Seluar Bersalin Mesra Aurat Keluaran Malaysia Cetus Kontroversi

Oleh staf BeritaBenar
2015.07.10
150710-MY-MAMAPRIDE620 Wanita muslim Malaysia yang bertudung kepala atau "hijab", sedang sibuk membeli-belah di pusat bandar Kuala Lumpur. 30 Nov 2012
AFP

Seluar bersalin mesra aurat keluaran Malaysia mencetuskan kontroversi apabila badan-badan bukan kerajaan yang memperjuangkan nasib wanita mempersoalkan akan keselamatannya terutama semasa ibu-ibu yang menggunakannya sedang melalui proses bersalin.

Seluar bersalin jenama MamaPride, seperti seluar senaman dan mempunyai flap di bahagian kelangkang seperti cawat yang boleh dibuka semasa proses melahirkan itu, turut melindungi bahagian peha, lutut dan betis ibu daripada terdedah semasa proses bersalin.

Agence France-Presse melaporkan Evelynne Gomez, seorang pegawai komunikasi All Women's Action Society (AWAM) berkata "Kebanyakan pengamal perubatan menyarankan pakaian longgar, selesa dan boleh bernafas serta mudah dikeluarkan oleh doktor jika perlu.

Panjang seluar juga boleh menimbulkan masalah semasa proses bersalin kerana ia boleh mengganggu ketika peperiksaan sedang dijalankan. Hakikatnya seluar itu menyediakan ruang sangat kecil untuk melahirkan bayi, dan wujud kebimbangan bahawa keselamatan ibu dan bayi dikompromi,Gomez berkata.

"Seluar itu boleh menimbulkan risiko yang merumitkan semasa pembedahan kecemasan, kata Saira Shameem, penasihat program Tabung Kependudukan Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (UNFPA) dari ibu pejabatnya di Malaysia, seperti dilaporkan oleh agensi berita Reuters.

Beliau berkata, seluar itu adalah contoh bagaimana "tafsiran teks agama" berpotensi meletakkan keselamatan wanita, dan anak-anak dalam keadaan yang berisiko.

Sementara itu menurut laman web dan facebook MamaPride, seluar bersalin yang berharga RM99 ($26) itu mula dilancarkan di Kelantan pada 16 Jun 2014 dan mendakwa sebanyak 19 buah hospital di seluruh Malaysia menerima penggunaannya oleh ibu-ibu semasa kontraksi bersalin.

“Seluar itu juga tidak menghalang sebarang prosedur biasa semasa melahirkan, dan MamaPride mendapat khidmat nasihat daripada Mufti untuk memastikan aspek shariah tidak dikompromi, ” kata laman web MamaPride.

Masyitah Locman, seorang doktor dan juga ejen pengedar dalam talian, berkata beliau percaya mereka menawarkan pilihan untuk wanita.

"Ia bergantung kepada setiap individu kerana sesetengah wanita berasa lebih selesa memakai seluar ini semasa melahirkan anak manakala yang lain tidak selesa," katanya kepada AFP.

Masyitah berkata, bahagian pembukaan seluar itu adalah cukup besar dan selamat untuk melahirkan anak dan menambah bahawa kajian dan ujian telah dilakukan ke atas seluar itu di beberapa buah hospital swasta sebelum ianya berada di pasaran tahun lalu.

Rekaan 19 pekerja penjagaan kesihatan

Seluar MamaPride telah direka bentuk oleh sekumpulan 19 pekerja penjagaan kesihatan - lima daripadanya wanita - dari Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia, sebagai tindak balas terhadap kebimbangan ulama berkenaan wanita yang terdedah kepada doktor lelaki dan pelatih semasa proses bersalin.

Selepas kami menguji penggunaannya di sebuah hospital swasta di utara Malaysia, ia mula mendapat tempat dikalangan wanita dan berada di pasaran sejak setahun lalu, kata Wan Yusof, seorang doktor perubatan dan juga jurucakap MamaPride seperti yang dilaporkan Reuters.

“Syarikat menerima permintaan dari luar negara termasuk dari Britain, Ireland, Indonesia dan Singapura, tetapi buat masa ini pengeluaranya terhad di Malaysia.

"Kami belum membuat kajian menyeluruh mengenainya, jadi kami khuatir untuk menjualnya di negara-negara lain, kerana ia mungkin melanggar kaedah dan peraturan perubatan mereka," kata Yusof.

Bagi Azadeh Farzin dari Pusat Antarabangsa untuk kesihatan Ibu dan Bayi di Johns Hopkins University di Amerika Syarikat, seluar itu mempunyai kesopanan yang boleh membuatkan wanita merasa lebih selesa.

"Bagaimanapun, keselesaan itu perlu seimbang dengan rawatan perubatan yang mungkin boleh memberi petunjuk kepada kesejahteraan ibu dan anak dalam kandungan termasuk senario yang mungkin melarang penggunaan seluar."

Penjualan seluar bersalin mesra aurat itu kini sedang rancak berada di pasaran di seluruh Malaysia terutamanya pasaran ditalian serta mendapat sambutan dikalangan pelbagai peringkat umur di kalangan muslimah.

BeritaBenar yang cuba menghubungi ejen dan syarikat pengeluar gagal berbuat demikian kerana panggilan dan pesanan tidak dijawab.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.