Permohonan Zunar, Peguam dan Ahli Parlimen Cabar Akta Hasutan Didengar Mahkamah November Ini

Hata Wahari
2016.09.08
Kuala Lumpur
160908_MY_ZUNAR_COURT_640.jpg Zunar (kiri), N. Surendran (tengah) dan Eric Paulsen, yang mencabar Akta Hasutan 1948, ketika berada di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, 8 September 2016.
Hata Wahari/BeritaBenar

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis menetapkan 22 November ini untuk mendengar permohonan mencabar Akta Hasutan 1948 oleh kartunis Malaysia bertaraf antarabangsa Zunar atau Zulkiflee Anwar Ulhaque serta dua peguam lain.

Hakim Zaman Mohd Noor menetapkan tarikh tersebut setelah menerima pindaan permohonan itu mengikut Seksyen 30 Akta Mahkamah Kehakiman itu yang dikemukakan oleh peguam Latheefa Koya, yang mewakili ketiga-tiga tertuduh yang menghadapi tuduhan berasingan di bawah akta berkenaan.

Selain Zunar, turut mencabar akta itu adalah peguam N. Surendran yang juga Ahli Parlimen Padang Serai dari Parti Keadilan Rakyat dan peguam hak asasi manusia Eric Paulsen.

Ahmad Sazilee Abdul Khairi mewakili pihak pendakwaan.

Permohonan cabaran itu mengandungi permintaan supaya Mahkamah Tinggi mendengar penghujahan sama ada Akta Hasutan 1948 bertentangan Perlembagaan Malaysia, jika dibenarkan oleh Mahkamah Sesyen.

Cabar akta berdasarkan tiga perkara

Latheefa ketika ditemui menjelaskan bahawa Hakim Zaman menerima pindaan untuk mencabar tuduhan di bawah akta itu berdasarkan kepada tiga perkara di dalam Perlembagaan Malaysia.

Beliau berkata, perkara pertama adalah sama ada akta itu bertentangan dengan perlembagaan negara secara keseluruhan, perkara kedua berkaitan dengan Seksyen 33 Akta Hasutan yang menetapkan bahawa niat tidak penting dalam menentukan sesuatu perbuatan hasutan.

“Perkara ketiga adalah kami akan memberikan penghujahan balas dengan membangkitkan sama ada akta itu sesuai  lagi (sekarang) memandangkan ia digubal sebelum Merdeka,’’ katanya kepada pemberita di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur pada Khamis.

Menurutnya, kelewatan perbicaraan di bawah seksyen itu berpunca daripada pertukaran Hakim Amernudin Ahmad pada  Jun tahun lepas.

“Hakim yang mendengar sekarang adalah hakim baru. Oleh itu, terdapat kelewatan untuk membuat pindaan serta menetapkan tarikh perbicaraan kes tersebut,” katanya.

Zunar menghadapi sembilan pertuduhan di bawah Akta Hasutan berikutan Tweet beliau mengenai keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap perbicaraan kes liwat kedua Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim pada Februari tahun lepas.

Surendran pula dituduh membuat dakwaan menghasut bahawa terdapat konspirasi politik di sebalik dakwaan liwat terhadap Anwar dalam satu video YouTube.

Paulsen didakwa menulis Tweet berunsur hasutan dengan mendakwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyebarkan ekstremisme melalui khutbah Jumaat.

Zunar bertemu peminat ketika pameran lukisan kartunnya ‘Zunar Cartoon @rt PJ’ di Petaling Jaya  pada 3 September, 2016. [HaireezAzeem Azizi/BeritaBenar]

Zunar bersedia dipenjarakan

Zunar ketika ditemui berkata, beliau tidak memikirkan apa yang akan berlaku sekiranya didapati bersalah dalam kes itu namun, menegaskan bahawa beliau sedia berdepan dengan sebarang kemungkinan termasuk dipenjarakan.

“Tentunya saya bersedia untuk segala kemungkinan hatta penjara sekali pun. Dan yang paling penting, saya akan terus melukis. Mungkin lukisan saya selepas ini di balik gerigi besi penjara, tentunya saya akan mempunyai banyak modal ataupun idea-idea untuk lukisan bagi rakyat Malaysia,” katanya kepada BeritaBenar.

Pada Mei lalu, Zunar memenangi Hadiah Kartun Editorial Antarabangsa 2016  daripada Yayasan Kartun untuk Keamanan Swiss secara bersama dengan pelukis karikatur  Kenya, Gado sempena sambutan Hari Kebebasan Media Sedunia di Geneva, Switzerland.

Zunar juga adalah satu-satunya rakyat Malaysia bersama 10 individu lain dari seluruh dunia dipilih dalam kempen “Write for Rights (‪#‎W4R) 2015” oleh Amnesty International.

Selain itu, kartunis berkenaan juga merupakan penerima Anugerah Kebebasan Akhbar Antarabangsa daripada Committee to Protect Journalist, sebuah ‘organisasi tanpa keuntungan’ antarabangsa yang menggalakkan kebebasan akhbar, pada November lalu.

Akta Hasutan digubal oleh kerajaan kolonial British pada 1948 untuk memerangi komunis, dan dipinda oleh Malaysia berikutan rusuhan kaum pada 1969.

Laporan Pusat Kewartawanan Bebas Malaysia menyatakan bahawa undang-undang yang mentakrifkan "hasutan" semakin meluas dan meletakkan banyak batasan terhadap kebebasan bersuara terutamanya mengenai isu politik yang sensitif.

Pertubuhan hak asasi manusia terkemuka tempatan, Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), dalam satu laporan pada Jun berkata, sebanyak 220 kes di bawah Akta Hasutan 1948 telah berjaya didokumentasikan sepanjang tahun lepas.

Menurut laporan SUARAM itu, sebahagian besar daripada kes-kes tangkapan di bawah akta itu melibatkan pembela hak asasi manusia dan ahli politik pembangkang.

Ia turut mendakwa berlakunya penahanan berpanjangan, penafian jaminan serta penggunaan penyeksaan terhadap individu yang ditahan di bawah akta itu sepanjang 2015.

Nota Pengarang: Zunar adalah penyumbang BeritaBenar.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.