TUNTUTAN BARU CHINA DI LAUT CHINA SELATAN


Beting Pasir, Terumbu Tenggelam dan Ngarai Dalam Laut: Tuntutan Baru China di Laut China Selatan

Oleh Drake Long


Dengan ketegangan semakin memuncak di Laut China Selatan, China telah menamakan dan menuntut 80 ciri geografi yang tidak jelas di perairan yang menjadi pertikaian itu, ketika ia meningkatkan usaha agresifnya untuk menandakan wilayah dan menyekat pihak lain yang turut menuntut kawasan itu.

Dengan menggunakan pengimejan satelit dan perisian pemetaan, Radio Free Asia telah meneliti tuntutan-tuntutan tersebut - yang diumumkan oleh China pada bulan lalu - dan mendapati tuntutan berkenaan merangkumi batu, beting pasir dan terumbu kecil yang bertaburan di luar pesisir Vietnam serta di sekitar rantaian Kepulauan Paracel dan Kepulauan Spratly yang menjadi pertikaian tersebut dengan secara keseluruhannya, sebanyak enam negara membuat tuntutan ke atasnya. Sebilangan besar daripada 80 ciri itu terdampar di dasar laut. Tidak ada satupun daripadanya yang memenuhi syarat sebagai pulau, walaupun China berkeras ia adalah sedemikian.


Dengan senarai terbaru ini, China kini menuntut lebih daripada 300 ciri darat di permukaan dan di dalam perairan di Laut China Selatan. Para pakar memberi amaran bahawa tuntutan baru itu akan menimbulkan keresahan dalam rundingan mengenai Kod Tata Laku di antara China dan Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), dengan Vietnam, Malaysia dan Filipina telah mengemukakan bantahan terhadap pendirian Beijing berhubung wilayah yang kaya dengan sumber itu.

Latar Belakang


Pada 19 April lalu, Kementerian Hal Ehwal Sivil dan Kementerian Sumber Asli China mengumumkan bahawa Suruhanjaya Nama Geografi China telah menyenaraikan 80 "pulau" sebagai sebahagian daripada misinya untuk menyeragamkan semua tuntutan China di Laut China Selatan.

Senarai nama dan koordinat itu dimaklumkan pada hujung minggu yang sama di mana China mengumumkan dua daerah pentadbiran baru yang akan dibentuk di bawah Bandar Sansha, sebuah penempatan yang dibina di Pulau Woody dalam rantaian Pulau Paracel - cubaan terbaru Beijing untuk menegaskan bahawa hanya ia yang berhak untuk mentadbir keseluruhan Laut China Selatan.

Secara keseluruhannya, kedua-dua daerah itu merangkumi lebih daripada sejuta batu persegi air dan batu.

Langkah itu dibantah keras oleh Vietnam dan Filipina yang turut membuat tuntutan di kawasan berkenaan. Para pakar menyatakan tiada asas dalam undang-undang antarabangsa bagi penegasan China terhadap kedaulatan kawasan darat dan perairan yang terletak beratus-ratus batu jauhnya dari kawasan darat di negaranya sendiri. Mahkamah Timbang Tara Tetap pada 2016 telah memutuskan bahawa penghujahan China mengenai "hak bersejarah" itu adalah tidak sah.


Tuntutan maritim dan tindakan agresif China yang melampau di Laut China Selatan berdepan dengan bantahan yang semakin meningkat daripada negara-negara jirannya di Asia Tenggara.


Oleh itu, mengapa China kini menambah tuntutan baru itu yang meliputi bahagian dasar laut yang tidak jelas? Greg Poling, pengarah Inisiatif Ketelusan Maritim Asia di Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa di Washington, memberitahu bahawa ada penjelasan mudah bagi perkara tersebut: nasionalisme.

"Ketika China berdepan kritikan berhubung tindak balasnya semasa COVID-19, termasuk kemarahan terhadap kegiatan dan pencerobohannya yang berterusan di Laut China Selatan di tengah-tengah penularan wabak itu, Beijing menggandakan usaha nasionalisme yang mendabik dada," kata Poling.

