Malaysia Keluar Buku Terangkan Maksud Jihad Sebenar

Oleh Hata Wahari
2015.04.21
150421-MY-JAKIM620 Pelajar berlari di luar kelas semasa hari pertama persekolahan di sebuah sekolah agama di Kuala Lumpur pada 4 Januari 2012.
AFP

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), sebuah agensi kerajaan yang mentadbir hal ehwal agama Islam, pada Selasa menerbitkan buku setebal 24 muka surat dalam usaha membersihkan persepsi negatif terhadap maksud jihad yang sebenarnya.

Buku yang bertajuk “Jihad dan Konsepnya” bakal diedarkan di kesemua sekolah dan universiti di negara itu, dalam usaha kerajaan menangani propaganda kumpulan militan Negara Islam (IS) yang mempergunakan perkataan jihad untuk mempengaruhi golongan muda menyertai mereka.

Buku yang diterbitkan dengan kerjasama oleh Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), menegaskan bahawa jihad bererti seseorang Islam melawan musuh yang jelas, melawan godaan syaitan dan melawan hawa nafsu.

Buku bersih persepsi negatif

Ketua Pengarah Jakim, Othman Mustapha berkata penerbitan buku itu adalah antara sebahagian daripada saranan yang di kemukakan oleh Jawatankuasa Bertindak Penjelasan Konsep Jihad yang ditubuhkan oleh kerajaan baru-baru ini.

Kerajaan Malaysia menubuhkan jawatankuasa itu bertujuan memperjelaskan tentang salah faham mengenai jihad di kalangan pelajar sekolah dan universiti selepas mendapati kumpulan militan itu, menyasarkan golongan muda untuk menyebarkan fahaman jihad tidak betul melalu media sosial selain mengetengahkan imej sebenar Islam.

Jawatankuasa yang ditubuhkan minggu lalu itu, dianggotai oleh Jabatan Pertahanan Awam, MKM, PDRM, Institut Kefahaman  Islam Malaysia dan Institut Penyelidikan Strategi Islam Malaysia.

“Penerbitan buku ini merupakan antara beberapa siri strategi kerajaan untuk menangani masalah IS dikalangan pelajar. Mereka boleh mendapat banyak manfaat dan maklumat tepat mengenai erti jihad sebenar dan juga isu-isu melibatkan agama Islam di Malaysia,” kata Othman semasa ditemui pemberita di Kuala Lumpur pada Selasa.

Majlis Fatwa Malaysia pada Isnin, membuat keputusan bahawa adalah haram bagi umat Islam di negara itu, menyertai, membantu atau menyokong kumpulan militan IS.

Pengerusinya Abdul Shukor Husin semasa muzakarah khas jawatankuasa majlis itu di Putrajaya pada Isnin berkata, perkara berkenaan diputuskan berikutan jihad yang menjadi pegangan gerakan itu yang mengelirukan dan tidak menepati kehendak Islam.

Beliau berkata “Mereka pergi berjihad tetapi bukan jihad yang diiktiraf oleh Islam. Jihad dalam Islam banyak syaratnya dan bukan hanya berperang begitu sahaja, lebih-lebih lagi jika peperangannya itu tidak jelas maksudnya,”

“IS menyatakan darah orang yang menentangnya halal dan semuanya dibunuh secara keganasan dan itu adalah tidak betul dalam pandangan Islam,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan muzakarah itu.

Setakat ini pihak berkuasa Malaysia sudah menahan sebanyak 95 orang kerana menyertai IS. Dua remaja berusia 14 tahun telah ditahan pada Feb dan dua minggu lalu sebelum berlepas ke Syria untuk menyertai kumpulan militan itu.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Bukit Aman Ayob Khan Mydin Pitchay seperti yang dilaporkan sebelum ini berkata kumpulan militan IS menyasarkan pelajar dari institusi pengajian tinggi Malaysia untuk menyertai sebagai pejuang jihad kumpulan berkenaan dengan memancing dan menjanjikan gaji bulanan sebanyak AS $ 2,000 (RM7,200) beserta penginapan dengan "polisi tidak boleh pulang" melainkan jika dibenarkan.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.