Skandal Kewangan Malaysia Cetus Ketidaktentuan Politik, Pasaran

Oleh staf BeritaBenar
2015.07.06
150706-MY-NAJIB620 Perdana Menteri Malaysia Najib Razak sedang berdoa semasa menghadiri majlis berbuka puasa di sebuah masjid di Kuala Lumpur. 5 Julai 2015
AFP

Satu laporan yang mengaitkan Perdana Menteri Najib Razak dengan satu skandal kewangan telah mewujudkan ketidaktentuan politik dan pasaran negara kerana pihak berkuasa enggan memberi maklum balas langsung kepada dakwaan bahawa beratus-ratus juta dolar telah dipindahkan ke dalam akaun peribadi Najib, demikian menurut beberapa laporan.

The Wall Street Journal (WSJ) yang beribu pejabat di New York, Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat melaporkan bahawa penyiasatan dalam hal ehwal 1Malaysia Development Bhd (1MDB), sebuah dana negara yang berhutang, menunjukkan hampir AS$700 juta (RM2.64 bilion) telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi bank Najib.

Najib pantas menafikan dakwaan itu dengan menyatakan ia sebagai "sabotaj politik", tetapi Bank Negara, bank pusat Malaysia, dan sebuah bank swasta tempatan yang didakwa mempunyai akaun Najib, masih belum memberikan maklum balas terhadap laporan itu yang mendakwa wang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib.

Sementara itu, parti-parti pembangkang utama Malaysia meminta supaya diadakan sidang tergempar Parlimen untuk membincangkan tuduhan serius itu, dengan timbalan Najib menggesa supaya siasatan diadakan bagi mencari "kebenaran."

"Kita mahukan kebenaran," kata Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, lapor akhbar Sunday Star.

“Ini adalah satu dakwaan  sangat serius yang boleh menjejaskan kredibiliti dan integriti sebagai Perdana Menteri dan pemimpin kerajaan," kata Muhyiddin, ahli kedua paling berkuasa dalam Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), tonggak bagi gabungan Barisan Nasional yang memerintah negara.

Nilai ringgit jatuh

Pada Isnin, nilai matawang ringgit Malaysia jatuh kepada paras terendah dalam tempoh 16 tahun di tengah-tengah ketidaktentuan itu.  US$1 didagangkan bersamaan RM3.808 berbanding RM3.777 sebelum hujung minggu lepas, paras terendah dalam tempoh lebih 16 tahun.

Saham-saham Malaysia juga merosot 1.3 peratus di tengah-tengah laporan mengenai skandal kewangan itu selain saga rundingan hutang Greece.

Ooi Chin Hock,  peniaga di M & A Securities, memberitahu Agence France-Presse di Kuala Lumpur bahawa dakwaan yang menyelubungi  Perdana Menteri serta kegagalannya untuk bertindak balas secara khusus kepada tuduhan itu telah menyebabkan berlakunya ketidaktentuan.

"Harga minyak dan komoditi yang lemah, dengan kelembapan yang tidak dijangka dalam eksport ekonomi ketiga terbesar di Asia Tenggara juga memberikan tekanan ke atas ringgit," katanya.

“Keyakinan pelabur telah berkecai. Jika kita tidak selesaikan isu politik yang melibatkan Najib dan 1MDB, nilai ringgit boleh menyusut dengan lebih rendah."

The Wall Street Journal (WSJ) melaporkan dakwaan bahawa Najib menerima sehingga AS$700 juta (RM2.64 bilion) dalam pelbagai akaun peribadi dalam AmBank, bank kelima terbesar di Malaysia berdasarkan aset, antara Mac 2013 dan Februari tahun ini.

Tiada kenyataan jelas dari Bank Negara

"Tidak ada sebarang kenyataan yang jelas daripada Bank Negara Malaysia ataupun AmBank ... dan ini menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang ramai," kata seorang Ahli Parlimen UMNO, Reezal Merican, dalam satu kenyataan, menurut Singapore Straits Times.

Ia berkata Bank Negara, pengawal selia yang dihormati di kalangan perbankan antarabangsa, lazimnya akan dimaklumkan mengenai pemindahan sejumlah besar wang dalam akaun tempatan khususnya seperti dakwaan deposit sebanyak AS$620 juta (RM2.35 bilion) menerusi bank Switzerland yang berpejabat di Singapura pada Mac 2013.

Pada hujung minggu lepas,  Peguam Negara Malaysia Abdul Gani Patail berkata beliau telah menerima dokumen daripada satu pasukan petugas yang menyiasat 1MDB  yang "berkaitan dengan dakwaan"  bahawa wang dipindahkan ke dalam akaun Perdana Menteri, lapor agensi berita Reuters.

Beliau berkata pasukan petugas itu telah menyerbu pejabat tiga syarikat berkaitan pelabur negara itu tetapi tidak memberikan butiran lanjut mengenai keadaan atau kandungan dokumen  itu serta tidak menyatakan bentuk tindakan selanjutnya yang beliau nasihatkan kepada pasukan petugas itu.

"Dengan pengesahan Peguam Negara ini, dakwaan WSJ terhadap Najib kini semakin serius yang mencetuskan krisis politik dan kerajaan dalam magnitud pertama yang tidak pernah dilihat dalam sejarah 58 tahun Malaysia," kata Lim Kit Siang, ketua pembangkang Parti Tindakan Demokratik (DAP) di Parlimen, dalam satu kenyataan.

1MDB melalui beberapa kenyataan yang keluarkan berkata, syarikat itu tidak pernah memberikan apa-apa wang kepada Najib, yang berterusan menafikan sebarang salah laku.

Najib dan 1MDB juga menyatakan bahawa dokumen yang dibocorkan itu sebelum ini "dilaporkan" telah diubah suai, dan dokumen-dokumen yang disebut oleh WSJ juga tidak disahkan.

Najib pada Isnin menasihatkan rakyat Malaysia supaya terus bertenang. "Saya tidak akan khianati rakyat. Saya akan mencari jalan untuk tegakkan kebenaran, bertenanglah, kebenaran akan terbukti," katanya ketika berucap merasmikan sebuah sekolah di Terengganu, negeri di pantai timur Malaysia.

Rujuk peguam

Najib menafikan beliau mengambil sebarang wang untuk kepentingan peribadi, dan berkata beliau akan berbincang dengan para peguamnya untuk memutuskan langkah seterusnya bagi menangani "tuduhan berniat jahat" yang dibuat terhadap dirinya.

"Saya sudah merujuk kepada peguam dan mereka akan beri nasihat apakah tindakan susulan dalam bentuk undang-undang yang boleh dibuat dalam dan luar negara,

"Insya-Allah, saya akan buat keputusan dalam masa beberapa hari apa tindakan selanjutnya yang akan saya ambil berhubung dakwaan yang cukup jahat ini yang kononnya saya telah songlap atau mencuri AS$700 juta daripada 1MBD dan memasukkan duit tersebut ke dalam akaun peribadi saya," katanya pada Ahad.

Sementara itu, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Nazri Aziz berkata Perdana Menteri itu tidak perlu meletak jawatan hanya kerana akhbar menyiarkan dakwaan yang dilemparkan terhadapnya.

"Bukan menjadi amalan di negara ini seseorang itu perlu meletak jawatan atau bercuti sementara hanya kerana dakwaan yang dibuat terhadapnya. Di Malaysia, jika seseorang itu didakwa di mahkamah barulah dia perlu bercuti sehingga kes itu selesai," kata beliau pada Ahad.

Pada perkembangan yang sama, Menteri Besar Kedah Mukriz Mahathir berkata dakwaan mengaitkan bapanya Mahathir Mohamad dengan laporan WSJ dan pemalsuan dokumen 1MDB  adalah "tidak adil dan tidak benar.".

Najib yang mengeluarkan kenyataan mengenai laporan WSJ pada lewat Jumaat lalu, percaya bekas perdana menteri Mahathir Mohamad bersekongkol dengan warga asing termasuk serangan politik oleh blog Sarawak Report berhubungan pembohongan terbaru itu.

Najib turut mendakwa serangan bermula apabila beliau enggan melaksanakan permintaan peribadi Mahathir, dengan mempercayai bahawa ia bukan tepat untuk Malaysia ditadbir oleh proksi.

“Mahathir kemudian mencipta krisis apabila beliau secara melulu mendakwa bahawa RM42 bilion telah hilang daripada 1MDB, sedangkan hakikatnya ia adalah hutang diaudit yang disokong oleh aset diaudit bernilai RM51 bilion,” kata Najib dalam kenyataan yang dikeluarkan melalui laman Facebook beliau.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.