Landskap Keganasan Pada 2016

Komentari oleh Rohan Gunaratna
2015.12.30
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
151230-SA-SEA-PARIS620 Orang ramai menyelimuti satu mayat berdekatan Café Bonne Bière di Paris, susulan siri serangan bersepadu yang didakwa dilakukan kumpulan ekstremis Negara Islam, 13 Nov. 2015. Seorang pakar keganasan meramalkan IS mungkin melakukan lebih banyak serangan ala Paris terhadap sasarannya di luar Syria dan Iraq pada 2016.
AFP

Negara Islam (IS) bakal membawa ancaman terbesar pengganas kepada dunia pada 2016.

Tahun baru itu mungkin menyaksikan lima perkembangan penting di kawasan berkenaan:

Pertama, IS akan memperluaskan wilayahnya melangkaui Syria dan Iraq dengan memasuki kawasan Afrika, Timur Tengah, Balkan, Caucasus dan Asia.

Kumpulan pelampau itu, yang dipimpin oleh Abu Bakr al-Baghdadi, sedang aktif merekrut ahli di Balkan Barat termasuk Serbia, Croatia, Bosnia dan Herzegovina, Albania, Kosovo, Republik Macedonia dan Montenegro, di mana ia merancang untuk melancarkan serangan.

Kumpulan itu turut aktif merekrut ahli di Asia Tenggara dengan tujuan untuk mengisytiharkan Wilayat (daerah) di Timur Indonesia atau selatan Filipina pada tahun depan.

Pada  2015, komander yang berpangkalan di Syria bagi Katibah Nusantara (Batalion Perpulauan), iaitu unit tempur IS berbahasa Melayu yang terdiri daripada rekrut dari Indonesia dan Malaysia, telah mengarahkan kumpulan-kumpulan di  Asia Tenggara supaya melakukan serangan terhadap sasaran domestik dan antarabangsa pada 2015 hingga 2016.

Dengan IS giat merekrut Muslim China di timur laut Asia, kumpulan itu mungkin mengisytiharkan sebuah Wilayat di Barat China di mana hampir 1,000 orang Uyghur dan keluarga mereka dari Xinjiang yang direkrut telah menyertai  IS dan kumpulan saingannya, Jabhat al-usra, iaitu cawangan al-Qaeda di Syria.

Jangka lebih banyak serangan luar

Kedua, IS akan menyerang sasaran pakatan anti-IS, dengan menggunakan sayap operasi luar yang baru ditubuhkannya yang  dikendalikan oleh para pejuang asing. Seperti yang berlaku dalam serangan di Paris bulan lepas, sayap operasi luar IS kini melengkapi sayap operasi dalamannya.

Serangan Paris menonjolkan keupayaan IS untuk menjalinkan kerjasama dengan penduduk tempatan bagi melakukan serangan di luar negara.

Dengan memakai tali pinggang berani mati yang sarat bahan letupan dan bersenjata untuk melakukan serangan, para pengganas berkenaan mahu membunuh dan mati. Mereka menyerang pelbagai sasaran yang kebanyakannya tidak dilindungi. Selepas cuba membunuh Presiden Perancis, IS mahu membunuh sejumlah besar sasarannya dan menimbulkan rasa takut.

Serangan Paris, yang meniru serangan Mumbai pada November 2008, mungkin berulang. Seperti serangan al-Qaeda 11/9, sayap operasi luar IS mungkin melakukan serangan yang lebih gempar dan serentak terhadap musuh-musuhnya pada 2016.

Faktor lain

Ketiga, pelarian dan pemohon suaka yang melarikan diri dari zon konflik, terdedah kepada mesej-mesej IS. Kumpulan itu mungkin mengeksploitasi mereka yang lemah untuk menyasarkan musuh di luar negara. Jika pelarian dari Iraq dan Syria tidak disepadukan dalam budaya negara tuan rumah, mereka boleh menimbulkan ancaman strategik serta-merta, sederhana dan jangka panjang.

Keempat, platform permesejan dalam talian IS akan merekrut, meradikalkan dan mententerakan segmen umat Islam yang lemah, sama ada di negara Islam dan bukan Islam.  Dalam komuniti wilayah, migran dan diaspora, ideologi kebencian IS terus berusaha untuk menggantikan Islam arus perdana.

Malah, server di Amerika Syarikat dan Eropah sebenarnya menjadi hos  kepada kira-kira 80 hingga 90 peratus laman media sosial yang mentransmitkan propaganda IS. Ancaman itu akan berterusan berikutan kurangnya kepimpinan, kesungguhan politik dan strategi dalam kalangan kerajaan dan rakan sekututnya yang ditugaskan untuk menangani mesej, menutup platform IS dan menghakiskan komunikasi strategik IS.

Ancaman akan terus bercambah selagi  laman media sosial IS terus utuh.

Kelima, pakatan-pakatan menentang IS yang diketuai oleh Amerika Syarikat, yang diterajui oleh Arab Saudi dan yang dipimpin oleh Rusia tidak mahu bersatu untuk menentang ancaman bersama itu. Bagaimanapun, mereka sedia  bertukar maklumat risikan, meningkatkan  keupayaan sedia ada serta membangunkan keupayaan baru yang diperlukan bagi membendung, mengasing dan menghapuskan IS dalam semua peringkat.

Wilayah bawah pengaruh IS

Inilah ramalan dan pandangan bagi 2016, tetapi IS sudah pun berkembang di  negara-negara yang gagal mengawal populasi mereka dengan berkesan.

Di Afghanistan, selepas Ashraf Ghani menjadi pemimpin negara itu pada September 2014, Taliban menyerang beberapa daerah di  hampir 13 wilayah dan menduduki 15 daerah di wilayah  Kunduz yang terletak di utara Afghanistan.

Apabila Taliban telah dipaksa keluar dari Kunduz, mereka melancarkan pula serangan ketenteraan dan menyerang daerah Sangin di wilayah selatan Helmand. Apabila Taliban Afghanistan berpecah kepada beberapa puak selepas kematian pengasas mereka Mullah Omar, cawangan tempatan IS telah dibangunkan dalam tempoh itu, dan menggelarkannya sebagai Wilayat Khurasan.

Pelbagai wilayah masih kekal di bawah pengaruh Taliban, tetapi IS menduduki wilayah Nangarhar yang terletak bersebelahan dengan kawasan puak Pakistan. Kumpulan itu menjalankan operasinya dari lebih  lapan daerah di wilayah itu, dan kini sedang mengembangkan pengaruhnya.

Dengan pengurangan tentera Amerika Syarikat  di Afghanistan dalam tempoh terdekat ini, IS mungkin muncul sebagai kuasa dominan yang akan mengancam Taliban dalam jangka masa pertengahan hingga ke jangka panjang.

Di Libya, selepas pihak pembangkang yang disokong Barat membunuh orang kuat Muammar Gaddafi pada Ogos 2011, kumpulan pelampau dan pengganas semakin berakar umbi di negara Afrika Utara itu.

Majlis Shura Shabab al-Islam (Majlis Perundingan Belia Islam) dan puak Ansar al-Syaria di Libya telah berikrar untuk setia kepada Abu Bakr al-Baghdadi dan IS dengan mewujudkan Wilayat al-Barqah, Wilayat Fizzan dan Wilayat al-Tarabulus.

Selain daripada mengukuhkan kawalan di wilayah-wilayah yang diisytiharkan itu, IS mungkin berkembang lebih jauh di Libya dan memusnahkan tempat-tempat bersejarah yang ikonik. Sebagai modal sandaran untuk IS, Sirte berfungsi sebagai pangkalan semasa bagi  operasi, logistik dan latihan.

Di utara Nigeria, Boko Haram turut berikrar untuk setia kepada al-Baghdadi dengan mewujudkan IS Afrika Barat (juga dikenali sebagai Wilayat Gharb Afriqiya). Di Algeria, IS telah menubuhkan Wilayat al-Jazair; di Yaman terdapat Wilayat  Sanaa; dan di Arab Saudi adanya Wilayat al-Haramain.

Selain daripada melancarkan serangan demi serangan di Algeria, IS turut melakukan dan mendakwa melancarkan serangan terhadap para pejuang Houthis di beberapa wilayah di Yaman.

Pada 20 Mac, 2015, IS menyerang dua buah masjid Zaydi di Sana'a dan sebuah fasiliti kerajaan di Sa'ada, yang membunuh 137 orang dan mencederakan 345 orang yang lain.

IS turut mempunyai kumpulannya di Arab Saudi. Kumpulan itu mahu merampas dua kawasan amat suci bagi umat Islam iaitu Makkah dan Madinah, sebelum menyerang Israel untuk mendapatkan kawalan ke atas Masjid al-Aqsa di Baitulmuqaddis, iaitu tapak ketiga paling suci dalam Islam.

Sambil menggesa penggulingan Dewan Saud, IS telah melakukan serangan di Wilayah Najd dan Wilayah Hijaz di Arab Saudi.

Setelah mengembangkan lagi pengaruhnya di negara beraja itu dan di negara jirannya, Yaman, sel-sel IS berkemungkinan melakukan serangan terhadap para pemimpin Arab Saudi dan sasaran pakatannya pada 2016.

Pada Jun lalu, di satu lagi sudut dunia, IS mengisytiharkan Wilayat Qawqas di Caucasus utara di bawah pimpinan Rustam Asildarov (alias Abu Muhammad al-Qadari).

Kumpulan-kumpulan pengganas di empat republik di bawah Emiriah  Islam al-Qaeda Caucasus juga bekerjasama dengan IS.

Di Mesir, selepas kumpulan paling ganas di negara itu, Ansar Bait al-Maqdis, berikrar untuk setia kepada al Baghdadi dengan mewujudkan IS Sinai, ia melakukan beberapa serangan terhadap pasukan keselamatan Mesir.

