Follow us

Rombakan Organisasi Saksikan IS Namakan Wilayah Baru Di Asia Tenggara

Komentar oleh Zachary Abuza
2018-07-23
E-mel
Komen
Share
Seorang anggota tentera kerajaan berdiri di sebelah bendera Filipina berdekatan kubah sebuah masjid yang musnah di Marawi, bandar di selatan Filipina yang dirampas selama lima bulan pada 2017 oleh militan yang pro-Negara Islam, 7 April 2018.
Seorang anggota tentera kerajaan berdiri di sebelah bendera Filipina berdekatan kubah sebuah masjid yang musnah di Marawi, bandar di selatan Filipina yang dirampas selama lima bulan pada 2017 oleh militan yang pro-Negara Islam, 7 April 2018.
[Felipe Villamor / BeritaBenar]

Agensi berita al-Naba milik Negara Islam baru-baru ini mengumumkan mengenai rombakan besar-besaran kumpulan militan itu. Di Iraq dan Syria sahaja, sebanyak 22 wilayat (wilayah) IS telah disusun semula menjadi hanya dua, yang menunjukkan bahawa mereka telah kehilangan lebih daripada 80 peratus wilayah yang pernah ditawan di kedua-dua negara itu.

Dan mereka nampaknya - walaupun ada beberapa maklumat yang bercanggah – mahu menambah wilayah baru di Asia Tenggara: Wilayat Sharq Asiyya. Penubuhannya mengambil masa yang terlalu lama, walaupun sudah sekian lama dikehendaki oleh militan pro-IS di Asia Tenggara.

Militan pertama Asia Tenggara yang mengisytiharkan bai'at (kesetiaan) kepada Negara Islam (IS) pada pertengahan 2014. Antara yang pertama mengangkat sumpah ialah Isnilon Hapilon, dari Kumpulan Abu Sayyaf yang berpangkalan di Filipina, dan Santoso, dari Mujahidin Indonesia Timur (MIT).

Pejuang Kebebasan Islam Bangsamoro (yang meninggalkan Barisan Pembebasan Islam Moro), Ansar Khalifa Filipina (AKP, juga dikenali sebagai Ansar al-Khilafah) dan Kumpulan Mautes kemudian menyusul melakukan perkara sama.

Di Indonesia, Abu Bakar Bashir, bekas pemimpin kerohanian Jemaaah Islamiyah (JI) yang pro-al Qaeda, dan Aman Abdurrahman, telah mengisytiharkan bai'at mereka dari dalam penjara, yang menyebabkan berlakunya perselisihan dalam kalangan militan Indonesia.

Kebangkitan Negara Islam, yang melanda Iraq dan Syria empat tahun lalu, memainkan peranan penting dalam menghidupkan semula rangkaian pengganas di seluruh Asia Tenggara.

Sebahagian besar JI adalah tanpa pemimpin dan terbahagi kepada strategi dan taktik. Dalam beberapa keadaan, berlakunya perdebatan sengit mengenai sasaran: Satu puak mahu mencontohi radikalisme al-Qaeda di Iraq dan meningkatkan sasaran mereka di Barat. Satu puak lagi menentang strategi itu, bukan kerana salah dari segi etika, tetapi kerana tidak produktif dan membawa kepada penahanan beramai-ramai. Mereka menyarankan supaya kembali kepada pertumpahan darah kalangan pengikut, tetapi gagal berbuat demikian.

Tiada satu pun puak berkenaan yang muncul sebagai pemenang. Percubaan dibuat pada Oktober 2009 untuk merapatkan jurang mereka, tetapi pasukan keselamatan Indonesia telah mengganggunya dengan membunuh atau menahan lebih daripada 120 anggota JI termasuk Bashir.

Pasukan keselamatan memberikan ruang kepada JI untuk wujud, melalui masjid dan madrasah, selagi ia terus memberi tumpuan kepada aktiviti-aktiviti dakwah. Sebarang percubaan untuk berkumpul semula atau merekrut pemimpin generasi baru telah digagalkan oleh kesukaran untuk beroperasi dalam persekitaran yang bermusuhan: Pasukan keselamatan Indonesia berjaya menghancurkan kumpulan tersebut.

