Kumpulan Pelampau Negara Islam: Dua Lagi Ditahan Sebelum Berlepas ke Syria


2015.03.24
150324-MY-negara islam 620 Anggota keselamatan Malaysia Airport Berhad, memeriksa dokumen perjalanan penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang Malaysia pada 9 Mac, 2014.
AFP

Dua warganegara Malaysia, seorang lelaki dan seorang wanita, yang dipercayai dalam perjalanan ke Syria untuk menyertai kumpulan militan IS (Negara Islam), ditahan dalam tangkapan berasingan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak awal bulan ini.

Agensi Berita Nasional Malaysia melaporkan, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata suspek wanita berusia 28 tahun, seorang suri rumah berasal dari Kedah, ditahan di KLIA pada 7 Mac lalu ketika cuba berlepas ke negara jiran sebelum cuba menyusup masuk ke Syria.

Katanya  seorang lagi suspek, lelaki berusia 29 tahun yang merupakan kakitangan sebuah jabatan kerajaan berasal dari Sabah ditahan ketika beliau pulang dari luar negara pada 19 Mac lepas.

"Lelaki tersebut meninggalkan tugas sejak Disember 2012 dan mula menyusup masuk ke negara jiran pada awal Februari untuk menyertai kumpulan militan di sana sebelum merancang untuk berlepas ke Syria," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur semalam.

68 sejak Februari 2013

Penangkapan terkini itu, menjadikan jumlah militan yang ditahan setakat ini sebanyak 68 sejak Februari 2013.

Khalid berkata lelaki berkenaan berjaya ditahan oleh Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas, Bukit Aman ketika cuba menyusup masuk semula ke Malaysia dengan mengguna pasport sebuah negara jiran yang diperolehi secara tidak sah.

Beliau berkata lelaki itu, kembali ke negara ini disyaki bagi merekrut beberapa individu tempatan untuk menyertai militan IS di Syria.

Lelaki itu juga dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan seorang warga Malaysia yang telah menyertai kumpulan militan IS di sana.

Suspek ditahan di bawah Bab VIA Kesalahan Berkaitan Dengan Keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).

"Kami sedang menyiasat peranan kedua-dua mereka dalam rangkaian militan tempatan," kata Khalid.

Sementara itu, laporan akhbar The Star menyebut, antara 68 yang ditahan termasuk kakitangan awam, tentera laut dan tentera udara kakitangan dan pegawai bertugas dengan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

Seorang bekas pelatih Khidmat Negara, bersama-sama dengan beberapa pelajar universiti swasta dan awam, adalah antara tangkapan terbaru dibuat.

Polis masih memburu lima militan yang dipercayai mempunyai hubungan dengan IS dan kumpulan pengganas Abu Sayyaf dari Filipina.

Dipercayai bekas pensyarah universiti Dr Mahmud Ahmad (juga dikenali sebagai Abu Handzalah) dan pemilik kedai runcit Mohd Najib Husen, kedua-duanya berusia 36, di antara mereka yang sedang di buru.

Sekurang-kurangnya 500 pemilik akaun Facebook dikenal pasti menjalankan aktiviti merekrut dan cuba untuk menggalakkan rakyat Malaysia berjuang di Syria.

Oleh staf BenarNews dengan maklumat daripada laporan berita.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.