Peguambela Selar Pendakwaraya Dalam Kes Pembunuhan KJN

Hadi Azmi
2018.03.14
Shah Alam, Malaysia
180314-MY-KJN-620.jpg Peguam, Hisyam Teh Pok Teik, yang mewakili tertuduh Doan Thi Huong, seorang wanita Vietnam, bercakap dengan pemberita di luar bangunan Mahkamah Tinggi Shah Alam di Malaysia, 14 Mac, 2018.
[Hadi Azmi/BeritaBenar]

Peguambela wanita Vietnam yang dituduh membunuh abang tiri pemimpin diktator Korea Utara tahun lalu menuduh pihak berkuasa Malaysia bersikap prejudis terhadap anak guamnya, sambil menyoal saksi utama pihak pendakwaraya pada Rabu.

Hisyam Teh Pok Teik, yang mewakili tertuduh, Doan Thi Huong, berkata beliau menerima surat daripada Peguam Negara Malaysia bertarikh 4 Disember 2017, dan menolak permintaannya untuk membantu perbicaraan dengan membawa saksi dari Vietnam untuk hadir di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Doan sedang dibicarakan bersama dengan Siti Aisyah, seorang wanita yang berasal dari Indonesia, atas tuduhan membunuh Kim Jong Nam dalam satu serangan kimia di Lapangan Terbang Kuala Lumpur pada 17 Februari 2017. Kedua-duanya berhadapan dengan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Terdahulu itu, peguam Siti Aisyah, Gooi Soon Seng, telah menamatkan sesi pertanyaan berbalas dengan penyiasat utama Polis DiRaja Malaysia, Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz.

Sebelum mengakhiri sesi beliau, Gooi sempat menyoal kes kerajaan terhadap anakguamnya itu, dengan mendakwa bahawa rakaman CCTV yang ditayangkan semasa fasa pendakwaan telah disunting, lantas telah menggugat kedudukan para defendan.

Permintaan ditolak


Hisyam telah meminta pejabat Peguam Negara pada November lepas untuk membantu meyakinkan rakyat Vietnam, Nguyen Vich Thuy untuk datang ke Malaysia bagi memberi keterangan mengenai peranannya dalam memperkenalkan Doan kepada seorang lelaki Korea Utara, yang didakwa telah menipu wanita berkenaan untuk mengambil bahagian dalam pembunuhan itu.

"Amat malang bahawa AG enggan menggunakan kuasanya untuk bertindak; oleh itu Polis Malaysia tidak berpeluang untuk pergi ke Vietnam untuk menyiasat," kata Salim Bashir, seorang lagi peguambela yang mewakili Doan.

Hisyam memberitahu mahkamah bahawa keterangan Nguyen sangat penting kerana beliau adalah orang yang telah memperkenalkan Doan kepada Ri Ji Hyon (alias Encik Y), salah seorang daripada empat lelaki Korea Utara yang melarikan diri dari Kuala Lumpur beberapa jam selepas pembunuhan itu berlaku, menurut keterangan dari Wan Azirul.

Hisyam juga mengkritik Wan Azirul kerana gagal mengambil langkah yang perlu untuk mendapatkan kenyataan Nguyen.

"Dalam menjalankan siasatan, anda sepatutnya mencari kebenaran, tetapi siasatan anda hanya tertumpu kepada rakaman CCTV," kata Hisyam. "Ada kebenaran di sana (di Vietnam) tetapi tiada siapa di Malaysia yang berminat."

Nguyen, menurut Hishyam, menolak permintaan pihak polis Vietnam dan peguambela untuk memberi keterangan mengenai Doan di Malaysia dengan alasan dia perlu menjaga anak kecilnya dan menguruskan restoran dan bar milik keluarga.

Affidavit diperkenalkan

Peguambela telah memberi dua kenyataan yang dibuat oleh Nguyen di Kedutaan Malaysia di Hanoi yang menggariskan penglibatannya di dalam insiden tersebut ketika bekerja dengan Doan di Hanoi sehingga 2016.

