Rosmah Mansor mohon hakim digugurkan sebelum keputusan kes rasuah projek solar

Iskandar Zulkarnain dan Muzliza Mustafa
2022.08.31
Kuala Lumpur
Rosmah Mansor mohon hakim digugurkan sebelum keputusan kes rasuah projek solar Rosmah Mansor (berbaju kurung corak bunga) tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk memberi sokongan moral kepada suaminya bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak ketika sesi perbicaraan kes 1MDB pada 25 Ogos 2022.
S. Mahfuz/BenarNews

Beberapa hari selepas bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak dihantar ke penjara kerana kesalahan berkaitan rasuah, isterinya Rosmah Mansor dijadual berdepan keputusan mahkamah pada Khamis yang akan menentukan sama ada beliau bersalah atau sebaliknya dalam kes rasuah membabitkan projek solar bernilai berbilion ringgit.

Seperti Najib, Rosmah juga dilihat cuba berjuang hingga penghabisan termasuk meminjam taktik yang digunakan oleh bekas Perdana Menteri itu dengan mengemukakan permohonan untuk menggugurkan hakim yang mendengar kesnya atas alasan beliau telah hilang kepercayaan susulan insiden dokumen didakwa salinan keputusan mahkamah dibocorkan di laman media sosial pada Jumaat lepas.

Rosmah didakwa meminta dan menerima rasuah yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun.
Keputusan pada Khamis ini bagaimanapun bukanlah pengakhiran buat isteri bekas Perdana Menteri itu atau pihak pendakwaan kerana masih terdapat dua lagi peringkat rayuan iaitu di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Notis usul bagi menggugurkan hakim itu telah difailkan oleh firma guaman Tetuan Akberdin & Co yang mewakili Rosmah dalam perbicaraan kes rasuah berkaitan projek solar.

Rosmah, 70, mendakwa penghakiman yang bocor dan disiarkan oleh sebuah blog itu telah menyebabkan beliau hilang keyakinan terhadap Hakim Mohamed Zaini Mazlan yang akan mengumumkan keputusan mahkamah dalam kes itu pada Khamis.

Beliau memohon perintah bagi menangguhkan keputusan kesnya yang telah dijadualkan pada 1 Sept atau tarikh lain selepas notis usul itu diputuskan oleh mahkamah atau sehingga satu siasatan berhubung perkara tersebut selesai.

Pada hari sama, Rosmah turut mengemukakan permohonan baharu untuk menggugurkan Gopal Sri Ram selaku ketua pasukan pendakwaan dalam kes solar namun telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas).

Sebelum ini, Rosmah telah dua kali gagal dalam percubaan beliau untuk menyingkirkan Mohamed Zaini daripada mendengar kes terhadapnya yang membabitkan pengubahan wang haram dan mengelak daripada cukai.

Pada Sabtu lepas, Rosmah yang berpakaian tradisional baju kurung merah kelihatan tidak ceria ketika hadir di perhimpunan UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Beliau antara figura yang menjadi perhatian utama dalam perhimpunan itu yang dihadiri lebih 5,000 ahli dan pemimpin UMNO untuk mendengar taklimat khas Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi.

Perhimpunan itu diadakan bagi menunjukkan solidariti kepada Najib, yang dihantar ke Penjara Kajang pada 23 Ogos untuk memulakan hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan ke atas beliau oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini.

Rosmah dilihat menangis semasa perhimpunan itu manakala anak perempuannya, Nooryana Najwa, pula berucap di atas pentas bagi berkongsi kesedihan mereka sekeluarga berhubung apa yang menimpa bekas Perdana Menteri itu sambil memegang tali leher milik bapanya.

Dakwaan terhadap Rosmah

Pada November 2018, Rosmah yang digelar 'Wanita Pertama Malaysia' ketika era pemerintahan Najib, didakwa atas satu pertuduhan meminta rasuah sebanyak RM187.5 juta (AS$41.89 juta) dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta (AS$1.45 juta) daripada syarikat Jepak Holdings Sdn Bhd.

