UK Sedia Ambil Balik 42 Kontena Bahan Buangan di Malaysia

Noah Lee dan Ali Nufael
2019.11.25
Kuala Lumpur
191125-MY-minister-trash-1000.jpg Yeo Bee Yin, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menunjukkan sisa plastik di dalam kontena yang diseludup masuk ke Malaysia di Westport, Pelabuhan Klang, Malaysia. 28 Mei 2019.
S. Mahfuz/BeritaBenar

Kerajaan United Kingdom telah bersetuju mengambil semula 42 kontena berisi bahan buangan plastik yang dihantar secara haram ke Malaysia antara Mac 2018 dan Mac 2019, umum kerajaan Malaysia dalam satu kenyataan bersama oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Mestecc) serta Pesuruhjaya Tinggi UK pada Isnin.

Malaysia berdepan masalah itu selepas China, yang menjadi pusat kitar semula dunia sejak sekian lama, menutup pintu terhadap bahan buangan termasuk sisa plastik tahun lepas dalam usaha republik tersebut melindungi alam sekitar dan kualiti udaranya.

Kenyataan itu menyebut bahan buangan plastik yang tiba di Pelabuhan Pulau Pinang dalam tempoh berkenaan dianggap sebagai penghantaran haram kerana kegagalan memenuhi kehendak dokumen pengimportan, dan persetujuan UK mengambilnya semula telah dibuat susulan lawatan rasmi oleh Agensi Alam Sekitar (EA) negara itu ke Malaysia baru-baru ini.

“UK telah bersetuju untuk menerima semula 42 kontena berisi sisa plastik yang dihantar secara haram ke Malaysia, menurut kehendak di bawah Konvensyen Basel.

“Pihak berkuasa dan ejen perkapalan sedang bekerjasama dalam proses repatriasi bahan tersebut,” menurut kenyataan itu.

Pesuruhjaya Tinggi UK ke Malaysia Charles Hay berkata pihaknya menganjurkan lawatan EA ke Malaysia susulan laporan berita mengenai penghantaran bahan buangan secara haram ke Malaysia dari negara itu.

Beliau berkata EA telah bermesyuarat dengan Mestecc, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta pihak berkuasa pelabuhan dan agensi berkaitan di Malaysia.

“Mesyuarat-mesyuarat ini telah menghasilkan persefahaman lebih baik mengenai rangka serta polisi pengawalan berkaitan urusan sisa plastik, serta pertukaran pengetahuan melalui perkongsian maklumat risikan, prosedur pemeriksaan, identifikasi dan pemulangan sisa plastik,” katanya.

Menteri yang bertanggungjawab ke atas Mestecc, Yeo Bee Yin, memuji langkah proaktif UK dan berkata kerjasama itu menunjukkan bahawa pencemaran plastik adalah satu isu global yang memerlukan komitmen semua negara untuk mengatasi masalah itu.

“Kami berharap bahawa kerjasama dan persefahaman di antara Malaysia dan UK ini akan menjadi contoh kepada negara lain yang mempunyai syarikat yang mengeksport sisa plastik ke negara membangun yang lain,” katanya.

Sementara itu, Hay berkata pengambilan semula 42 kontena itu menunjukkan komitmen British dalam melawan isu perdagangan haram sisa plastik.

Hay sebelum ini menegaskan bahawa UK tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan jenayah dan mengenakan sekatan kewangan terhadap mana-mana pihak yang didapati mengeksport sisa plastik secara haram.

Kenyataan pada Isnin menyebut kedua-dua pihak telah bekerjasama dalam sejumlah inisiatif sebelum ini bagi menangani pencemaran plastik termasuk menganjurkan tayangan perdana bagi rancangan Blue Planet II terbitan BBC Studio untuk meningkatkan lagi kesedaran awam.

Pada Mei lepas, JKDM Pulau Pinang mendedahkan bahawa pihak berkuasa mendapati sejumlah 265 kontena yang mengandungi sisa plastik ditinggalkan di Terminal Kontena Butterworth Utara sejak awal tahun ini.

Menurut laporan agensi berita rasmi kerajaan, Bernama, pemeriksaan mendapati kebanyakan kontena berasal dari negara maju seperti Hong Kong, Kanada, Belgium, Jerman dan Amerika Syarikat.

Pengarah JKDM Pulau Pinang Saidi Ismail berkata 149 daripada kontena itu telah diikrarkan sebagai barangan kitar semula manakala selebihnya belum diikrar dan tidak memiliki lesen import.

Pada Jun, Yeo berkata sebanyak 450 tan metrik sisa sampah dalam 10 kontena akan dihantar semula ke negara asal dalam masa terdekat.

Kabinet juga memberi mandat kepada Mestecc untuk menubuhkan pasukan khas membabitkan kerjasama pelbagai agensi bagi membolehkan siasatan terhadap kegiatan penyeludupan sisa plastik ke Malaysia.

Tindakan tegas itu bukan sahaja mendapat reaksi positif rakyat Malaysia malah liputan meluas pelbagai media antarabangsa.

Sementara itu, keputusan UK turut dipuji Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) yang menyifatkannya sebagai satu inisiatif yang patut dicontohi negara lain.

Presiden MNS Ahmad Ismail berkata negara yang mengeksport sisa plastik sepatutnya memikirkan cara untuk melupuskan bahan buangan itu dengan lebih kreatif atau menggunakan teknologi.

"Mengeksport plastik ke Malaysia bukanlah satu jalan penyelesaian malah akan menyebabkan masalah lebih besar bukan sahaja kepada Malaysia tetapi juga negara jiran serta dunia secara amnya," kata beliau kepada BeritaBenar.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.