Follow us

Malaysia Nafi 70 Anggota Tentera Terlibat IS

2015-04-13
E-mel
Komen
Share
Anggota tentera Malaysia semasa perarakan Hari Angkatan Tentera ke-80 di Dataran Merdeka di Kuala Lumpur pada 21 September 2013.
Anggota tentera Malaysia semasa perarakan Hari Angkatan Tentera ke-80 di Dataran Merdeka di Kuala Lumpur pada 21 September 2013.
AFP

Timbalan Menteri Pertahanan Abdul Rahim Bakri menafikan laporan berita yang mendakwa berpuluh-puluh anggota tentera Malaysia terlibat dengan kumpulan militan Negara Islam (IS).

Pada awal Isnin, semasa menjawab soalan di persidangan Dewan Negara, Abdul Rahim telah dipetik oleh sebuah akhbar tempatan sebagai berkata sekurang-kurangnya 70 anggota tentera telah dikenal pasti oleh pihak polis mempunyai hubungan dengan kumpulan IS.

Tetapi lewat malam pada hari yang sama, agensi Berita Nasional Malaysia melaporkan penafian Abdul Rahim mengenai kenyataan itu, dengan berkata, "Laporan berita itu memutarbelitkan kenyataan saya”.

“Apa yang saya katakan ialah Polis Diraja Malaysia melaporkan ada hampir 70 rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang termasuk penganggur telah menyertai IS. Saya tidak pernah kata mereka anggota tentera,” katanya.

"Laporan itu berniat jahat untuk memburukkan imej Angkatan Tentera Malaysia tanpa merujuk fakta sebenar," katanya tanpa menyebut nama akhbar yang melaporkan berita itu.

Tinjauan BenarNews pada awal pagi Selasa waktu tempatan, mendapati beberapa laporan kenyataan Abdul Rahim mengenai penglibatan 70 anggota tentera dengan kumpulan militan itu telah dikeluarkan daripada laman web.

Pada 6 April lepas, Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi berkata seramai 17 individu yang ditahan polis berhubung cubaan melakukan serangan keganasan di ibu negara Malaysia itu, dua daripadanya adalah anggota tentera.

Minggu lepas kesemua media tempatan di Malaysia melaporkan mengenai penahanan 17 individu yang berumur antara 14 dan 49 tahun, kerana dipercayai terlibat dengan kumpulan IS.

Ada di antara mereka adalah bekas anggota Kumpulan Mujahidin Malaysia, seorang bekas tahanan ISA, ada juga yang pernah menjalani latihan ketenteraan di Afghanistan dan Sulawesi, dua pelajar, seorang pengawal keselamatan dan dua juruwayar.

Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar berkata dengan penangkapan terbaru itu, 92 orang telah ditahan kerana disyaki terlibat dengan jihad IS di Syria sejak Feb 2013, seperti laporan media tempatan.

Parlimen Malaysia pada minggu yang sama telah meluluskan Rang Undang-undang Pencegahan Keganasan (POTA) 2015 di Dewan Rakyat, yang antara lain membenarkan pihak berkuasa menahan suspek keganasan untuk tempoh yang tidak terhad tanpa perbicaraan, dalam usaha menangani sebarang kemungkinan ancaman.

POTA telah dikecam oleh pembangkang dan kumpulan hak asasi manusia kerana dilihat sebagai tamparan terhadap kebebasan awam.

Lihat Laman Penuh