Beliau didakwa menerima rasuah itu daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings iaitu Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya, Rizal Mansor. Untuk rekod, Rosmah dan Rizal tidak mempunyai ikatan persaudaraan walaupun berkongsi nama akhir yang serupa.

Untuk apa duit yang didakwa diminta oleh Rosmah itu? Menurut pendakwaan, ia sebagai balasan untuk pertolongan yang diberikan oleh beliau kepada Jepak Holdings untuk mendapatkan projek membekalkan peralatan bagi menjana tenaga solar kepada 369 sekolah di kawasan pedalaman di Negeri Sarawak, dengan keseluruhan projek bernilai kira-kira RM1.25 bilion (AS$279 juta).

Dalam pembelaannya, Rosmah menafikan sebarang penglibatan dan mendakwa terdapat konspirasi antara saksi yang memberikan keterangan terhadapnya termasuk Rizal yang merupakan orang kepercayaannya sebelum ini.

Rizal merupakan saksi utama pendakwaan dalam kes itu. Sebelum ini, beliau turut didakwa bersama-sama Rosmah namun kes terhadapnya digugurkan apabila Rizal setuju memberikan keterangan di mahkamah terhadap wanita itu.

Perbicaraan kes itu bermula pada 2020 dan berakhir pada Februari lepas yang menyaksikan pendakwaan memanggil 23 orang untuk memberi keterangan manakala pembelaan mengemukakan 25 saksi.

Perbicaraan yang adil

Peguam jenayah veteran Haniff Khatri berkata Rosmah dan pihak pendakwaan telah diberikan semua peluang yang ada untuk membuktikan kes mereka dalam perbicaraan itu.

"Saya melihat perbicaraan kes itu telah melalui semua proses keadilan yang ada di dalam prosiding jenayah di Malaysia.

"Semua permohonan beliau untuk menggugurkan ketua pasukan pendakwaan telah didengar oleh mahkamah dan bukannya ditolak bulat-bulat," katanya kepada BenarNews.

Beliau juga berkata jika Rosmah didapati bersalah, isteri Najib itu tidak akan terus dimasukkan ke penjara kerana masih boleh memohon penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu proses rayuan.

Mengakui bahawa pelbagai bentuk tuduhan akan timbul dalam apa jua kes jenayah membabitkan ahli politik atau individu yang mempunyai kaitan dengan mereka, Haniff berkata perkara itu tidak akan mempunyai impak terhadap badan kehakiman.

"Adakah ia akan membawa sebarang impak kepada keputusan? Jawapan yang jelas kepada soalan itu ialah tidak. Mahkamah Malaysia tidak pernah dipengaruhi oleh politik atau pemimpin politik," katanya.

Beliau menegaskan bahawa mahkamah sentiasa bebas daripada sebarang campur tangan.

"Tidak mungkin satu negara yang bebas dan demokratik boleh dipengaruhi untuk membenarkan sistem kehakimannya diganggu oleh eksekutif. Itu sendiri adalah satu pelanggaran prinsip demokrasi berparlimen," katanya.

Pengarah Institut Asia di Universiti Tasmania, James Chin, juga bersetuju bahawa Rosmah telah diberikan semua peluang untuk mempertahankan dirinya.

"Ini adalah satu kes yang jelas dan terang, tidak serupa dengan kes 1Malaysia Development Berhad. Saya jangkakan Rosmah akan didapati bersalah.

"Sudah tentu ini akan digunakan oleh UMNO dalam kempen pilihan raya mereka kerana keputusan (bersalah) akan dilihat sebagai satu lagi penindasan politik oleh penyokong Rosmah dan Najib," katanya.

Sekiranya didapati bersalah pada Khamis, Rosmah berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai yang diminta atau diterimanya.

Rosmah turut berdepan 12 pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram dan lima pertuduhan mengelak daripada cukai melibatkan wang sebanyak RM7 juta (AS$1.73 juta) yang dikaitkan dengan 1MDB dalam pendakwaan yang dikemukakan terhadap beliau pada 4 Okt 2018.

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.