Dua Aktivis Ditahan Polis
2015.07.31
Dua aktivis muda yang menggesa pengunduran Najib Razak sebagai Perdana Menteri serta menganjur protes jalanan di sekitar Kuala Lumpur, telah ditahan Polis di bawah Akta Hasutan pada Jumaat.
Kedua-dua aktivis itu ialah Adam Adli dan Syukri Rezab yang ditahan di luar ibu pejabat Daerah Polis Dang Wangi selepas dipanggil untuk memberi keterangan mengenai protes jalanan yang dijangka berlaku pada Sabtu.
Seorang lagi aktivis, Mandeep Singh menyerah diri di Ibupejabat Polis Petaling, Brickfields, di Kuala Lumpur.
Adam adalah aktivis siswa manakala Shukri merupakan penyelaras sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Suaram. Mandeep pula adalah seorang aktivis yang mewakili BERSIH. Penahanan itu disahkan oleh peguam Michelle Yesudas yang mewakili Adam dan Shukri.
Penganjur perhimpunan itu terdiri daripada gabungan kumpulan anak muda yang menggelarkan diri mereka “Demi Malaysia." Mereka mempromosikan slogan #TangkapNajib, dan mengadakan protes itu untuk menggesa pihak berkenaan menahan Najib atas tuduhan rasuah dan salah guna kuasa.
Pada 2 Julai lepas, akhbar The Wall Street Journal (WSJ) yang beribu pejabat di Amerika Syarikat telah melaporkan tentang penyiasatan ke atas 1MDB yang didakwa telah menyalurkan hampir AS$700 juta (RM2.64 bilion) ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri.
Pelbagai dakwaan dan spekulasi dilontarkan oleh berbagai pihak bahawa AS$7.8 bilion (RM27 bilion) daripada sejumlah AS$122 bilion telah 'hilang' atau 'lesap'.
Najib, bagaimanapun, menafikannya dan menyifatkan dakwaan dalam laporan itu sebagai "tuduhan palsu," dan "sebahagian daripada kempen bersepadu sabotaj politik untuk menjatuhkan seorang Perdana Menteri yang dipilih secara demokratik."
Perdana Menteri itu kemudiannya mengambil langkah mengejut termasuk menyingkir timbalannya, Muhyiddin Yassin, yang lantang mengkritiknya, serta merombak kabinet, dan menyingkir Abdul Gani Patail, Peguam Negara, yang memimpin penyiasatan ke atas skandal 1MDB.
Seorang jurucakap daripada kumpulan aktivis itu berkata, mereka akan meneruskan protes di ibu negara, walaupun polis menahan tiga aktivis yang juga penganjur perhimpunan.
Polis pada Khamis turut merakam kenyataan seorang lagi aktivis yang juga merupakan bekas pengerusi BERSIH, S. Ambiga mengenai perhimpunan berkenaan.