Kampung Baru: Penduduk Berdepan Ketidakpastian Pembangunan
2019.11.27
Kuala Lumpur, Malaysia
Pewaris dan penduduk Kampung Baru, kawasan Melayu bersejarah di Kuala Lumpur yang mahu dibangungkan oleh kerajaan Pakatan Harapan, berdepan dengan ketidakpastian berhubung rancangan itu.
Terdapat juga suara kebimbangan yang jelas daripada mereka yang tidak mahu tanah kawasan Melayu di tengah-tengah Kuala Lumpur itu dijual, sebaliknya pemilik dan pewaris bertegas mahu pembangunan dilakukan mengikut acuan mereka sendiri.
Kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Perdana Menteri Mahathir Mohamad sedang berusaha untuk membangunkan kawasan berkeluasan 222.76 ekar (89.70 hektar) yang mempunyai tujuh buah kampung tradisi sejak diwartakan pada Januari 1964.
Usaha untuk membangunkan kawasan orang Melayu itu adalah yang kedua dibuat pentadbiran Mahathir sebagai Perdana Menteri.
Perkara itu mula dibincangkan sejak tahun 1980-an lagi, semasa Mahathir mula memimpin Malaysia sebagai Perdana Menteri ke-4 negara.
Bagaimanapun dua perdana menteri selepas Mahathir, iaitu Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Razak turut gagal dalam membangunkan Kampung Baru yang dihimpit dek kepesatan pembangunan di sekelilingnya di mana Menara Berkembar Kuala Lumpur hanya beberapa meter jauh dari kawasan berkenaan.
Kampung Baru yang berusia 122 tahun dilihat memerlukan pembangunan bagi mengubah imejnya yang dikatakan masih lagi mundur, usang dan tidak mempunyai infrastruktur serta kemudahan bandar yang baik.
Setiausaha Pertubuhan Pemilik dan Waris Kampung Baru (PEWARIS) Zainuddin Ismail yang mewakili 200 ahli terdiri daripada pemilik dan waris tanah Kampung Baru berkata penduduk Kampung Baru bukanya menolak pembangunan sebaliknya kurang bersetuju dengan pelan pembangunan yang dicadangkan oleh pihak kerajaan.
"Kami (penduduk Kampung Baru) mahukan pembangunan tetapi mesti mengekalkan suasana kampung yang terdapat disini. Macam saya, berasal dari Kampung Atas A. Kami hidup bermasyarakat dengan penduduk kampung yang lain sejak sekian lama." katanya.
Seorang waris tanah Kampung Baru, Zainal Abidin berusia awal 60an semasa ditemui memberitahu BeritaBenar, "Kampung Baru sudah berusia lebih 100 tahun dan merupakan tanah kurniaan Sultan. Jadi ia tidak boleh dijual dan sepatutnya dipertahankan.”
Pakar undang-undang, Prof Salleh Buang menegaskan dalam membangunkan Kampung Baru, kerajaan hendaklah memikirkan apa yang terbaik bagi penduduk Kampung Baru bukan hanya apa yang terbaik untuk kerajaan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)
Menurut bancian Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) pada 2010, jumlah penduduk di Kampung Baru adalah seramai 18,372 orang dan cadangan pembangunan semula Kampung Baru menyasarkan 160,000 penduduk pada 2050.
Jumlah kediaman di Kampung Baru pada masa kini pula antara 3,500 dan 4,000 unit. Pembangunan nanti akan memberi pertambahan sehingga 45,000 unit kediaman.