"Itu mungkin berkesan di dalam negaranya. Tetapi di peringkat antarabangsa, langkah ini secara khususnya hanya menonjolkan lebih banyak ciri baru dan keadaan tanpa perancangan China terhadap kononnya tuntutan lama yang dibuatnya ke atas Laut China Selatan," kata beliau.


Tidak Cukup Kawasan Darat, Tuntut Pula Ciri Dalam Laut


Kali terakhir China mengemas kini senarai nama untuk ciri-ciri tuntutannya di Laut China Selatan adalah pada 1983, tetapi perbezaan besar kali ini menyaksikan ia memasukkan lebih banyak ciri di dalam laut – sebanyak 55, secara tepatnya - yang merangkumi ngarai, cerun, dan banjaran gunung atau bukit dasar laut yang dikenali sebagai gunung laut.

Mengikut undang-undang antarabangsa, ciri-ciri dalam laut hanya boleh dituntut oleh sesebuah negara jika ia berada dalam jarak 12 batu nautika dari kawasan darat. Sebilangan besar ciri yang dituntut oleh China bukanlah seperti itu.



Sebahagian besar motif China membuat tuntutan itu mungkin kerana mahu mengekploitasi sumber-sumber laut wilayah tersebut. China telah banyak melabur dalam kerja-kerja peninjauan dan pemetaan laut dalam. Kapal peninjau Hai Yang Di Zhi 8 baru-baru ini memetakan dasar laut di perairan yang dipertikaikan dengan Malaysia dan Vietnam. China mempunyai lebih banyak kapal peninjau bagi tujuan itu berbanding negara-negara lain, dan baru-baru ini ia mengumumkan bahawa negaranya telah memecah rekod dunia kerana mengeluarkan gas asli dari dasar laut berkenaan.

Justeru, siapakah yang berhak mengeksploitasi sumber-sumber dasar laut? Julian Ku, profesor di Hofstra School of Law di Hempstead, New York, berkata mengikut Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) "negara-negara tidak mempunyai 'kedaulatan' di dasar laut tetapi ia mempunyai hak ekonomi eksklusif bagi wilayah pentas benua sendiri dan diperluaskan." Ini bermakna sesebuah negara mempunyai kawalan eksklusif terhadap eksploitasi sumber dasar laut seperti minyak, gas asli dan mineral.

Tetapi, beberapa ciri baru yang dituntut oleh China seperti Wan'an Haidixiaguqun (Wan'an Undersea Canyon Group), jelas berada dalam jarak 200 batu nautika dari pesisir Vietnam, yang menempatkannya di pentas benua Vietnam. Walaupun China menegaskan bahawa ia turut memiliki pentas benua yang tersebar dari Kepulauan Spratly dan Kepulauan Paracel yang menjadi pertikaian dan boleh diperluas ke kawasan tersebut, ia merupakan pendirian sah yang tidak pernah diperakukan mengikut UNCLOS.


Lokasi "Wan'an Undersea Canyon Group" yang dinamakan oleh China di luar pesisir Vietnam.


Tambahan pula, belum pernah berlaku di mana sebuah negara menamakan ciri-ciri bawah laut seperti yang dilakukan oleh China. Ku memetik kes Mahkamah Keadilan Antarabangsa membabitkan Qatar dan Bahrain yang akhirnya memutuskan bahawa penamaan ciri-ciri bawah laut tidak memiliki sebarang makna sah dan tidak boleh dianggap sebagai tanda kedaulatan atau hak bersejarah terhadap sesuatu kawasan.

Tetapi, apakah motif China dalam menamakan ciri-ciri tersebut sekarang?

Olli Suorsa, felo penyelidik di Sekolah Kajian Antarabangsa S. Rajaratnam di Singapura, menyatakan bahawa langkah itu dapat memenuhi "tujuan psikologi" pada ketika timbulnya rasa tidak yakin yang amat ketara di Laut China Selatan.

