Follow us

Thailand: Tidak Banyak Dilakukan Junta Dalam Usaha Damai Di Selatan

Komentar oleh Don Pathan
Yala, Thailand
2018-08-03
E-mel
Komen
Share
Polis Diraja Thailand memeriksa lokasi kejadian di mana lima lelaki ditembak mati di wilayah Yala, 11 Jun 2018.
Polis Diraja Thailand memeriksa lokasi kejadian di mana lima lelaki ditembak mati di wilayah Yala, 11 Jun 2018.
AFP

Dengan Thailand semakin menghampiri pilihan raya umum, yang dijangka pada awal tahun depan, anggota-anggota junta yang  kini memerintah hasil rampasan kuasa empat tahun lalu menyuarakan kebimbangan sekiranya mereka dilihat sebagai kurang berusaha dalam menjayakan proses damai di kawasan Selatan yang didiami majoriti penduduk Muslim.

Projek perintis Zon Keselamatan adalah satu-satunya perkara yang boleh diperkatakan tentang mereka berhubung wilayah Selatan, yang telah mengorbankan 7,000 nyawa sejak Januari 2004.

Ada beberapa projek lain seperti Bawa Pulang Ke Tanah Air, iaitu program pengampunan separuh jalan yang tiada siapa, terutamanya militan, mengambil serius tentangnya. Terdapat juga program awam-tentera bernilai 50 juta baht (AS$1.5 juta juta) yang melibatkan pemberian wang kepada organisasi masyarakat awam (CSO)  tempatan  dengan harapan ia akan menjejaskan sokongan tempatan terhadap Barisan Revolusi Nasional (BRN), gerakan pemisah yang sekian lama mengawal, jika tidak semua, anggota militan di lapangan.

Namun, projek itu juga gagal kerana CSO yang sudah lama bergerak di wilayah paling Selatan, telah menolak tawaran itu.

Selain itu, sebuah parti politik tempatan, Pracha Chat, bakal ditubuhkan dan mempertaruhkan sentimen anti-tentera dalam kalangan masyarakat umum.

Adalah sukar bagi para pemimpin Thailand untuk membincangkan tentang kejayaan dan kesinambungan kerana rakan kerajaan Thailand, MARA Patani, telah menggantung perbincangan damai itu.

Organisasi induk itu terdiri daripada beberapa gerakan pemisah yang berakar umbi selain segelintir anggota BRN yang tidak mendapat sokongan para pemimpin tertinggi mereka.

Organisasi itu menggantung perbincangan damai tersebut kerana mereka berasa kecewa dengan cara Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan-o-cha mengendalikan Zon Keselamatan apabila beliau dengan selambanya memberitahu wartawan Thailand bahawa sebuah daerah telah dipilih untuk projek perintis itu. Zon Keselamatan merupakan sebuah kawasan di mana pasukan keselamatan kerajaan daerah dan militan pemisah harus melaksanakan gencatan senjata.

MARA Patani menganggap projek itu sebagai satu "kejayaan" dan mahu kerajaan Bangkok memberiikan penghormatan sewajarnya terhadap usaha itu. Tetapi, Prayuth tidak berbuat demikian dan menolak perhatian yang amat diperlukan diberikan kepada usaha itu, yang menurut anggota-anggota  MARA Patani, dapat meningkatkan lagi kesahihannya penubuhannya.

Walaupun pasukan teknikal mereka pada dasarnya bersetuju  dengan pemilihan daerah Cho I-rong untuk zon berkenaan, para pemimpin MARA Patani terus enggan mengulas tentangnya.

Selain menolak supaya mereka turut diberi perhatian, Bangkok juga enggan menandatangani perjanjian mengenai projek perintis Zon Keselamatan itu dengan berkata bahawa sebarang pemeteraian pada masa ini tidak diperlukan kerana kedua-dua pihak masih di peringkat membina keyakinan terhadap satu sama lain.

Pada masa ini, tiada siapa boleh menyatakan bila pemimpin MARA Patani akan muncul semula dan meneruskan perbincangan damai itu. Secara rasminya, hanya pihak Thailand yang telah membuat pengumuman mengenai Cho I-rong yang ditetapkan sebagai Zon Keselamatan.

Prayuth membuat kenyataan itu kepada pemberita pada April lalu dan MARA Patani membalasnya dengan menggantung perbincangan damai itu.

Pada bulan berikutnya, perubahan dalam landskap politik Malaysia yang menyaksikan gabungan parti ditunjangi UMNO ditumbangkan selepas 60 tahun memerintah, memberi MARA Patani satu lagi sebab untuk menghentikan perbincangan itu.

Abu Hafez al-Hakim, anggota utama dalam organisasi itu, berkata  adalah terlalu awal untuk meramalkan sama ada kerajaan baru  Kuala Lumpur akan mengekalkan Ahmad Zamzamin Hashim, bekas ketua agensi perisik Malaysia, sebagai  pemudahcara bagi perbincangan damai itu.

Namun, jika MARA Patani tampil dan secara rasminya memperakukan Cho I-rong sebagai Zon Keselamatan yang ditetapkan, projek itu tetap berada dalam keadaan tidak menentu, seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

Pertamanya kerana MARA Patani tidak mengawal pemberontak yang berada di lapangan, iaitu BRN. Sumber kerajaan Thailand berkata, Zamzamin memberi jaminan kepada mereka tahun lepas bahawa kepimpinan BRN tidak akan menyalahgunakan projek itu.

Militan di lapangan menyatakan  bahawa mereka tidak mempunyai masalah untuk melakukan gencatan senjata. Tetapi, apa yang mereka bimbangkan ialah tidak ada perkara yang ditetapkan secara rasmi - sekurang-kurangnya bukan oleh kedua-dua pihak. Setakat ini, militan di Cho I-rong berkata, mereka tidak menerima arahan untuk melaksanakan sebarang gencatan senjata.

Sesetengah pegawai Thailand yang berusaha menyekat  pemberontakan di pedalaman selatan tertanya-tanya sama ada kepimpinan BRN benar-benar membuat komitmen sedemikian kepada Zamzamin. Ada yang percaya Zamzamin mungkin telah memperbesar-besarkan dakwaannya itu.

Selain itu, menurut pegawai-pegawai Thailand, Zamzamin sepatutnya mengadakan pertemuan bersemuka dengan perunding utama Thailand, Jeneral Aksara Kherdphol dan Doonloh Wae-mano, seorang daripada pemimpin tertinggi BRN. Venue itu sepatutnya di Indonesia. Tetapi, itu juga tidak berlaku.

“Saya fikir pemimpin BRN tidak bersungguh-sungguh untuk bersemuka dengan mana-mana wakil Thailand," kata seorang jeneral tentera Thailand yang berpangkalan di pedalaman Selatan. "Jika tarikh belum ditetapkan sekarang, mesyuarat itu tidak akan diadakan dalam waktu terdekat ini."


Don Pathan ialah seorang perunding dan penganalisis keselamatan yang berpejabat di Thailand. Pendapat yang dinyatakan dalam komentar ini adalah pendapat penulis dan bukannya BeritaBenar.

Lihat Laman Penuh