Ketua Pegawai Operasi Lembaga Tabung Haji Ditahan Reman Empat Hari

Ali Nufael & Hadi Azmi
2018.12.19
Kuala Lumpur, Malaysia
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
181219-MY-remand-620.jpg Jemaah haji berjalan menuju Jamarat untuk melemparkan batu pada tiga pilar yang merupakan sebahagian daripada ritual yang harus dilakukan semasa melaksanakan ibadah haji di Mina, di luar kota suci Mekah, Arab Saudi, 23 Ogos, 2018.
AP

Mahkamah Magistrate Putrajaya pada Rabu membenarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan reman Ketua Pegawai Operasi (COO) Lembaga Tabung Haji (TH), Adi Azuan Abdul Ghani selama empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes penyalahgunaan kuasa.

Perintah tahanan reman itu yang berakhir pada Sabtu telah dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim terhadap Adi, 48 yang ditahan di Ibupejabat SPRM semasa hadir untuk dirakamkan percakapan pada Selasa.

Pegawai kanan Tabung Haji itu ditahan badan pencegahan rasuah negara selepas beliau dipercayai menggunakan kedudukannya meminta balasan khidmat sebuah syarikat kontraktor penghias dalaman yang dilantik oleh TH untuk melakukan kerja-kerja pengubahsuaian di rumahnya.

Sumber SPRM yang dihubungi BeritaBenar memberitahu yang Adi ditahan kerana dipercayai menerima habuan berbentuk pengubahsuaian rumah di kediamannya berjumlah RM400,000.

“Rasuah tersebut diberi sebagai balasan selepas sebuah syarikat kontraktor itu berjaya mendapatkan projek kerja penjenamaan semula pejabat cawangan TH yang melibatkan kos sebanyak RM15 juta,” tambah sumber itu.

Siasatan SPRM akan dilakukan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Adi tiba di mahkamah kira kira jam 9.40 pagi bersama pegawai SPRM dan beliau diwakili Peguam Shaharudin Ali yang memberitahu media bahawa anak guamnya disiasat dibawah Akta SPRM kerana dipercayai menerima rasuah daripada seorang agen.

"Beliau disyaki menerima suapan daripada seorang individu yang menggelar dirinya sebagai agen dan berkemungkinan juga tempoh tahanan reman beliau akan disambung," kata Shaharudin pada Rabu.

Sebelum itu, ketika prosiding mendapatkan tahanan reman di mahkamah, Shaharudin telah meminta agar anak guamnya ditahan selama tiga hari, tetapi pihak pendakwaraya telah memohon sebanyak tujuh hari.

Hakim Shah Wira sebaliknya menetapkan tempoh tahanan reman selama empat hari sahaja selepas mendengar hujah daripada kedua-dua belah pihak.

"Saya menetapkan perintah tahanan reman selama empat hari keatas Adi Azuan dan penahan beliau akan berakhir pada Sabtu," kata Shah Wira.

Laporan polis

Minggu lepas, Syarikat perladangan Trurich Resources Sdn Bhd telah membuat laporan polis dengan mendakwa tiga bekas pengurusan tertinggi Lembaga Tabung Haji itu, telah mengelirukannya dalam pengambilalihan dua ladang kelapa sawit di Indonesia pada harga berlebihan yang berjumlah A$58 juta.

"Salah nyata dan menyembunyikan maklumat penting telah memudaratkan Trurich yang diperdaya untuk membuat bayaran berlebihan bagi kedua-dua tanah itu serta membeli balik saham-saham yang sudah dibayarnya," kata Trurich didalam satu kenyataan.

Laporan oleh Trurich, yang dimiliki bersama oleh Tabung Haji dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), telah dibuat di balai polis daerah Dang Wangi di Kuala Lumpur oleh setiausaha syarikat itu pada Khamis lepas.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif TH Ismee Ismail dan dua bekas ketua ketua pegawai eksekutif bagi perladangan, Zainal Azwar dan Rashidi Omar, serta dua rakyat Indonesia - Rajasa Abdurachman dan Badai Sakti Daniel – didakwa telah mengelirukan syarikat itu dalam pembelian lading-ladang kelapa sawit berkenaan, kata kenyataan itu.

Bulan lalu, Tabung Haji telah membuat dua laporan polis terhadap Ismee, bekas pengerusinya Abdul Azeez Abdul Rahim dan beberapa pegawai pengurusan kanan lain atas dakwaan salah laku kewangan.

Bagaimanapun, Abdul Azeez menafikan dakwaan dalam laporan polis itu dengan menyatakan bahawa ia dibuat dengan niat buruk.

Dilancarkan pada 1963, dana Islam berusia 55 tahun itu ditubuhkan untuk menguruskan simpanan umat Islam bagi menunaikan ibadah haji, dengan ia perlu bebas daripada faedah berbentuk riba yang dilarang dalam undang-undang Islam.

Sebelum ini pengurusan lama Tabung Haji turut ditempelak berhubung pendedahan menyatakan bahawa Tabung Haji memberi dividen kepada pendeposit walaupun ia dihimpit defisit, yang menunjukkan berlakunya salah urus kewangan semasa pentadbiran pimpinan Najib Razak, yang kini menghadapi pelbagai pertuduhan rasuah.

Mujahid Yusof, menteri yang bertanggungjawab bagi hal ehwal Islam berkata, aset Tabung Haji adalah bernilai RM70.3 bilion (AS$16.82 bilion) pada Disember 2017 tetapi liabilitinya berjumlah RM74.4 bilion (AS$17.8 bilion), yang mengakibatkan defisit sebanyak RM4.1 bilion (AS$980 juta).

Mujahid berkata, defisit itu melanggar Akta Lembaga Tabung Haji 1995, yang menetapkan bahawa aset itu tidak boleh lebih rendah daripada liabiliti dan ia mesti menjana keuntungan sebelum boleh mengagihkan hibah atau dividen.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.