Polis Malaysia Tahan 17 Orang Dakwa Rancang Serangan Di Kuala Lumpur
2015.04.06
Seorang remaja 14 tahun, dan dua lagi yang dipercayai anggota kumpulan militan IS (Negara Islam) yang baru pulang dari Syria ditahan di beberapa lokasi yang tidak didedahkan.
Ketua Polis Khalid Abu Bakar dalam tweetnya berkata, l17 individu ditahan berhubung cubaan melakukan serangan keganasan di ibu negara Malaysia itu, bagaimanapun tidak memperincikan tangkapan terhadap kesemua suspek itu.
Sementara itu dalam perkembangan yang sama, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan rancangan menyerang balai polis dan kem tentera oleh mereka yang ditahan itu.
Katanya kesemua mereka berumur antara 14 hingga 44 tahun itu turut disyaki merancang melakukan penculikan terhadap beberapa individu berprofil tinggi.
Rancang buat bom
"Mereka juga merancang membuat bom kerana terdapat nota yang memperincikan proses pembuatan bom yang diperoleh daripada Imam Samudra dari Indonesia," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Pencegahan Keganasan (POTA) 2015 di Dewan Rakyat pada Isnin.
Imam Samudra, adik beradik Huda bin Abdul Haq alias Muklas, dan Amrozi bin Nurhasyim telah dihukum bunuh bersama-sama oleh skuad penembak pada tujuh tahun lepas, kerana memainkan peranan dalam pengeboman Bali 2002.
Zahid berkata, antara yang ditahan ialah bekas anggota Kumpulan Mujahidin Malaysia dan bekas tahanan ISA selain ada yang pernah menjalani latihan ketenteraan di Afghanistan dan Sulawesi.
Menteri itu seterusnya berkata ada juga yang pernah terlibat dalam cubaan merompak senjata api dari Balai Polis Guar Chempedak, Kedah pada 2001, selain ada yang baru sahaja pulang dari Syria selepas menyertai kumpulan militan IS.
Katanya, dua daripada mereka merupakan anggota tentera, dua pelajar, seorang pengawal keselamatan dan dua juruwayar.
"Ancaman ini adalah ancaman yang benar dan langkah-langkah pencegahan perlu dilakukan," tegasnya.
Kejayaan itu berlaku hampir seminggu selepas kerajaan Malaysia membentangkan POTA, yang antara lain membenarkan pihak berkuasa menahan suspek keganasan untuk tempoh yang tidak terhad tanpa perbicaraan, dalam usaha menangani sebarang kemungkinan ancaman.
Rang undang-undang itu, yang hangat dibahas di Parlimen sehingga lewat pagi Selasa itu, dijangka diluluskan secara undian sebelum tamatnya sesi persidangan dewan rakyat pada Khamis ini.
Kumpulan Hak Asasi minta Malaysia tarik balik POTA
Dalam reaksi segera kepada rang undang-undang yang dibentangkan itu, Pemantau Hak Asasi Kemanusiaan mengeluarkan kenyataan media di New York, menggesa kerajaan Malaysia menarik balik undang-undang anti keganasan yang dicadangkan, dan memastikan draf pada masa depan melindungi hak-hak asasi.
"Rang undang-undang Pencegahan Keganasan 2015 akan memperkenalkan semula penahanan yang tidak terhad tanpa perbicaraan atau semakan kehakiman, dan melanggar proses hak asasi atas nama mencegah keganasan. Undang-undang yang dicadangkan itu turut mencerminkan kemerosotan berterusan terhadap perlindungan hak asasi manusia di Malaysia. Untuk lebih berkesan, undang-undang untuk menangani keganasan harus memenuhi serta tidak melanggar standard hak asasi manusia antarabangsa" kata kenyataan itu.
Sehingga kini, pihak berkuasa telah menahan seramai 120 orang daripada kumpulan yang disyaki ada kaitan atau bersimpati dengan IS, atau yang telah berusaha untuk memasuki Syria atau Iraq kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman, Ayub Khan Mydin Pitchay seperti yang dilaporkan oleh beberapa laporan media tempatan Malaysia.
Seramai 67 rakyat Malaysia telah dikenal pasti pergi ke luar negara untuk menyertai jihad IS, dan lima orang telah meninggal dunia ketika berjuang untuk kumpulan militan itu.
Pemimpin pembangkang dan organisasi undang-undang di Malaysia menggesa kerajaan menarik balik undang-undang bahru yang dicadangkan itu, dengan menganggapnya sebagai menindas dan menambah polis tidak pernah berkongsi butir-butir mengenai dakwaan penahanan itu,
“POTA yang seperti Akta Pencegahan Jenayah (POCA) membenarkan tahanan tanpa bicara dan kediaman terhad atau dibuang negeri.Oleh kerana perkataan seperti ‘terlibat’, ‘gerakan’ dam ‘menyokong’ tidak didefinisikan dalam POTA, peruntukan undang-undang menjadi luas dan boleh disalah guna,” ujar Steven Thiru, presiden Majlis Peguam Malaysia dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad.