Perpecahan Timbul Semasa Malaysia Hos Sidang Kemuncak Islam

Lex Radz & Ali Nufael
2019.12.18
Kuala Lumpur, Malaysia
191218-MY-mahathir-iran-1000.JPG Perdana Menteri Malaysia, Mahathir Mohamad, bertemu dengan Presiden Iran, Hassan Rouhani, di Pejabat Perdana Menteri di Kuala Lumpur, 18 Dis, 2019.
[Reuters]

Sidang kemuncak Islam yang dianjurkan oleh Malaysia bagi membincangkan isu-isu yang menjejaskan umat Islam di seluruh dunia telah menyebabkan perpecahan, dengan Arab Saudi enggan terlibat dalam perhimpunan itu dan Pertubuhan Kerjasama Islam [OIC] yang mempunyai 57 anggota pula memberi amaran bahawa ia boleh melemahkan Islam.

Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan, telah membatalkan kehadirannya pada saat-saat akhir di tengah-tengah dakwaan Arab Saudi bahawa sidang kemuncak tiga hari itu, yang secara rasminya bermula Khamis, boleh melemahkan peranan OIC yang berpejabat di Jeddah.

Naib Presiden Indonesia, Ma'ruf Amin, yang dijadual mewakili Presiden Joko Widodo, pemimpin negara Islam paling ramai di dunia, berkata beliau juga tidak dapat menghadiri sidang kemuncak itu atas alasan masalah kesihatan.

Perdana Menteri Malaysia, Mahathir Mohamad, berkata beliau telah menjelaskan kepada Raja Arab Saudi Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud dalam satu perbualan telefon pada lewat Selasa bahawa Sidang Kemuncak Kuala Lumpur bukan bertujuan mewujudkan blok baru Islam yang akan menyaingi OIC, seperti yang didakwa.

"Saya menjelaskan kepada baginda bahawa kita terlalu kecil untuk berbuat demikian," kata Mahathir kepada wartawan, sambil menyatakan bahawa Raja Arab Saudi itu menghubungi beliau bagi memberitahu mengapa baginda tidak menghadiri perhimpunan itu. "Baginda bimbang sesuatu yang tidak baik berlaku kepada umat Islam. Baginda mempunyai pendapat yang berbeza daripada kami. "

Penganjur sidang kemuncak itu berkata perhimpunan berkenaan akan menyediakan medan perbincangan "bagi memperbaiki kehidupan umat Islam di seluruh dunia." Pemimpin Turki, Iran dan Qatar - dilihat sebagai musuh Arab Saudi - serta beratus-ratus perwakilan dari hampir 60 negara akan menghadiri sidang kemuncak itu.

"Kami rasa kami perlu mengatasi Islamofobia," kata Mahathir dalam ucapannya semasa majlis makan malam bagi menyambut ketibaan perwakilan. "Kami perlu mencari cara untuk menangani kekurangan, kebergantungan terhadap bukan Islam untuk melindungi kami daripada musuh-musuh Islam." Beliau tidak menjelas lanjut.

Sidang Kemuncak Kuala Lumpur menyambut ketibaan para perwakilan pada Rabu ketika penganjurnya bertungkus lumus untuk memuktamadkan senarai para peserta serta agenda rasmi.

"Kami berusaha mengadakan sidang kemuncak ini kerana kami merasakan bahawa kami perlu melakukan sesuatu untuk memperbaiki kehidupan umat Islam di seluruh dunia," kata Mahathir dalam ucapannya sambal disambut sorakan daripada lebih 400 perwakilan dari 56 negara. "Kami merasakan bahawa kami perlu mengatasi Islamophobia."

Tetapi, Setiausaha Agung OIC Yousef al-Othaimeen berkata perhimpunan itu akan memecahbelahkan umat Islam.

"Ia bukan untuk kepentingan negara-negara Islam apabila mengadakan sidang kemuncak dan mesyuarat di luar kerangka OIC, terutamanya pada masa ini ketika dunia menyaksikan beberapa konflik yang berlaku," Othaimeen dipetik sebagai berkata dalam laporan AFP.

Organisasi berita di Pakistan, yang memetik sumber diplomatik, berkata Imran telah menghubungi Mahathir untuk memaklumkan kepada pemimpin Malaysia itu bahawa beliau tidak dapat menghadiri sidang kemuncak tersebut.

Imran yang bertemu Putera Mahkota Arab Saudi Mohammad Bin Salman di Riyadh pada Sabtu, di mana mereka turut membincangkan tentang hubungan dua hala, telah membatalkan kehadirannya itu bagi memuaskan hati Arab Saudi, kata laporan berkenaan.

Pemimpin Pakistan itu telah sepakat dengan Mahathir dan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan untuk mengadakan sidang kemuncak di Malaysia ketika mereka bertemu di luar perhimpunan agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di New York tiga bulan lalu.

