Deman Pilihan Raya Di Sarawak
2016.05.02
Kuching, Sarawak
Terletak di pantai barat laut Borneo, dilitupi hutan tebal, negeri Sarawak di Malaysia adalah sebuah negeri yang kedudukannya jauh daripada dakwaan rasuah, salah guna kuasa dan salah urus dana negara yang kini membelenggui pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak.
Seramai 1.3 juta pengundi berdaftar di negeri itu, kini sedang bersedia untuk mengundi pada pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) yang telah ditetapkan 7 Mei ini, dengan kebanyakan penduduk Sarawak terus menjalani kehidupan harian mereka dan tidak sedar akan apa yang berlaku, kerana sebahagian besar penduduk di negeri itu terputus atau kekurangan infrastruktur asas.
Suku kaum dan juga masyarakat lain yang tinggal di kawasan pendalaman dipisahkan secara menyeluruh kerana rupa bumi yang berceranggah serta sungai bersimpang siur.
Mereka yang tinggal di kawasan terpencil tidak mengendahkan tentang tadbir urus, tetapi lebih mengutamakan kemampuan membawa pulang makanan buat keluarga. Namun, majoriti penduduk luar bandar itu turut memainkan peranan penting dalam pilihan raya yang akan menentukan parti mana bakal menguasai politik negeri.
Kerajaan Barisan Nasional telah memerintah politik tempatan selama 53 tahun. Ia telah menjanjikan projek-projek infrastruktur besar di kawasan pedalaman Sarawak seperti Lebuhraya Pan Borneo sepanjang 1,089 km (676 batu) dari Telok Melano ke Merapok, yang dijangka siap pada 2023 dan menjadi laluan utama pengangkutan bagi negeri itu dan negeri jirannya Sabah.
Lapan puluh kerusi dalam DUN akan menjadi rebutan pada Jumaat ini dengan Barisan Nasional telahpun memenangi dua kerusi tanpa bertanding.