"Dengan adanya struktur pentadbiran, China nampaknya menerapkan undang-undang domestiknya untuk mentadbir ciri-ciri maritim dan perairan berdekatan yang dituntutnya sebagai pengganti undang-undang antarabangsa terutamanya UNCLOS," kata Suorsa.


Video pada 2014 menunjukkan sebuah kapal Pengawal Pantai China melanggar kapal tentera laut Vietnam berhampiran Kepulauan Paracel yang menjadi pertikaian.


China terus memberi tekanan kepada Vietnam dan ahli Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) yang lain supaya tidak bekerjasama dengan mana-mana negara luar atau syarikat antarabangsa dalam meneroka sumber di perairan mereka.

Ini adalah pendirian utama yang dibawa oleh China dalam rundingannya dengan ASEAN mengenai Kod Tata Laku di Laut China Selatan. Perbincangan itu, yang sekian lama dinantikan bagi mengawal selia tata laku antara negara-negara yang membuat tuntutan secara rasmi di wilayah itu, bermula pada 2017 dengan harapan dapat mengurangkan konflik. Walau bagaimanapun, senarai ciri-ciri geografi baru yang dikemukakan China itu menambahkan lagi kesukaran dalam rundingan rumit itu yang, berdasarkan banyak kejadian, dilihat semakin goyah.

"China terus mengubah fakta di lapangan sambil menegaskan untuk mengekalkan status quo. Status quo itu berubah dengan memihak kepada China setiap hari," kata Suorsa. "Tindakan China di Laut China Selatan itu menyukarkan sebarang pelaksanaan perjanjian Kod Tata Laku secara konstruktif."

Perbincangan mengenai Kod Tata Laku itu telah ditangguhkan sekali pada tahun ini berikutan pandemik COVID-19.


Permukaan Laut: Tuntutan di Kepulauan Paracel


Daripada 25 ciri di permukaan laut dalam senarai baru China itu, sebanyak 12 adalah terletak di Kepulauan Paracel iaitu rantaian pulau di bahagian utara Laut China Selatan. Kepulauan Paracel juga dituntut oleh Taiwan dan Vietnam. China menguasai kawasan batu dan terumbu yang terdapat di Kepulauan Paracel pada 1974 selepas pertempuran tentera laut dengan pemerintahan Vietnam Selatan ketika itu.


Para pakar menekankan bahawa secara teknikalnya, tiada satu pun daripada12 ciri itu yang merupakan tuntutan baru - kerana China telah menuntutnya berdasarkan "hak bersejarah" dan sembilan garis putus yang secara kasarnya membatasi kawasan luas Laut China Selatan itu, dengan negara itu mendakwa mempunyai kedaulatan ke atasnya. Tetapi, apa yang dilakukan China sekarang adalah memetakan kawasan itu dengan lebih terperinci.

China mendakwa Kepulauan Paracel sebagai "kepulauan luar pesisir" dan pada 1996, ia melakukan garis dasar di sekitarnya, yang menghubungkan titik-titik paling luar yang biasanya digunakan oleh negara-negara pulau bagi menghimpunkan pulau-pulau mereka demi mewujudkan sempadan di persada lautan. Dengan berbuat demikian, China berharap dapat memperluaskan lagi zon ekonomi eksklusif dan pentas benua miliknya di seluruh bahagian utara Laut China Selatan. Ini diputuskan sebagai tidak sah dalam keputusan timbang tara pada 2016 yang melibatkan China dan Filipina.


"Sanzhizai", ciri baru China di timur laut Kepulauan Paracel yang terletak di antara Pulau Tengah dan Pulau Selatan. Pulau Utara menempatkan sebuah pos tentera China.


Satu daripada ciri baru itu, Sanzhizai, merupakan beting pasir yang berdasarkan pengimejan satelit menunjukkan ia tidak berpenghuni dan jarang berada di permukaan lautan pada sepanjang masa. Ia terletak di antara Pulau Tengah dan Pulau Selatan, yang juga tidak diduduki dan dituntut oleh China. Negara itu menduduki semua kawasan berdekatan dengannya termasuk Pulau Utara, yang menempatkan sebuah pos kecil tentera, dan Pulau Tree yang menempatkan sebuah pelabuhan dan pangkalan tentera yang lebih besar.