Menteri Luar Pakistan, Shah Mehmood Qureshi, dijangka mewakili Islamabad tetapi beliau juga memutuskan untuk membatalkan kehadirannya, kata laporan itu, dengan pihak penganjur menanda kehadiran yang dijadualkan pada Jumaat dengan warna merah, sebagai petunjuk untuk mendapatkan pengesahan.

Agensi berita Malaysia, Bernama, memetik Mahathir sebagai berkata pada Selasa bahawa Imran mungkin mempunyai sebab tersendiri untuk tidak menghadiri sidang kemuncak itu.

"Itu pilihan beliau. Kita tidak boleh paksa. Tiada paksaan dalam Islam,"kata Mahathir kepada wartawan semasa beliau membuat tinjauan persiapan sidang kemuncak itu di sebuah pusat konvensyen di Kuala Lumpur. "Beliau tidak boleh menghadirinya, mungkin ada masalah lain."

Pejabat Perdana Menteri Malaysia sebelum ini mengesahkan bahawa jemputan telah dihantar kepada 56 anggota OIC, tetapi pihak penganjur berkata sehingga kini, kira-kira 20 anggota telah mengesahkan untuk menghantar perwakilan mereka ke sidang kemuncak itu.

Erdogan, Emir Qatar Sheikh Tamim Bin Hamid Al-Thani dan Presiden Iran Hassan Rouhani adalah antara pemimpin yang mengambil bahagian pada sidang kemuncak itu.

Penganjur sidang kemuncak berkenaan telah mengeluarkan senarai agenda yang menunjukkan bahawa para peserta akan membincangkan tentang pendidikan, jaminan makanan dan "pemeliharaan keselamatan negara" tetapi laporan berita menyatakan masalah seperti nasib pelarian Rohingya di Bangladesh dan Muslim Uyghur di wilayah Xinjiang, China juga akan dibincangkan.

Namun, menurut Mahathir, Raja Arab Saudi memberitahunya semasa perbualan telefon mereka bahawa "perkara-perkara itu tidak boleh dibincangkan oleh hanya dua atau tiga negara sahaja" dan OIC seharusnya menjadi forum untuk isu-isu penting yang melibatkan 1.8 bilion umat Islam di seluruh dunia.

"(Baginda berkata) perlu ada mesyuarat OIC. Saya bersetuju dengan baginda," kata Mahathir.

Semasa panggilan telefon itu, Raja Salman yang juga Penjaga Dua Kota Suci Islam, menekankan pentingnya melaksanakan tindakan bersama Islam menerusi OIC, lapor Agensi Berita Saudi (SPA).

Sebahagian besar negara Islam tidak langsung bersuara tentang penganiayaan yang dilakukan terhadap Muslim Uyghur.

China dipercayai telah menahan kira-kira 1.8 juta Uyghur dan minoriti Islam lain dalam kem tahanan sejak April 2017. Beijing menafikan tuduhan melakukan penganiayaan terhadap Uyghur sebaliknya menyatakan bahawa kem-kem itu menyediakan latihan vokasional. Ia enggan membenarkan pemerhati antarabangsa memasuki kem-kem tersebut.

Penganalisis: Mungkin alternatif bagi OIC

Sementara itu, penganalisis Malaysia memuji langkah mengadakan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur yang dilihat sebagai suatu alternatif yang berpotensi bagi OIC.

"Negara-negara lain harus melihat isu ini secara positif dan tidak memikir bahawa Malaysia cuba mengambil alih peranan OIC," kata Ahmad Marthada Mohamed, seorang profesor di Universiti Utara Malaysia, kepada  BeritaBenar.

"Negara-negara OIC harus mencermin diri mereka untuk melihat apa yang telah mereka lakukan untuk umat Islam. Sebagai contoh, isu Rohingya dan Uyghur di China. "

Tindakan keras yang diketuai pihak tentera di negeri Rakhine, Myanmar pada 2017 menyebabkan ribuan etnik Rohingya terbunuh dan memaksa lebih daripada 740,000 orang lagi melarikan diri demi keselamatan mereka ke negara jiran, Bangladesh.

"Sidang kemuncak KL digunakan untuk membincangkan masalah umat Islam dan meghasilkan resolusi yang perlu dilaksanakan," kata Mohamed.

Azam Azali dari Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa, bersetuju dengan Ahmad apabila beliau menyifatkan OIC sebagai "organisasi lemah."

"Matlamat sidang kemuncak ini bukannya untuk mengambil alih OIC, tetapi ia menjadi platform untuk membincangkan perkara-perkara yang tidak dapat diselesaikan oleh OIC,” katanya. "Lebih banyak negara lagi perlu menyertai sidang kemuncak ini."


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.