Rundingan Damai Selatan Thailand: Bergerak Terlalu Pantas?

Perkara terkini yang timbul daripada rundingan itu menunjukkan bahawa soal kemerdekaan tidak boleh dibincangkan namun, adalah tidak jelas sama ada ia telah dibincangkan dengan pihak pemberontak.
Komentar oleh Don Pathan
2022.04.04
Bangkok, Thailand
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Rundingan Damai Selatan Thailand: Bergerak Terlalu Pantas? Anas Abdulrahman (juga dikenali sebagai Hipni Mareh), ketua panel yang mewakili pemberontak BRN dalam rundingan damai dengan kerajaan Thailand, yang diusahakan Malaysia, bercakap pada sidang media bersama pegawai lain BRN di sebuah hotel dekat Kuala Lumpur, 1 April 2022.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Secara luarannya, rundingan damai terbaharu di antara perunding kerajaan Thailand dan wakil kumpulan pemberontak BRN nampaknya menjanjikan harapan untuk penduduk di Selatan Thailand, di mana keganasan yang dikaitkan dengan pemberontakan pemisah telah meragut lebih 7,300 nyawa sejak 2004. Namun, adalah tidak jelas sama ada pejuang Barisan Revolusi Nasional itu dapat menerima arah yang dibawa oleh perbincangan itu.

Pada Rabu lalu, menjelang pelaksanaan rundingan tersebut, insiden letupan bom dan tembak menembak berlaku hingga menyebabkan dua pegawai polis maut dan mencederakan dua yang lain di wilayah Yala – satu petunjuk bahawa tiada penghujung menanti di wilayah itu, yang kebanyakan penduduknya bertutur dalam berbahasa Melayu.

Rundingan pada 31 Mac hingga 1 April yang disambung semula selepas dihentikan pada Januari, dengan kedua-dua pihak bersetuju untuk berusaha ke arah mengadakan konsultasi awam yang lebih meluas, pengurangan keganasan dan mencari penyelesaian politik bagi pemberontakan pemisah.

Sementara itu, perbincangan sulit yang diadakan sejak akhir tahun lalu dikatakan telah menghasilkan satu kertas kerja yang menggariskan Prinsip Am bagi rundingan seterusnya pada masa akan datang. Kedua-dua pihak bersetuju bahawa perbincangan pada masa depan akan diadakan "di Negara Kesatuan Thailand dengan mengikut Perlembagaan."

Klausa itu dibangkitkan sekali lagi dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh pasukan perunding kerajaan Thailand bagi menandakan tamatnya pusingan terbaharu rundingan secara bersemuka itu.

"Kedengarannya seperti satu kejayaan tetapi pada hakikatnya, ia adalah cubaan murah dan penuh kepura-puraan yang tiada kaitan dengan realiti yang berlaku di lapangan," kata Artef Sohko, presiden The Patani iaitu kumpulan tindakan politik yang mempromosikan hak untuk menentukan nasib sendiri bagi para penduduk Selatan Thailand yang berbahasa Melayu.

Perkara pertama dalam Perlembagaan Thailand menetapkan dengan jelas bahawa negara beraja itu tidak akan dipisahkan. Bagi para pejuang BRN – atau mana-mana insan biasa di jalanan, dalam hal ini, – para perunding BRN yang menerima Perlembagaan Thailand itu menunjukkan bahawa tamatlah usaha mereka untuk mendapatkan kemerdekaan.

Semasa ditanya wartawan mengenai perkara berkenaan selepas berakhirnya mesyuarat dua hari tersebut di Malaysia, pihak pemberontak mahupun perunding kerajaan Thailand tidak mengesahkan atau menafikan bahawa BRN, yang mengawal hampir semua pejuang di lapangan, bersedia untuk berpuas hati dengan sesuatu yang kurang daripada mencapai kemerdekaan.

Sejak 18 tahun yang lalu, setelah tercetusnya kembali keganasan dalam wilayah penuh bersejarah itu, para pejuang telah diberitahu bahawa perjuangan mereka adalah bagi memenuhi kewajipan moral dan tanggungjawab suci untuk membebaskan tanah air bersejarah orang Melayu daripada pencerobohan pasukan tentera Siam/Thailand.