Bagi membalas sokongan Rusia kepada rejim Assad di Syria, IS Sinai telah mengebom sebuah pesawat penumpang Rusia pada 31 Oktober lalu, yang membunuh kesemua 224 orang penumpang dan anak kapal.

Pada 2016, IS dan pelbagai cawangan serta kumpulan bersekutunya  berkemungkinan menumpukan sasarannya di Barat, Rusia dan Syiah.

Maklum Balas

Pada masa ini, IS membawa pelbagai bentuk ancaman bagi kebanyakan kerajaan menerusi operasi terasnya di Syria-Iraq, cawangan dan sekutunya di rantau lain serta operasi dalam taliannya.

Untuk mengatasi ancaman ini, keupayaan baru amat diperlukan yang merangkumi angkatan tentera, pihak berkuasa penguatkuasaan undang-undang dan agensi-agensi keselamatan negara. Ini dapat  mengembangkan lagi unit taktikal elit bagi menangani keganasan;  meningkatkan kekuatan perkhidmatan keselamatan negara; membangunkan satu rangka kerja perundangan yang teguh mengenai tahanan pencegahan; membangunkan unit khusus untuk menangani  serangan siber; dan menyepadukan keupayaan menerusi kerjasama dalam usaha melawan pengganas.

Peningkatan keupayaan perisikan diketuai tentera untuk membunuh atau menangkap pemimpin IS, menghapuskan asas sokongan kumpulan itu, dan mengganggu operasinya adalah tumpuan usaha bagi menghapuskan teras IS di Iraq dan Syria serta di tempat lain.

Kempen udara sahaja tidak dapat mencapai hasil yang dikehendaki. Sebaliknya pasukan-pasukan darat khas dan am, yang disokong oleh kempen udara, dapat melaksanakan usaha bagi melemahkankan dan memusnahkan IS.

Namun, dalam usaha membawa IS ke medan perang, kekuatan politik adalah yang paling utama. Tanpa satu lagi kematian beramai-ramai, serangan yang mengorbankan sejumlah besar nyawa seperti insiden 9/11, mungkin orang ramai tidak menyokong penggunaan pasukan  darat. Tanpa membendung, mengasing  dan menghapuskan IS dalam ruang fizikal, inisiatif  untuk menangani radikalisasi dan deradikalisasi  akan memberi kesan yang terhad.

Bagi mencegah IS daripada menembusi dan mengisytiharkan kawasan-kawasan sebagai wilayahnya,  adalah penting bagi kerajaan untuk mengambil tindakan perundangan dan eksekutif. Selepas mengharamkan entiti dan personaliti yang memberi sokongan atau mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti IS,  mereka  perlulah disiasat dan didakwa di muka pengadilan.

Dalam usaha menggagalkan IS daripada mengisytiharkan mana-mana kawasan yang ditetapkan sebagai wilayahnya, strategi yang diperlukan ialah dengan menyasarkan teras kumpulan itu serta hubungan satelit dan perantaranya.

Rentak serangan IS di Iraq dan Syria telah mencipta momentum untuk ia bercambah dan mengekalkan kumpulan yang berkaitan dengannya di luar medan perang. Bagi mengelak ancaman ini daripada terus berkembang, adalah penting untuk memberi tumpuan kepada kawasan teras dan wilayah satelitnya, serta mengganggu hubungan yang dijalinkan  mereka.

Ancaman sebenar dan maya

Ancaman operasi IS ditampilkan secara fizikal dan di dalam ruang siber.

Selari dengan kempen anti-IS, kerajaan perlu berusaha  menghalang kumpulan itu daripada mempengaruhi umat Islam dalam ruang maya, dengan secara tegasnya mengawal selia internet melalui rangka kerja perundangan dan tadbir urus yang mantap untuk mengelak salah guna ruang siber itu.

Untuk menangani tarikan IS menerusi mesej-mesej dalam media sosial, kerajaan juga perlu membentuk kerjasama dengan firma-firma perniagaan, masyarakat awam dan kumpulan masyarakat. Dalam usaha mengakhiri  tindakan IS mengeksploitasi teknologi canggih itu, kerajaan perlulah membina rangkaian yang dipercayai dengan ahli-ahli akademik dan syarikat-syarikat teknologi.

Selain itu, kerajaan perlu meneruskan usaha dalam menangani radikalisasi secara dalam talian dan luar talian, serta melaksanakan program deradikalisasi yang bertujuan memulihkan mereka yang telah diradikalkan.

Kegagalan untuk mewujudkan maklum balas pelbagai serampang akan membawa kepada gangguan hubungan antara masyarakat pelbagai  agama dan etnik. Ini boleh menjejaskan keharmonian global, serantau dan nasional, yang penting bagi kemakmuran.

Rohan Gunaratna mengetuai Pusat Antarabangsa bagi Keganasan Politik dan Penyelidikan Keganasan, Institusi Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam di Singapura.

Pendapat yang dinyatakan di dalam komentar ini adalah pandangan penulis dan bukannya daripada BeritaBenar.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.