Sebelas Rakyat Malaysia Terlibat IS Maut di Syria dan Iraq

Oleh staf Berita Benar
2015.05.11
150511-MY-1SBOM620 Antara barangan membuat bom yang dirampas dari sekumpulan rakyat Malaysia yang dipercayai anggota kumpulan IS di Selangor, pada 25 April 2015.
Gambar Ihsan Polis Diraja Malaysia

Sebelas rakyat Malaysia yang dipercayai terlibat dengan Kumpulan militan Negara Islam (IS) telah terbunuh di Syria dan Iraq, kata seorang pegawai kanan polis pada Isnin.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, hasil daripada risikan, enam daripada mereka mati akibat letupan bom yang dibawa mereka sendiri, seperti laporan agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama).

“Enam daripada 11 rakyat Malaysia itu, menjadi pengebom bunuh diri, bukan pengebom berani mati, di Syria dan Iraq,” kata Ayob, yang tidak memberi penjelasan perbezaan antara pengebom bunuh diri dan berani mati.

“Kesemua mereka sudah dikenal pasti, jenazah mereka tidak dapat dibawa balik sebab berada di Syria, dan ada setengah terlibat melakukan pengeboman di Iraq,” katanya.

Beliau hanya memaklumkan, kumpulan militan IS mengeksploitasi istilah 'pengebom berani mati' untuk menghalalkan tindakan bunuh diri menggunakan bom,

"Ini konsep kumpulan militant,” kata Ayob

“Mereka akan ubah istilah dan gunakan istilah itu dengan berkata itu adalah operasi syahid dan ini menghalalkan tindakan mereka, kononnya siapa yang terlibat akan mati syahid," kata beliau

Katanya semua 11 mereka adalah lelaki, dari beberapa buah negeri di Malaysia.

Kerajaan Malaysia baru-baru ini mengumumkan seramai 119 rakyatnya terlibat dengan kumpulan militan IS, pada April lepas.

Ayob berkata pihaknya telah mengenalpasti terdapat kira-kira 80 rakyat negara ini yang telah menyertai kumpulan militan IS di Syria setakat ini.

"Angka ini mungkin meningkat dan mereka ini merupakan kumpulan pengganas yang unik kalau dilihat daripada cara mereka merekrut anggota dan lain-lain.

"Mereka juga mengeksploitasi golongan wanita dan ramai yang terpengaruh untuk menyertai kumpulan ini kemudiannya dijadikan hamba seks," kata Ayob.

Beliau berkata kumpulan IS ini bijak mengeksploitasi media sosial seperti Facebook, Twitter dan Youtube untuk menyebar propaganda mereka.

"Mereka ada beribu cyber trooper (perwira maya) yang akan menjawab balik apa sahaja kenyataan dari media berkaitan IS.

"Selain itu mereka ada membuat dokumentari dan macam-macam lagi," kata Ayob.

Beliau berkata ada di antara mereka yang cuba untuk pulang semua ke Malaysia.

Oleh staf Berita Benar dengan maklumat daripada laporan berita

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.