Polis Malaysia Tahan Tiga Warga Rohingya Bantu Kes Sindiket Pemerdagangan Manusia

Oleh staf BeritaBenar
2015.06.23
150623-MY-3ROHINGYA620 Polis Diraja Malaysia memulakan kerja-kerja mengali kubur mayat mangsa pemerdagangan manusia kem transit haram di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, Perlis. 26 Mei 2015
AFP

=Polis Malaysia menahan tiga lelaki warga Rohingya yang dipercayai boleh membantu siasatan berhubung penemuan kem transit haram dan kubur mangsa pemerdagangan manusia di Perlis, Mei lepas.

Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar berkata, ketiga-tiga mereka merupakan pemegang kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan ditahan di Johor Baharu, Johor, tiga hari lalu.

“Mereka ini warga Rohingya dan ada kad pelarian UNHCR serta dipercayai pernah berada di kem transit haram sindiket penyeludupan manusia di Bukit Wang Burma, Wang Kelian,” katanya.

Pada 24 Mei lepas, Khalid telah mengumumkan penemuan 139 kubur yang dikesan pihak berkuasa di 28 kem transit haram yang dibina oleh sindiket pemerdagangan manusia di antara Kampung Wai di Kuala Perlis sehingga Tangga 100 di Felcra Lubuk Sireh, kira-kira sepanjang 11 kilometer (6.9 batu), yang bersempadan antara Malaysia dan Thailand.

Setakat ini 106 mayat telah dijumpai dan dihantar untuk proses bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.

Pada Isnin, kumpulan pertama 21 jenazah daripada 106 mayat yang ditemui di kem transit sindiket pemerdagangan itu, telah dikebumikan di tanah perkuburan Khairiah Kampong Tualang di daerah Pokok Sena, Kedah.

Penemuan kubur itu, adalah susulan operasi yang dilancarkan oleh polis Malaysia selepas pihak berkuasa Thailand menjumpai beberapa kubur besar yang mengandungi mayat manusia dipercayai pendatang asing di kem-kem transit haram di sekitar Padang Besar di daerah Songkhla yang bersempadan dengan Malaysia-Thailand awal Mei lepas.

Tahanan di kem transit haram


Khalid berkata, ketiga-tiga warga Rohingya yang ditahan itu dipercayai pernah menjadi tahanan di sebuah kem di Bukit Wang Burma sebelum berjaya memasuki Malaysia dan mendapat status pelarian.

Katanya, pihaknya memerlukan masa untuk meneruskan siasatan, dan masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan sama ada mangsa yang meninggal dunia itu telah diseksa atau dibunuh.

“Setakat ini, kita telah menemui satu mayat yang patah tulang rusuk. Kita tidak tahu sama ada mangsa itu jatuh atau didera…, tetapi laporan awal yang diterima menunjukkan kebanyakan mangsa yang meninggal dunia, telah didera atau dibunuh,

“Kami juga tidak sabar untuk mengetahui apa yang sebenarnya berlaku di kem itu, bagilah kami sedikit masa untuk meneruskan siasatan,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Khalid berkata, beberapa lagi pegawai polis akan dihantar ke Thailand untuk menyoal siasat suspek rakyat Malaysia yang ditahan pihak berkuasa negara itu berkaitan kes pemedagangan manusia.

“Ramai yang terlibat dalam sindiket pemerdagangan manusia telah ditahan oleh pihak berkuasa Thailand, dan kami sedang merancang satu persatu. Mereka pun belum selesai siasatan di sebelah sana…kami pun tidak mahu ganggu perancangan pihak Thailand, jadi kami kena bincang dengan mereka,” katanya.

Khalid bagaimanapun, tidak memaklumkan berapa ramai suspek rakyat Malaysia yang ditahan oleh pihak berkuasa Thailand.

Mengenai wujudnya lokasi kubur baru mangsa pemerdagangan manusia seperti di Wang Kelian, beliau berkata tidak ada kubur baru kecuali yang telah beliau umumkan.

"Polis telah selesai membuat pemeriksaan di kawasan sempadan. Saya percaya tentera juga telah melaksanakan tugas mereka, dan tiada laporan mengenai penemuan terbaru itu," katanya.

H. Aleeya menyumbang kepada laporan ini

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.