Sebanyak 11 ciri lain yang dinamakan China di Kepulauan Paracel adalah antara ciri-ciri Crescent Group, yang merupakan gugusan kecil terumbu dan batu di mana beberapa daripadanya telah diterokai China dengan membina pos tentera yang terletak kira-kira 45 batu nautika dari pangkalan utama China di Pulau Woody.

Tidak ada pulau, yang dinamakan oleh China di Kepulauan Paracel, yang memenuhi syarat-syarat sah sebagai pulau. Dua daripadanya sentiasa tenggelam. Yang lain merupakan terumbu cetek atau beting pasir. Kuangzai Beidao - atau Pulau Basket Utara - misalnya, adalah hanya sebidang tanah yang keluasannya kurang daripada persepuluh batu dari satu hujung ke hujung yang lain. Ia bersebelahan dengan pulau kecil yang diduduki China yang disebut sebagai Terumbu Antelope, yang menempatkan beberapa bangunan.

Berdasarkan keputusan timbang tara pada 2016 di Laut China Selatan, syarat bagi memenuhi definisi sebagai pulau adalah dengan mempunyai satu ciri yang dapat "kekal secara semula jadi" menjadi penempatan manusia dan kegiatan ekonomi tanpa adanya bantuan dari luar. Kuangzai Beidao jelas tidak memenuhi syarat tersebut – begitu juga dengan ciri-ciri lain yang terdapat di dalam senarai itu.


Kuangzai Beidao atau "Pulau Basket Utara" pada 23 April 2020. Kawasan darat itu terletak di Terumbu Antelope, di bahagian utara penempatan utama China di Kepulauan Paracel.


Ciri-ciri baru yang lain jelas menunjukkan bahawa ia akan mengisi ruang dan jurang yang terdapat di antara dan sekitar pos tentera China dengan pulau-pulau buatan. Guangjin Beiyidao dan Guangjin Bei'erdao (Pulau Pertama Guangjin Utara dan Pulau Kedua Guangjin Utara) tidak dapat dibezakan antara satu sama lain, dan China menyenaraikan koordinat yang sama bagi kedua-duanya namun, bersama-sama dengan Guangjin Xidao (Pulau Guangjin Barat), ia membentuk penghadang pasir yang kecil di bahagian barat Pulau Duncan, yang menempatkan sebuah pelabuhan dan pos tentera yang dibina China.


Imej satelit Pulau Duncan pada 28 April 2020. Guangjin Beiyidao, Bei'erdao dan Guangjin Xidao berada di sebelah barat. Guangjin Beiyidao dan Bei'erdao mempunyai koordinat yang sama mengikut senarai yang dikemukakan China tetapi berdasarkan nama-nama itu, ia boleh dianggap merujuk kepada dua tebing pasir di sebelah satu sama lain di bahagian kiri atas. Pulau Duncan menjadi pelabuhan bagi para nelayan dan pengawal pantai China.


Ciri-ciri ini nampaknya merupakan sebahagian daripada usaha berterusan China untuk menentukan garis dasar yang lebih jelas di sekitar Kepulauan Paracel, yang akan membolehkan China menghimpunkan semua ciri berkenaan supaya lebih mudah menjadi rantaian pulau luar pesisir. China sudahpun meminta kapal-kapal supaya mendapatkan kebenaran sebelum berlayar melalui Kepulauan Paracel. Ini menyebabkan A.S. terus melakukan operasi bebas berlayar di Kepulauan Paracel, dengan menganggap garis dasar China di sekitar Kepulauan Paracel sebagai tidak sah.


Permukaan Laut: Tuntutan di Kepulauan Spratly


Sebanyak 13 ciri lain permukaan laut yang dinamakan China adalah terletak di Kepulauan Spratly, iaitu rangkaian batu dan pulau di mana Vietnam, Taiwan, Filipina, Malaysia dan Brunei membuat tuntutan bertindih. Ia terletak di bahagian selatan Laut China Selatan.