Para pejuang di lapangan kini semakin menyedari tentang wujudnya langkah untuk "menerima Perlembagaan Thailand." Kepimpinan BRN telah menasihatkan mereka supaya terus kekal bertenang, dan menyatakan bahawa perbincangan dengan para perunding kerajaan Thailand adalah sebahagian daripada "latihan diplomatik", kata sumber yang mempunyai pengetahuan tentang perbincangan sedemikian.

220404-MY-TH-Kom-Don.jpg

Saudara-mara mengusung jenazah dua anggota polis Thailand Muslim, yang diculik dan dibunuh oleh suspek militan, untuk dikebumikan di tanah perkuburan di wilayah Narathiwat, Selatan Thailand, 27 Feb, 2019. [AFP]

Artef percaya sayap tentera BRN boleh berpecah jika para pejuang percaya bahawa matlamat politik dan nilai "suci" mereka telah dikompromikan. Seperti mana-mana kumpulan serpihan lain dalam konflik sub-nasional itu, sebuah kumpulan serpihan di wilayah Selatan Thailand juga mahu menunjukkan kemampuan mereka.

Kumpulan subnasional seperti Basque Homeland and Liberty (ETA) dan Moro Islamic Liberation Front (MILF) mengambil masa bertahun-tahun untuk membina naratif yang boleh diterima oleh para pejuang sebelum mereka menyertai meja rundingan. Penyelesaian konflik bagi Selatan Thailand, pula agak luar biasa, dengan keadaan sebaliknya yang berlaku.

Kenyataan Ramadan tahunan baru-baru ini, yang disiarkan dalam YouTube pada pertengahan Mac 2022 oleh anggota Jabatan Penerangan BRN Abdulkarim Khalid, menyuarakan harapan agar bulan suci umat Islam dapat dilalui dengan penuh aman.

Tentera Thailand, sementara itu, berkata ia akan berundur sepanjang Ramadan tahun ini jika pihak pejuang mengambil langkah yang sama, sebagai sebahagian daripada usaha untuk membina keyakinan. Semua masjid di wilayah itu akan menjadi tempat perlindungan pada sepanjang 10 hari terakhir Ramadan supaya para pejuang dapat bertemu dengan keluarga mereka.

Dalam suasana sekarang, gencatan senjata sepanjang Ramadan adalah satu lonjakan keyakinan yang besar.

Para pejuang BRN telah menjadi sasaran operasi cari dan bunuh tanpa henti sejak dua tahun lalu, selepas kumpulan itu mengisytiharkan gencatan senjata unilateral pada April 2020 supaya pegawai kesihatan awam tidak bimbang terperangkap dalam insiden tembak menembak semasa berusaha membendung penularan pandemik COVID-19.

Sejak itu, sekurang-kurangnya 50 pejuang telah dibunuh oleh pasukan keselamatan Thailand, yang tidak membalas langkah baik BRN.

Berikutan itu, Artef dan aktivis lain dalam kalangannya percaya bahawa pihak Tentera masih belum mampu meraih kepercayaan pihak BRN.

Malah, tiada apa yang menunjukkan bahawa pasukan keselamatan Thailand tidak akan meneruskan operasi cari dan bunuh selepas Ramadan nanti.

Pada masa yang sama, pemimpin dan perunding BRN nampaknya tidak mempunyai keberanian untuk memberitahu para pejuang bahawa objektif politik asal mereka mungkin telah dikompromikan.

Apa yang diperlukan ialah naratif baru untuk menjelaskan dan mewajarkan tindakan yang diambil oleh para pemimpin BRN dan perunding kerajaan Thailand.

Mereka tidak perlu menjelaskan atau meyakinkan orang ramai dan komuniti penyumbang bahawa mereka bergerak ke arah yang betul. Tetapi, perunding kerajaan Thailand dan perunding BRN perlulah memikirkan bagaimana membawa tentera dan pejuang dalam proses damai ini, untuk bergerak bersama ke hadapan.

Don Pathan ialah seorang penganalisis keselamatan yang berpejabat di Thailand. Pendapat yang dinyatakan dalam komentar ini adalah pendapat penulis dan bukannya BenarNews.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh