Ke Mana Pula Perbincangan Damai Selatan Thailand?

Komentar oleh Don Pathan
2018.01.09
Yala, Thailand
180108-TH-Pathan-620.jpg Anggota tentera meninjau lokasi pengeboman tepi jalan yang mengorbankan empat rakan mereka di wilayah Patani, selatan Thailand, 22 Sept 2017.
AFP

Perbincangan damai Thailand dengan pergerakan pemisah Melayu, yang sudah lama diadakan, kini mencapai tahap yang kritikal. Kumpulan bersenjata utama, Barisan Revolusi Nasional (BRN),  sedang memikir untuk menarik perunding antarabangsa ke meja perbincangan seterusnya, dan melangkaui tindakan keganasan yang sering berlaku di antara mereka dan pasukan keselamatan Thai.

Serangan hendap, pengeboman jalan raya dan sasaran pembunuhan pegawai keselamatan Thailand dan rakan sekongkol mereka sudah berlarutan selama 14 tahun. Dan, pihak berkuasa Thailand, sebaliknya, memilih untuk terus melaksanakan strategi serampang dua mata: menawan hati dan minda Muslim Melayu tempatan melalui pembangunan ekonomi yang bertujuan merangsang pertumbuhan di kawasan sempadan selatan yang miskin; dan giat memburu militan di lapangan.

Selain daripada itu, pegawai-pegawai keselamatan sedar bahawa mereka bakal menjadi sasaran dilanggar militan ketika bergerak dari satu tempat ke tempat.

Secara keseluruhannya, hampir 7,000 orang telah terkorban akibat keganasan yang berkaitan dengan pemberontakan, namun langkah-langkah penyelesaian politik belum lagi kelihatan.

Ada masanya, pemberontak melakukan serangan yang diselaraskan di luar wilayah yang dilanda konflik ini, yang dikenali sebagai "Selatan Thailand" atau "Patani" yang merupakan tanah air bersejarah bagi orang Melayu, untuk menghantar amaran tegas kepada pihak keselamatan Thailand bahawa mereka mampu memperluaskan kempen keganasan mereka dari wilayah bergolak itu.

Bagaimanapun, beberapa bulan kebelakangan ini menyaksikan perubahan besar dalam taktik pemisah Melayu-Muslim itu. Individu-individu utama, yang akan mengambil alih pergerakan itu apabila pemimpin lama sudah tiada lagi,  percaya sudah tiba masanya untuk mereka bergerak melangkaui tindakan memalukan dan menghina mereka yang dilakukan oleh pihak keselamatan Thailand. Mereka mahu meneroka kemungkinan dan peluang lain dengan melibatkan komuniti antarabangsa.

Tetapi, langkah menukar lapangan dari medan pertempuran ke persada dunia bukanlah suatu perkara yang mudah. Anggota-anggota komuniti antarabangsa enggan berbincang dengan BRN kerana tidak mahu membangkitkan kemarahan Bangkok.

Malah,  satu daripada tuntutan BRN bagi mengadakan perbincangan rasmi dengan Thailand adalah dengan adanya orang perantaraan daripada komuniti antarabangsa. Isu itu dibangkitkan semasa siri mesyuarat selama enam bulan lalu di antara fasilitator, Ahmad Zamzamin Hashim dari Malaysia, dan ahli kanan majlis pemerintah BRN, Doonloh Wae-mano.

Zamzamin juga menggunakan pertemuannya dengan pemimpin BRN itu untuk mengatur pertemuan antara Doonloh dan ketua perunding Thailand, Jeneral Aksara Kerdpol. Pertemuan itu dijangka diadakan di Indonesia tetapi tarikhnya belum ditetapkan.

Mesyuarat akan datang itu bukanlah suatu kejayaan atau pengubah keadaan, tegas sumber BRN. Mereka berkata, pendirian BRN tetap sama: jika pihak Thailand ingin mengadakan rundingan rasmi, mereka perlu menjadikannya sebagai satu proses antarabangsa, yang bermaksud kerajaan asing perlu menjadi perantara atau fasilitator rundingan itu dan ia perlu diadakan di luar Malaysia .

Langkah membenarkan Doonloh bertemu dengan ketua perunding Thailand menunjukkan suatu "tanda muhibah" kepada Kuala Lumpur dalam kapasitinya sebagai fasilitator inisiatif damai itu, kata sumber BRN.

Namun, para pegawai Thailand tidak sependapat tentang idea mengadakan mesyuarat itu; sesetengahnya menganggap pertemuan secara bersemuka antara Doonloh dan Aksara adalah perkembangan positif, yang merupakan langkah ke arah yang betul.