Kepulauan Spratly merangkumi Tebing Vanguard di mana China dan Vietnam terbabit dalam pertembungan tegang yang melibatkan beberapa kapal pengawal pantai dan bot-bot nelayan separa tentera pada separuh kedua 2019, dan Terumbu Fiery Cross yang menempatkan pangkalan tentera utama yang sering dikunjungi oleh tentera laut, pengawal pantai dan tentera udara China.

Ciri-ciri baru di Kepulauan Spratly adalah amat kecil, tetapi setelah menghimpunkan kesemua koordinat itu, adalah mudah untuk memahami mengapa China membuat tuntutan ke atas kawasan tersebut. Ciri-ciri berkenaan bertaburan di sekitar Terumbu Barat - di mana negara saingannya, Vietnam, telah membina sebuah pos tentera sendiri antara 2013 dan 2016 dan menambah dua pos peninjau di kawasan berdekatan dalam tempoh yang sama.


Keseluruhan terumbu itu juga tidak wajar dinamakan tetapi China pantas melabelkan setiap satu daripadanya - sebagai sebahagian daripada rantaian "pulau-pulau" Xijiao (Terumbu Barat) dan Longbi (Dragon’s Nose). Atas sebab-sebab yang tidak jelas, beberapa ciri kecil turut dilabelkan sebanyak dua kali dengan nama yang berbeza. Sebagai contoh Xijiao Dongdao (Pulau Timur Terumbu Barat) juga dikenali sebagai Longbi Dongdao (Pulau Timur Dragon’s Nose) dan Xijao Xidao (Pulau Barat Terumbu Barat) juga dikenali sebagai Longbi Xidao (Pulau Barat Dragon’s Nose).

"Nampaknya, ini adalah beberapa khayalan ahli kartografi kerajaan yang dikeluarkan daripada kabinet pemfailan untuk menampung senarai nama-nama baru itu, yang Beijing mungkin cenderung menunjukkan rasa tidak senangnya terhadap kritikan negara-negara Asia Tenggara, dan khususnya Vietnam, berhubung ketegangan di Laut China Selatan baru-baru ini,” kata Poling.


Satu daripada pos tentera Vietnam di Terumbu Barat, yang menurut China, dicerobohi dan diduduki secara haram. China kini menggelar pos tersebut sebagai 'Longbi Xidao' atau 'Xijiao Xidao.'


China dan Vietnam bertelagah sejak beberapa bulan lalu berikutan tindakan kapal Pengawal Pantai China (CCG) menenggelamkan sebuah bot nelayan Vietnam pada 3 April dan beberapa siri bantahan bagi mempertikaikan tuntutan satu sama lain terhadap Laut China Selatan yang dikemukakan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Nota bantahan terbaharu yang dikemukakan China menyasarkan penegasan terhadap Vietnam dengan menggesanya supaya "menarik balik kesemua kru dan kemudahan dari pulau-pulau dan terumbu-terumbu yang dicerobohi dan didudukinya secara haram."

Malaysia dan Filipina telah mengemukakan bantahan terhadap tuntutan-tuntutan baru yang dibuat oleh China, yang menunjukkan kesepakatan yang jarang sekali berlaku - sejurus sebelum China mengumumkan daerah pentadbiran baru dan menerbitkan senarai 80 ciri baru itu.



Anggota-anggota Tentera Laut PLA China berjalan menyeberangi Pulau Woody, pangkalan tentera dan bandar terbesar China di Kepulauan Paracel.

Kelasi Vietnam mengawasi perairan dari sebuah pos tentear Vietnam di Kepulauan Spratly.




Laman web diterbitkan oleh: Minh-Ha Le
-------------
Ilustrasi grafik: Rebel Pepper
-------------
Anotasi peta: Drake Long, Vince Meadows
-------------
Suntingan: H. Leo Kim, Mat Pennington
-------------
Foto: Reuters, YouTube
-------------
Imej satelit: Google Earth, Planet Labs Inc.
-------------
Diterbitkan oleh Radio Free Asia

© 2020 Semua Hak Cipta Terpelihara.