalam “senarai pemerhatian” Amerika Syarikat (AS) berikutan  jumlah mangsa pemerdagangan manusia yang semakin ketara atau amat ketara, demikian menurut satu laporan kerajaan AS pada Selasa.

Sementara itu, Malaysia telah dikeluarkan daripada senarai pemerhatian itu dan kedudukannya naik satu tahap dalam sistem gred empat tahap laporan Pemerdagangan Orang (TIP) yang dikeluarkan setiap tahun oleh Jabatan Negara AS.

Kedudukan Bangladesh merosot akibat pengurangan siasatan dalam kes pemerdagangan manusia bagi tujuan seks dan buruh pada 2016.

Menurut laporan itu, kerajaan Bangladesh telah menyiasat sejumlah 122 kes pemerdagangan manusia bagi tujuan seks dan 168 bagi tujuan buruh tahun lepas, berbanding 181 kes bagi tujuan seks dan 265 kes bagi tujuan buruh pada 2015. Jumlah pendakwaan - tiga pesalah tahun lepas - turut merosot berbanding empat pesalah pada 2015 dan 15 pesalah pada 2014.

“Mereka yang disabit semakin kurang kerana kerajaan Bangladesh tidak memperuntukkan sumber yang secukupnya bagi siasatan praperbicaraan serta tempoh singkat bagi menyelesaikan kes terbabit telah menyebabkan pendakwaan yang tidak lengkap dan selanjutnya gagal,” kata laporan itu.

Kedudukan Malaysia Meningkat

Menurut laporan itu, Malaysia, berdasarkan peranannya, telah dikeluarkan daripada Senarai Pemerhatian kerana terdapat peningkatan dari segi penyiasatan, pendakwaan dan sabitan dalam kes pemerdagangan manusia.

Pada 2016, kerajaan Malaysia telah menjalankan sejumlah 581 siasatan dalam kes-kes mungkin berkaitan dengan pemerdagangan manusia berbanding 158 bagi tahun sebelumnya. Ia memulakan pendakwaan terhadap 175 yang disyaki pesalah, menunjukkan peningkatan, berbanding 38 pada 2015 dan mendapati sejumlah 35 orang bersalah – 18 orang daripada mereka bagi kesalahan pemerdagangan untuk tujuan buruh dan 17 bagi tujuan seks.

Laporan itu memuji usaha kerajaan Malaysia dalam mengenal pasti mangsa pemerdagangan manusia namun berkata langkah itu mempunyai kekurangan dari segi perlindungan.

Kerajaan Malaysia tidak sentiasa memantau populasi pekerja migran yang mungkin menjadi mangsa pemerdagangan manusia, kata laporan itu. Selain itu, katanya “tidak semua mangsa pemerdagangan manusia diberikan kebebasan untuk bergerak dan bekerja sementara menunggu siasatan terhadap kes mereka dalam sistem kehakiman.”

Phil Robertson dari Human Rights Watch berkata Jabatan Negara AS “telah membersihkan” rekod Malaysia dalam memerangi pemerdagangan manusia.

Hakikatnya, para pegawai Malaysia mengesan amat sedikit mangsa bebanding jumlah yang terdapat di Malaysia. Usaha kerajaaan Malaysia untuk melindungi dan menjaga mangsa pekerja asing dari Asia Tenggara dan Asia Selatan yang terikat dengan hutang belum mencapai standard yang sepatutnya akibat masalah birokrasi, katanya.

20 juta mangsa

Satu undang-undang AS, Akta Perlindungan Mangsa Pemerdagangan dan Keganasan, mengkehendaki Jabatan Negara mengeluarkan laporan TIP setiap tahun bagi mempertingkatkan kesedaran mengenai pemerdagangan manusia. Ia membabitkan 188 negara, termasuk Amerika Syarikat, dan bagaimana mereka menangani isu itu.

Negara Tahap 1 dianggap sebagai negara yang memenuhi sepenuhnya standard minima perlindungan mangsa pemerdagangan. Negara Tahap 2 mengambil langkah ketara untuk memenuhi standard,  sementara negara yang diletakkan dalam Senarai Pemerhatian Tahap 3 mengambil langkah ketara untuk memenuhi standard itu namun gagal menyediakan bukti dalam mempertingkatkan usaha tersebut.

India dan Indonesia berada di Tahap 2 dalam laporan 2016. Thailand kekal dalam Senarai Pemerhatian manakala Filipina berada di Tahap 1. Tiada negara disenaraikan di Tahap 3, iaitu tahap terendah pematuhan.

Tokoh

Laporan itu meneruskan tradisinya dengan menamakan “Tokoh Laporan TIP” termasuk seorang wanita warga Thailand dan seorang lelaki warga India bagi usaha mereka dalam membantu mangsa pemerdagangan manusia.

Boom Mosby, pengasas dan pengarah Projek HUG Thailand, diberikan penghormatan sebagai “seorang penasihat bagi mangsa kanak-kanak penderaan seksual.” Pada 2015, beliau memainkan peranan penting dalam menubuhkan Pusat Advokasi bagi Kanak-Kanak Thailand di Chiang Mai, yang pertama seumpamanya di seluruh Asia Tenggara.

Mashesh Bhagwat, Pesuruhjaya Polis Rachakonda di negeri Telangana, India diberi penghormatan untuk komitmen beliau dalam memerangi pemerdagangan manusia sejak 13 tahun lepas.

Di bawah arahan beliau, pihak polis kawasan Rachakonda telah menutup 25 rumah pelacuran – lima hotel dan 20 apartmen kediaman – dalam tempoh kurang setahun dan mengambil bahagian dalam satu operasi terbesar untuk melawan penyeludupan pekerja, yang di mana seramai 350 orang kanak-kanak dapat diselamatkan daripada menjadi buruh paksaan, menurut laporan tersebut.

Lihat Laman Penuh