Beberapa Sektor Perniagaan di Malaysia Kembali Beroperasi

Nisha David & S. Mahfuz
2020.05.04
Kuala Lumpur, Malaysia
200504-MY-SS-BS01.jpg

Kelihatan hanya beberapa pelanggan menggunakan perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) semasa bukan waktu puncak selepas langkah kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan memberi kelonggaran kepada sektor tertentu kembali beroperasi bagi membantu menggerak serta memulihkan aktiviti ekonomi domestik negara, di Kuala Lumpur, Malaysia, 4 Mei, 2020. [S. Mahfuz/BeritaBenar]

200504-MY-SS-BS05.jpg

Jalanraya di sekitar ibunegara mulai dipenuhi motorsikal dan kereta selepas langkah kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai Isnin. Sejak 18 Mac lepas Malaysia berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan apabila pentadbrian Putrajaya berusaha mematahkan rantaian jangkitan pandemik COVID-19 di seluruh negara, di Kuala Lumpur, Malaysia, 4 Mei, 2020. [S. Mahfuz/BeritaBenar]

200504-MY-SS-BS02.jpg

Seorang pekerja pasaraya sedang menjalankan kerja-kerja menyahkuman troli yang akan digunakan oleh pelanggan di sebuah pasaraya di Kuala Lumpur, Malaysia, 4 Mei 2020. [S. Mahfuz/BeritaBenar]

200504-MY-SS-BS03.jpg

Pekerja Transit Aliran Massa (MRT) memeriksa suhu badan penumpang sebelum dibenar untuk menggunakan perkhidmatan keretapi itu selepas kerajaan mengambil langkah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kepada rakyat Malaysia, di stesen MRT Bukit Bintang, Kuala Lumpur, Malaysia, 4 Mei, 2020. [S. Mahfuz/BeritaBenar]

200504-MY-SS-BS04.jpg

Pengurusan sebuah komplek membeli belah memasang penanda penjarakan sosial di lantai sebuah lif, bagi memastikan orang ramai mematuhi arahan yang ditetapkan selepas langkah kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai Isnin, di Kuala Lumpur, Malaysia, 4 Mei, 2020. [S. Mahfuz/BeritaBenar]

200504-MY-SS-BS07.jpg

Selepas lebih sebulan peniaga menghentikan operasi akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu, kelihatan pekerja sedang membersihkan ruang kaki lima premis menjual pakaian yang terletak di Jalan Tunku Abdul Rahman, di Kuala Lumpur, Malaysia, 4 Mei, 2020. [S. Mahfuz/BeritaBenar]

200504-MY-SS-BS06.jpg

Seorang pekerja sebuah butik sedang menghiasi patung dengan koleksi terkini sempena sambutan perayaan Aidilfitri tidak lama lagi di Jalan Tunku Abdul Rahman di Kuala Lumpur, Malaysia, 4 Mei, 2020. [S. Mahfuz/BeritaBenar]

200504-MY-SS-BS08.jpg

Pekerja sebuah restoran berpakaian lengkap dengan bersarung tangan, topeng muka, helmet pelindung dan sanitiser tangan menanti ketibaan pelanggan di Kuala Lumpur, Malaysia, 5 Mei 2020. [S. Mahfuz/BeritaBenar]

200504-MY-SS-BS09.jpg

Seorang pemilik kedai menjual pakaian sedang menampalkan penanda dilantai berhadapan kedainya supaya pelanggan dapat mengamalkan penjarakan sosial di Jalan Tunku Abdul Rahman di Kuala Lumpur, Malaysia, 4 Mei, 2020. [S. Mahfuz/BeritaBenar]

200504-MY-SS-BS10.jpg

Orang awam yang mahu menggunakan perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) perlu mematuhi syarat yang ditetapkan termasuk penjarakan sosial sebelum boleh menaiki keretapi, selepas kerajaan mengambil langkah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kepada rakyat Malaysia, di stesen MRT Bukit Bintang, Kuala Lumpur, Malaysia, 4 Mei, 2020. [S. Mahfuz/BeritaBenar]

Beberapa sektor perniagan di Malaysia kembali beroperasi pada Isnin, dengan syarat semua pihak perlu mematuhi arahan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), langkah yang dibuat pentadbiran Putrajaya yang memulihkan ekonomi negara yang terjejas teruk akibat penularan pandemik COVID-19.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam ucapan semasa sambutan Hari Pekerja minggu lalu berkata, “Kerajaan telah memutuskan untuk membuka semula sektor ekonomi secara berhati-hati dengan menguatkuasakan Prosidur Operasi Standard (SOP) kesihatan yang ketat,”

“Bermula 4 Mei 2020, hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan akan dibenarkan beroperasi tertakluk kepada syarat-syarat dan SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa,” tambah beliau

Walaupun kerajaan Persekutuan telah memberi kebenaran beroperasi kepada pelbagai sektor perniagaan dan aktiviti sosial, sembilan dari 13 negeri di negara itu, bagaimanapun, memutuskan untuk tidak sepenuhnya mengikuti langkah tersebut.

Kedah, Sabah, Pahang, Pulau Pinang, Kelantan dan Sarawak memutuskan untuk tidak mengikuti PKPB, manakala Selangor, Perak dan Negeri Sembilan mengatakan kerajaan negeri akan mengehadkan bilangan perniagaan yang dibenarkan untuk beroperasi semula.

Orang awam yang ditemui BeritaBenar turut menyuarakan kebimbangan kepada peluang yang minima untuk penjarakkan sosial dengan perlonggaran undang-undang di bawah PKPB.

Surirumah, Shamundeswari Sivanathan menyuarakan rasa bimbang untuk membeli barangan dapur sekarang selepas melihat beberapa orang daripada keluarga yang sama keluar membeli belah.

"Kebanyakan mereka tidak mengamalkan penjarakkan sosial. Mereka mungkin tidak takut, tetapi saya mempunyai anak kecil di rumah dan saya risaukan keselamatan dan kesihatan mereka," kata wanita berusia 39 tahun itu.

Bagi seorang pegawai polis wanita, Fauziah Idrus turut bimbang dengan kekurangan pengamalan penjarakkan sosial yang disaksikannya sejak akhir-akhir ini.

"Sejak awal lagi, saya bekerja shif semata-mata untuk memastikan orang ramai patuh kepada PKP. Hari ini, orang ramai berjalan bebas tanpa mengamalkan penjarakkan sosial, pergi ke tempat yang dipenuhi orang dan membeli belah, berikutan tiada lagi sekatan jalanraya.

Sementara itu, Menteri Kanan Mohamed Azmin Ali menegaskan keputusan kerajaan persekutuan membuka semula ekonomi adalah sah dari segi undang-undang.

“Keputusan membuka semula sektor ekonomi di dalam tempoh PKPB dibuat dengan penuh teliti, berhati-hati dan bertanggungjawab serta didokong oleh data dan kajian oleh Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan dan Industri Antarabangsa, Bank Negara dan Khazanah Nasional Berhad," kata Azmin.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.