Malaysia Nafi Dakwaan Media Indonesia
2015.06.23
Malaysia menafikan dakwaan media Indonesia bahawa terdapat bot dan pesawat Malaysia yang memasuki perairan negara itu secara tidak sah di Ambalat yang terletak di pantai timur kepulauan Borneo.
Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) melaporkan Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein sebagai berkata, Malaysia dan Indonesia mempunyai hubungan baik sejak sekian lama dan telah membuka jalan dalam mengatasi pelbagai isu antara kedua-dua negara dengan cara perbincangan.
"Saya sempat bincang dengan Ryamizard (Menteri Pertahanan Indonesia) berkenaan isu ini dan beliau setuju supaya isu sebegini tidak disensasikan baik media dari Malaysia atau Indonesia dan juga di media sosial," katanya.
Beliau berkata semua pihak seharusnya tidak terpengaruh dengan rentak emosi dalam menangani isu seperti itu.
"Ini cara kita di ASEAN (perbincangan dan tidak menurut rentak emosi) daripada dulu lagi yang cukup berjaya membendung ketegangan antara negara, selain itu saluran diplomasi antara kementerian luar negara yang terlibat perlu juga diteruskan," kata Hishammuddin.
Beberapa Akhbar berbahasa Indonesia minggu lepas, mendakwa kononnya beberapa kapal perang Malaysia didapati memasuki wilayah perairan Ambalat sejak kebelakangan ini.
Panglima Tentera Nasional Indonesia (TNI) Jen Moeldoko pula dipetik sebagai berkata jika benar ia berlaku, beliau akan memberi peringatan kepada Panglima Angkatan Tentera Malaysia.
Moeldoko berkata, pihak angkatan tentera kedua-dua negara sebelum ini telah bersetuju untuk menjaga keamanan dan tidak mahu menimbulkan sebarang konflik.
Tiada ada aduan
Sementara itu, Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia berkata, setakat ini pejabat itu, tidak menerima sebarang aduan rasmi berhubung dakwaan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memasuki kawasan perairan Ambalat.
Duta Besar Malaysia di Indonesia Zahrain Mohamed Hashim berkata, jika benar perkara itu berlaku, kebiasaannya pihak kedutaan akan dimaklumkan mengenainya.
"Jika benar terdapat pencerobohan kapal tentera Malaysia di perairan Indonesia, kita akan dimaklumkan dan kita akan selesaikan secara diplomasi tetapi setakat ini tiada sebarang aduan mengenai dakwaan itu kecuali hanya cakap-cakap sahaja," katanya seperti dilaporkan Bernama.
Isu tuntutan bertindih antara Malaysia dan Indonesia di kawasan perairan di Laut Sulawesi dan Ambalat di antara Kalimantan Utara dan tenggara Sabah itu timbul sejak penerbitan peta oleh Malaysia pada 1979.
Peta itu menunjukkan kawasan sempadan maritim itu terletak dalam perairan Malaysia tetapi Indonesia membantah peta itu.
Jumaat lepas, Menteri Luar Indonesia Retno LP Marsudi berkata Indonesia mengemukakan bantahan rasmi kepada Malaysia yang tentera jiran itu didakwa menceroboh ruang angkasa dan perairan di wilayah Nunukan itu.
"Kami akan memeriksa koordinatnya untuk memastikan samada pesawat dan kapal Malaysia betul-betul berada di wilayah Indonesia," kata Menteri Luar itu.
Retno berkata, pihaknya berbincang dengan Panglima TNI Jen Moeldoko mengenai perkara itu.
Akhbar Jakarta Post pada 7 Jun lepas melaporkan Tentera Udara Indonesia memintas sembilan pesawat asing yang terbang secara haram di ruang angkasa Ambalat-Karang Unarang di Kalimantan Utara.
Laporan itu memetik Panglima Tentera Udara Indonesia yang berpangkalan di Tarakan, Kalimantan Utara, Lt. Kol Tiopan sebagai berkata, tentera udara negara itu mengesan jet dan helikopter tentera Malaysia memasuki ruang udara negara itu tanpa sebarang kebenaran.
H. Aleeya menyumbang kepada laporan ini