Follow us

Polis Malaysia Tahan 12 Suspek Anggota Kumpulan Militan IS

Oleh Hata Wahari
2015-04-27
E-mel
Komen
Share
Seramai 11 daripada 12 orang yang ditahan polis di Hutan Lipur Gunung Nuang, di Hulu Langat, Selangor kerana dipercayai terlibat dengan kumpulan militan Negara Islam (IS) pada Sabtu lepas.
Seramai 11 daripada 12 orang yang ditahan polis di Hutan Lipur Gunung Nuang, di Hulu Langat, Selangor kerana dipercayai terlibat dengan kumpulan militan Negara Islam (IS) pada Sabtu lepas.
Gambar Ikhsan Polis Diraja Malaysia

Polis Malaysia berkata mereka telah menangkap seramai 12 orang yang disyaki mempunyai jaringan dengan kumpulan militan Negara Islam (IS) dan menggagalkan rancangan kumpulan itu, melancarkan serangan di ibu negara Kuala Lumpur.

Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi berkata, berikutan penangkapan pada Sabtu itu, polis kini mempunyai nama beberapa lagi anggota yang dipercayai kumpulan militan berkenaan.

Pendedahan itu dibuat semasa Malaysia pada hujung minggu menjadi tuan rumah Persidangan Negara-negara Asia Tenggara (Asean) yang dihadiri oleh kesemua 10 ketua-ketua negara di Kuala Lumpur, dan berakhir Isnin.

Pemantauan ketat

Ahmad Zahid berkata susulan daripadanya, polis juga membuat pemantauan ketat di lapangan terbang, laluan darat dan jalan tikus yang selalu digunakan oleh penyeludup.

“Polis turut memantau aktiviti komunikasi dan media sosial, dan saya boleh memberi jaminan bahawa sehingga kini polis berjaya mengesan saki baki kumpulan itu walaupun di mana mereka berada,” katanya dalam satu sidangan media pada Isnin.

Pada Ahad, Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar dalam satu kenyataan memberitahu, kumpulan 12 orang telah ditahan kerana dipercayai merancang untuk melancarkan serangan keatas sasaran-sasaran strategik serta berkepentingan kerajaan di sekitar Kuala Lumpur.

”Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman, berjaya menahan 12 lelaki yang dipercayai baru menubuhkan kumpulan militan IS, berusia antara 17 dan 41 tahun, sebagai   menyahut seruan kumpulan militan itu di Syria dan Iraq, melancarkan serangan ke atas kepentingan negara Islam sekular, yang dianggap mereka sebagai musuh,” kata Khalid.

Seramai 11 anggota kumpulan berkenaan di tahan di Hutan Lipur Gunung Nuang, Hulu Langat di negeri Selangor manakala seorang lagi di Cheras, Kuala Lumpur.

Bawa bahan kimia dan bendera IS

Khalid berkata semasa ditahan, mereka membawa bersama sembilan beg mengandungi bahan yang berpotensi untuk dijadikan bahan letupan atau bom. Antaranya bahan kimia, minyak tanah, alat kawalan jauh, penggera motor, pelbagai wayar, bateri, penimbang digital, paip pvc serta bendera IS.

"Ketika ditahan mereka dalam perjalanan ke satu tempat terpencil di kawasan Hutan Lipur Gunung itu, untuk menguji dan melihat keberkesanan bahan letupan, sebelum menggunakannya dalam beberapa siri serangan di Lembah Klang, “ kata ketua polis negara itu.

Pada Isnin, iaitu hari terakhir mesyuarat pemimpin ASEAN, telah mengambil deklarasi yang mengaris kearah keamanan, keselamatan dan pembangunan dengan terus memanfaatkan inisiatif untuk berkongsi amalan terbaik dalam memerangi kegiatan radikal dan menangani akar umbi ekstremisme.

Sehingga kini, jumlah rakyat Malaysia yang dilapor terlibat dengan IS adalah seramai 107 orang.

"Kumpulan 12 orang yang ditahan itu, juga dipercayai mahu membalas dendam terhadap polis, susulan penahanan anggota kumpulan militan IS di seluruh negara sejak Februari 2013," kata Khalid

Beliau berkata, 11 daripada 12 suspek itu ditahan menaiki empat kenderaan di satu kawasan terpencil di dalam hutan berkenaan manakala seorang yang juga dipercayai ahli kumpulan sama ditahan dalam serbuan susulan di sebuah rumah di Cheras, beberapa jam selepas serbuan di Hutan Lipur itu.

Khalid berkata, kesemua mereka yang ditahan itu terdiri daripada juruelektrik, pelajar, pekerja swasta, ahli perniagaan dan penganggur berasal dari Perak, Selangor dan Kuala Lumpur.

"Siasatan mendapati kumpulan ini merancang serangan ke atas pusat hiburan yang mempunyai unsur maksiat dan perjudian, dan mereka kini ditahan di bawah Kanun Keseksaan dan disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012,” katanya.

Akta Kesalahah Keselamatan yang diwartakan pada 2012 diwujudkan Malaysia ekoran pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960.
Akta yang lebih dikenali sebagai SOSMA itu memberi hak kepada seorang pegawai polis, boleh, tanpa waran, menangkap dan menahan mana-mana orang yang berkenaan yang mempunyai sebab untuk mempercayai terlibat dalam kesalahan keselamatan.

Mereka yang ditangkap boleh ditahan bagi tempoh 24 jam atau melanjutkan tempoh tahanan tidak lebih 28 hari untuk tujuan penyiasatan.

Kesemua 12 yang ditangkap itu tidak didakwa di bawah Rang Undang-undang Pencegahan Keganasan (POTA) yang telah diluluskan di Parlimen Malaysia baru-baru ini, kerana masih menunggu untuk diwartakan.

POTA yang antara lain membenarkan pihak berkuasa menahan suspek keganasan untuk tempoh yang tidak terhad tanpa perbicaraan, dalam usaha menangani sebarang kemungkinan ancaman.

Rang Undang-undang itu telah dikecam oleh pembangkang dan kumpulan hak asasi manusia kerana dilihat sebagai tamparan terhadap kebebasan awam.

Belajar buat bahan letupan di internet

Sementara itu Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Bukit Aman Ayob Khan Mydin Pitchay berkata mereka dipercayai belajar membuat bahan letupan melalui Internet.

“(Mereka) belajar daripada Internet. Ada 'manual mujahidin' dan bukan susah buat bom. Polis dapat sahkan mereka belajar melalui Internet,” katanya selepas menghadiri program taklimat berhubung ancaman IS di Shah Alam pada Isnin.

Ayub seperti dilaporkan oleh agensi berita nasional Malaysia (Bernama) berkata, sebarang jemputan penceramah dari negara luar kini perlu melalui tapisan keselamatan polis terlebih dahulu, sebagai langkah pencegahan awal dalam usaha mengekang ideologi militan dan ekstremisme.

Katanya langkah itu bertujuan menyekat penyebaran fahaman ekstremisme dalam ceramah agama daripada kalangan individu yang mempunyai kaitan dengan kumpulan IS.

"Sebelum ini terdapat beberapa individu yang tidak dibenarkan menyampaikan ceramah agama di negara-negara Arab dan juga beberapa negara Barat seperti Amerika Syarikat dan sebagainya, namun mereka boleh pula masuk ke negara ini atas sebab untuk menyampaikan ceramah agama," kata Ayub.

Lihat Laman Penuh