Dalam satu afidavit, Nguyen menyatakan bahawa beliau telah mencadangkan kepada Ri Ji Hyon supaya bertemu dengan rakan sekerjanya itu ketika Ri Ji Hyon datang ke barnya dua bulan sebelum pembunuhan itu.

Ri Ji Hyon. yang fasih bercakap dalam bahasa Vietnam, memperkenalkan dirinya sebagai ‘Lee’ dan juga memaklumkan bahawa ibubapanya berasal dari Vietnam dan Korea.

Ri Ji Hyon menyatakan yang beliau bekerja untuk sebuah syarikat perfileman Korea Selatan, dan sedang mencari calon untuk menyertai video bergurau (prank) untuk siaran di YouTube.

"Nguyen sendiri ditawarkan peranan tersebut tetapi menolaknya kerana beliau terpaksa menjaga anak kecilnya," kata Hisyam, sambil menambah bahawa Nguyen kemudian bertanya kepada Doan sekiranya berminat.

Affidavit menyokong kenyataan Doan kepada polis Malaysia bahawa dia seorang pelakon yang berada di Malaysia untuk berlakon di dalam video tersebut.

Nguyen juga berkata Ri Ji Hyon memberitahu Doan bahawa gurauan di dalam video itu akan dilakonkan di lapangan terbang di mana pelakon perlu mencurah air di kepala orang yang tidak dikenali. Tugas berkenaan memerlukan ‘pelakon’ untuk terbang ke bandar-bandar utama
di rantau (Asia Tenggara), termasuk Kuala Lumpur.

Afidavit Nguyen dan kenyataan Doan kepada polis adalah konsisten dengan kenyataan Siti bahawa dia percaya dia telah menyertai lakonan bergurau.

Sebelum selesai menyoalbalas Wan Azirul, Gooi menyelar penyiasat Malaysia itu kerana tidak membenarkannya berjumpa dengan Siti semasa ditahan reman selama 14 hari dan juga kerana menyiarkan sebahagian daripada video berkaitan dengan serangan terhadap abang tiri pemimpin  Korea Utara, Kim Jong Un.

"Saya memaklumkan kepada anda bahawa kegagalan anda untuk menyalin semua rakaman CCTV di lapangan terbang KLIA menjejaskan perbicaraan Siti," kata Gooi kepada Wan Azirul.

Beliau menambah bahawa polis gagal menyiasat bukti penting seperti jeans dan gelas Siti yang tidak dihantar untuk ujian makmal.

"Malah, ujian oleh Jabatan Kimia menunjukkan bahawa keratan kuku jari Siti, swab kuku dan darah tidak mempunyai jejak VX," kata peguam itu, merujuk kepada agen saraf yang dilarang di peringkat antarabangsa yang digunakan dalam serangan itu.

Gooi berkata beliau mungkin mempunyai lebih banyak soalan untuk Wan Azriul selepas peguam Doan selesai sesi soalbalas mereka.

Kenyataan Jabatan Negara Amerika Syarikat


Semasa sesi perbicaraan, Hisyam dan Gooi meminta Hakim Azmi Ariffin untuk membenarkan kenyataan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat yang mengesahkan bahawa kerajaan Korea Utara menggunakan VX untuk membunuh Kim. Ini adalah kenyataan rasmi pertama dari kerajaan AS yang menghubungkait kerajaan Korea Utara secara langsung dengan kematian Jong Nam.

"Amerika Syarikat mengutuk penggunaan senjata kimia untuk melakukan pembunuhan," kata jurucakap Heather Nauert dalam kenyataan bertarikh 6 Mac lalu.

Azmi berkata beliau akan membuat keputusan pada satu ketika dalam perbincangan sama ada untuk menerima kenyataan berkenaan.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.