Follow us

Malaysia: Nelayan Indonesia Diculik Di Perairan Sabah

Zam Yusa & Noah Lee
Kota Kinabalu & Kuala Lumpur, Malaysia
2020-01-18
E-mel
Komen
Share
Empat nelayan Indonesia, yang diculik di luar pantai timur negeri Sabah di Malaysia oleh suspek militan Islam Filipina, tiba di sebuah lapangan terbang Jakarta, 13 Mei 2016.
Empat nelayan Indonesia, yang diculik di luar pantai timur negeri Sabah di Malaysia oleh suspek militan Islam Filipina, tiba di sebuah lapangan terbang Jakarta, 13 Mei 2016.
[AFP]

Pihak berkuasa pada Sabtu berkata mereka mengesyaki kumpulan penculik untuk mendapatkan wang tebusan dari Filipina Selatan telah menculik lima nelayan Indonesia di perairan Malaysia di timur negeri Sabah pada awal minggu ini.

Polis Malaysia melaporkan bahawa penculikan itu berlaku kira-kira 8 pagi pada 16 Jan apabila enam lelaki bertopeng dan bersenjata menceroboh masuk sebuah bot dinaiki lapan lelaki dekat pulau Tambisan dan menuju ke perairan Filipina. Pihak berkuasa Filipina tidak dapat mengulas laporan itu dengan segera.

Para penculik itu memaksa kapten bot itu yang dikenali sebagai Arsyad Dahlan, 41, dan empat yang lain, Arizal Kastamiran, 29, La Baa, 32, Riswanto Hayano, 27, dan Edi Lawalopo, 53, menaiki bot mereka sebelum melepaskan tiga nelayan itu di Sabah pada keesokan harinya. Ketiga-tiga mereka dikenal pasti sebagai Abdul Latif, 37, Daeng Akbal, 20, dan Pian Janiru, 36.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah, Hazani Ghazali, mengesahkan kejadian itu.

"Kami mengesyaki perbuatan ini dilakukan oleh kumpulan penculik yang mahukan wang tebusan," katanya kepada BeritaBenar ketika ditanya sama ada penculikan itu dilakukan oleh Kumpulan Abu Sayyaf atau kumpulan lain yang beroperasi dari pulau-pulau Filipina yang bersempadan dengan Malaysia.

Hazani mengesahkan laporan bahawa bot nelayan itu dikesan pada jam 9.10 pagi Jumaat semasa ia kembali ke perairan Malaysia dan tiga nelayan yang ditahan oleh polis marin akan disoal siasat berhubung  penculikan itu.

Pihak berkuasa tidak menyatakan kumpulan yang bertanggungjawab bagi penculikan terbaru itu, yang merupakan kejadian pertama bagi tahun 2020.

Kumpulan Abu Sayyaf telah dipersalahkan bagi beberapa kejadian penculikan di rantau ini sejak beberapa tahun lalu di mana pelayar dan nelayan Malaysia serta Indonesia dijadikan tebusan. Suspek kejadian penculikan sebelum ini akan menuntut wang tebusan bagi pembebasan mereka.

Pada September lalu, tiga nelayan yang dipercayai rakyat Indonesia telah diculik dari bot mereka di luar pantai timur Sabah berhampiran sempadan dengan Filipina. Pada Rabu, pegawai Filipina mengumumkan bahawa pasukan keselamatan dapat menyelamatkan  nelayan Indonesia ketiga itu beberapa minggu selepas pihak berkuasa menyatakan bahawa dia ditangkap semula oleh para penculik Abu Sayyaf manakala dua rakannya dapat diselamatkan di wilayah Sulu di bahawa selatan negara itu.

Pada bulan yang sama sebelum ini, polis Malaysia berkata pasukan keselamatan telah menembak mati dua suspek dipercayai ahli Abu Sayyaf semasa kejadian berbalas tembakan di perairan luar Sabah.

Ditubuhkan pada awal 1990-an, Abu Sayyaf terkenal dengan penculikan, pengeboman dan pemenggalan kepala orang tebusan di selatan Filipina sejak dua dekad yang lalu. Kumpulan itu, yang berpusat di dan sekitar pulau Jolo dan Basilan di bahagian barat daya Filipina, telah disenaraihitamkan oleh Amerika Syarikat sebagai organisasi pengganas asing.

Sabah diletakkan di bawah perintah berkurung mulai senja ke fajar sejak beberapa bulan lalu ketika pihak berkuasa mengambil langkah untuk mengurangkan pergerakan kumpulan bersenjata yang terlibat dalam kegiatan penculikan bagi mendapatkan wang tebusan.

Malaysia telah menandatangani perjanjian dengan Filipina dan Indonesia pada 2017 bagi melancarkan rondaan tiga pihak di rantau ini, yang bertujuan untuk mengurangkan risiko penculikan dan tindakan pengganas lain.

Lihat Laman Penuh