Di Filipina, Kumpulan Abu Sayyaf yang cenderung berbolak balik  antara keganasan bermotifkan ideologi dan jenayah keji, kembali melakukan penculikan bagi mendapatkan wang tebusan, yang terus membangkitkan persoalan. Kebanyakan kumpulan Moro pula gagal meraih cengkaman berikutan proses damai antara kerajaan dan MILF adalah dalam keadaan baik. Hanya selepas proses damai itu digantung berikutan serangan Mamasapano yang gagal pada Januari 2015,  kumpulan-kumpulan pinggiran mula meningkatkan tindakan dengan merekrut ahli dan mahu menunjukkan kejaguhan mereka.

Oleh itu, kemunculan semula Negara Islam membangkitkan raison d'etre (sebab) yang baru dan, lebih utama lagi, menjadi alat pemasaran. Militan boleh bergantung kepada satu kuasa yang nampaknya  tidak boleh dihalang. Mereka memberi tumpuan lebih kepada sektarianisme atau berpuak-puak dan kekejaman militan IS. Dengan tindakan demi tindakan dilakukan pihak berkuasa di tanah air, generasi baru pula memilih untuk menuju ke Iraq dan Syria bagi "menyertai kafilah."

Menjelang akhir 2014, terdapat sejumlah besar rakyat Asia Tenggara di Syria hingga boleh membentuk sebuah cabang Bahasa Melayu yang dikenali sebagai Khatibah Nusantara. Daripada sekadar penyedia perkakasan meriam, Khatibah Nusantara mula membuktikan kebolehannya dalam pertempuran semasa menentang Peshmerga Kurdish.

Dan media sosial licik IS dihasilkan khusus untuk mengumpan anak-anak muda Asia Tenggara. Menjelang musim luruh 2014, IS menampilkan  Asia Tenggara dalam propaganda mereka dan meningkatkan penerbitan dan pelbagai media lain dalam Bahasa Melayu.

Lebih banyak video perekrutan disiarkan, dan e-majalah mingguan, al-Fatihin, mula dihasilkan pada Julai 2016. Saluran pro-IS di Telegram turut berkembang luas. Menjelang akhir 2014, muncul cadangan bahawa IS bakal menubuhkan sebuah wilayah di Asia.

Lebih 1,000 rakyat Asia Tenggara pergi ke Iraq dan Syria, walaupun hanya beberapa ratus yang menjadi militan; selebihnya adalah wanita, kanak-kanak, dan mereka yang bekerja sebagai petugas kemanusiaan. Ramai yang dijanjikan gaji dan pekerjaan yang baik di khalifah itu. Namun, kebanyakan daripada mereka ditipu manakala wanita sering dianggap sebagai harta peribadi. Ramai juga yang  dihantar pulang oleh pihak berkuasa Turki.

Militan tidak didendang


Tetapi militan Asia Tenggara gagal mendapatkan pengiktirafan yang mereka harapkan daripada kepimpinan IS.

Mungkin ia kerana militan pro-IS di Asia Tenggara tidak mempunyai rekod prestasi yang hebat pada mulanya. Serangan pertama IS  adalah serangan ke atas Starbucks Jakarta pada Januari 2016. Terdapat laporan bahawa kepimpinan Asia Tenggara ditegur kerana sekadar menjadi jihad dalam talian, dan gagal merancang serangan yang signifikan.

Pada awal 2016, IS akhirnya mengiktiraf ikrar bai'at daripada beberapa organisasi militan Asia Tenggara, mengisytiharkan Isnilon Hapilon dari Kumpulan Abu Sayyaf sebagai ketua serantau dan kumpulan pro-IS lain menjadi ‘briged’.

Semasa mencipta kejayaan dan giat menjalankan projek khalifah mereka di Timur Tengah, IS kurang menjadikan Asia Tenggara yang terlalu jauh sebagai keutamaanya. Tetapi, mungkin IS hanya mahu menunggu untuk melihat kumpulan atau pemimpin mana yang dapat meraih kedudukan teratas.

Contohnya, AKP dianggap mempunyai beberapa bona fide terbaik, tetapi dengan kematian pemimpin mereka, kumpulan itu jatuh menjunam. Sebaliknya, kumpulan Mautes yang munncul di merata tempat.

Propaganda IS cuba menonjolkan bahawa kumpulan-kumpulan Filipina dan para pejuang asing bersatu dan menjalankan latihan bersama. Tetapi, penting untuk diamati bahawa IS tidak pernah mengisytiharkan Asia Tenggara sebagai sebuah wilayat.