Sementara yang lain pula bimbang bahawa berurusan secara langsung dengan BRN akan menjejaskan proses rasmi antara Bangkok dengan kumpulan pemisah lain, terutamanya, MARA Patani, iaitu kumpulan induk bagi pemberontak Patani-Melayu. Dengan kata lain, para pegawai itu mahu melihat BRN berada di bawah payung MARA Patani dan berurusan dengan pihak Thailand menerusinya.

Sumber-sumber BRN juga mendedahkan bahawa kumpulan itu tidak mahu tergesa-gesa untuk ke meja rundingan. Pertama sekali, wakil mereka perlu diberikan kekebalan undang-undang dan dibimbing dengan baik, sebaik-baiknya oleh anggota komuniti antarabangsa yang mempunyai pengalaman dalam penyelesaian konflik dan perantaraan damai.

Tambahan pula, kata mereka, sebarang rundingan rasmi perlu dilakukan di luar Malaysia, dengan sebaik-baiknya di negara-negara Barat yang mempunyai reputasi yang kukuh dalam penyelesaian konflik dan perantaraan.

Pihak keselamatan Thailand dan sumber BRN berkata, tuntutan itu membangkitkan rasa kecewa Zamzamin, ketua risikan Malaysia yang sudah bersara, yang telah berusaha gigih dengan berulang-alik antara pihak Thailand dan para pemberontak serta memastikan Kuala Lumpur menjadi orang tengah proses itu.

Lagipun, Malaysia berkongsi sempadan yang sama dengan wilayah bergolak itu dengan Thailand. Dan dalam hal ini, Malaysia merupakan pihak yang berkepentingan dalam konflik itu, dan bukannya broker yang jujur.

Sumber-sumber berkata, Zamzamin bertemu dengan Doonloh sekurang-kurangnya tiga kali dalam tempoh enam bulan yang lalu. Beliau telah berusaha gigih untuk meyakinkan Doonloh supaya membenarkan BRN menyertai perbincangan damai yang dianjurkan Kuala Lumpur bagi pihak kerajaan Thailand dan MARA Patani.

Keputusan untuk menyertai MARA Patani, atau bersedia ke meja rundingan, bukannya boleh diputuskan sepenuhnya oleh Doonloh, kata sumber-sumber BRN. Kumpulan itu ditadbir oleh satu majlis pemerintah, iaitu Dewan Penilaian Parti (DPP), dan keputusan penting itu akan dibuat secara bersama.

Walaupun MARA Patani mendakwa anggota BRN turut menyertainya, pihak pelaksana BRN di lapangan dan di luar negara, serta Jabatan Penerangannya yang berpangkalan di Indonesia, menegaskan bahawa individu berkenaan  bertindak bersendirian dan tanpa mendapat kebenaran DPP.

Pegawai-pegawai Thailand yang terlibat dalam menyelesaikan konflik itu di Selatan berkata, MARA Patani sebenarnya goyah, kerana proses itu tidak menjana sambutan yang kukuh. Selain itu, hakikatnya bahawa BRN, kumpulan yang mengawal hampir semua militan di lapangan, enggan menyertai mereka di meja rundingan juga menjadikannya sukar untuk meneruskan apa jua rancangan yang ada, seperti melaksanakan zon keselamatan - kawasan di mana gencatan senjata terhad perlu dilakukan.

Komitmen Kuala Lumpur terhadap rundingan itu juga perlu lebih jelas menjelang akhir Februari ini apabila kontrak Zamzamin dengan kerajaan harus diperbaharui. Sesetengah pemerhati berpendapat MARA Patani tidak boleh bertahan tanpa beliau menjadi pengemudinya.

Kemajuan dalam perbincangan damai bergerak dengan amat perlahan sebahagiannya kerana BRN enggan ke meja rundingan; dan sebahagian lagi kerana Bangkok tidak pernah menunjukkan yang ia berminat untuk mendalami kesengsaraan budaya dan sejarah Melayu Patani sehingga ke peringkat akar umbi.

Pihak kerajaan Thailand hanya mahu berbincang tentang aspek keselamatan yang membabitkan pemberontakan dan perasaan tidak puas hati mereka. Kerajaan negara itu percaya bahawa ia boleh menawan hati dan minda orang Melayu Islam tempatan dalam usaha menafikan kewajaran perjuangan bersenjata militan BRN.

Tetapi, usaha seperti itu tidak mungkin berhasil jika Bangkok enggan berbincang tentang keluhan dan rasa tidak percaya yang sudah sekian lama terpahat di wilayah dan kalangan minoriti Melayu itu.

Don Pathan adalah seorang perunding dan penganalisis keselamatan yang berpangkalan di Thailand. Pendapat yang dinyatakan dalam komentar ini adalah pendapat pengarang dan bukannya BeritaBenar.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.