Walaupun berlakunya pengepungan Marawi dari Mei hingga Oktober 2017, IS tidak menubuhkan sebuah wilayat pun di rantau itu. Malah, ada bukti yang menunjukkan bahawa Hapilon dan Mautes melihat pengepungan pusat penduduk utama itu sebagai sesuatu yang mewajarkan kepemimpinan IS untuk melakukan pengisytiharan wilayat, yang tentunya dapat membantu menggabungkan kuasa mereka.

Pengepungan Marawi berlaku ketika IS kehilangan sebahagian besar wilayahnya di Iraq dan Syria. Ini memberi dua kesan serta merta: penyokong Asia Tenggara digalakkan untuk bertempur di Mindanao, bukannya di Iraq atau Syria.

Ini penting kerana sukarelawan luar sering dapat merapatkan jurang perbezaan sempit dan membawa kumpulan-kumpulan di Filipina untuk bekerjasama dengan satu sama lain. Secara individunya, kebanyakan kumpulan itu adalah pinggiran tetapi ia dapat mencabar kerajaan semasa mereka untuk menjalinkan kerjasama, seperti yang dapat dilihat di Marawi.

Kedua, Asia Tenggara menjadi lebih penting dari aspek pusat media IS kerana kumpulan itu mula mengalihkan strateginya kepada pemberontakan global. Sebuah organ media pusat IS menghasilkan dokumentari licik di Marawi, sebagai sebahagian daripada siri "Inside the Caliphate".

Ke arah pemberontakan global


Memandangkan IS telah mengalihkan strategi sepenuhnya kepada pemberontakan global, Asia Tenggara menjadi lebih penting. Ini bukanlah untuk menyatakan bahawa akan ada lebih banyak serangan di Asia Tenggara tetapi terdapat lebih banyak tekanan yang perlu dihadapi militan di sana bagi melakukannya. Mereka menggesa pelaksanaannya sejak empat tahun lalu.

Ia menimbulkan persoalan tertentu: adakah lebih banyak sumber akan mengalir masuk kepada kumpulan Asia Tenggara? Apakah organ media pusat akan meningkatkan liputan mereka dan media bahasa tempatan? Apakah pemimpin IS akan menggesa supaya kerjasama lebih besar dilakukan dalam kalangan kumpulan, atau perintah dan kawalan yang lebih bersatu?

Tetapi, ada juga yang tertanya-tanya sama ada mereka mempunyai kapasiti yang diperlukan. Pemimpin IS yang paling utama, baik di Syria dan Asia Tenggara, telah dibunuh atau dipercayai mati. Ini termasuklah Mohammed Lutfi Ariffin, Bahrun Naim, Bahrumsyah, Isnilon Hapilon, Salim Mubarak Attamimi (Abu Jandal), dan adik beradik Maute. Aman Abdurrahman baru-baru ini dijatuhi hukuman mati, dan Abu Bakar Bashir masih dipenjarakan.

Terdapat ramai lagi dalam sayap itu yang mempunyai senjata namun tanpa kuasa dan sumber, tetapi pasukan keselamatan Indonesia, Malaysia, dan Singapura telah mengambil langkah untuk meningkatkan operasi anti keganasan masing-masing.

Filipina jelas menjadi pautan yang lemah, tetapi dengan pelaksanaan perjanjian damai dengan Barisan Pembebasan Islam Moro, mereka perlu membuktikan diri sendiri dengan melancarkan tindakan terhadap militan pro-IS, yang akhirnya akan mencabar kepemimpinan MILF.

IS telah menjelaskan bahawa ia tidak akan meninggalkan Khalifah mereka, walaupun tewas di wilayah mereka. Khalifah berkenaan hanya disusun semula, dan kemungkinan besar akan memasukkan kawasan-kawasan dan medan tempur baru termasuk Asia Tenggara.

Tetapi, apa yang jelas, bukan semuanya nampak tersusun  walaupun dalam kepimpinan IS, dengan beberapa saluran Telegram IS masih belum lagi menggunakan label "wilayat" bagi kawasan Asia. Namun, dengan IS menerima pakai sepenuhnya model pemberontakan, kita perlu diingatkan tentang betapa berkesannya pemberontakan yang dilancarkan di rimba-rimba Asia Tenggara.



Zachary Abuza adalah profesor di Kolej Perang Nasional di Washington dan pengarang “Forging Peace in Southeast Asia: Insurgencies, Peace Processes, and Reconciliation.” Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pendapat beliau sendiri dan bukan pandangan atau dasar Jabatan Pertahanan A.S, Kolej Perang Nasional atau BeritaBenar.

Lihat Laman Penuh