ASEAN Setuju Memperkukuhkan Undang-undang Penguatkuasaan Jenayah Rentas Sempadan

Oleh staf BeritaBenar
2015.07.02
150702-MY-ASEAN620 Malaysia mempengerusikan Mesyuarat Tergempar Peringkat Menteri-Menteri Asean Mengenai Jenayah Rentas Sempadan Berkaitan Pergerakan Manusia Tidak Teratur di Rantau Asia Tenggara di Kuala Lumpur. 2 Julai 2015.
AFP

Negara anggota Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (Asean) pada Khamis bersetuju memperkukuhkan undang-undang penguatkuasaan untuk memerangi pemerdagangan dan penyeludupan manusia setelah berlakunya krisis penghijrahan beribu-ribu rakyat Bangladesh dan warga Rohingya ke Malaysia, Thailand dan Indonesia pada Mei lepas.

Menteri Dalam Negeri Malaysia Ahmad Zahid Hamidi berkata, negara anggota serantau bersetuju untuk berkongsi maklumat perisikan serta menawarkan bantuan perundangan bersama dalam usaha untuk memerangi jenayah rentas sempadan supaya semua anggota Asean mempunyai kelengkapan yang cukup untuk mendakwa penjenayah yang terlibat dalam pemerdagangan manusia itu.

“Mesyuarat telah memutuskan untuk menjalankan kajian mengenai pergerakan tidak teratur manusia dan jenayah merentas sempadan untuk menangani kesan jangka panjang isu ini, termasuk mewujudkan sektor komunikasi serantau yang menyeluruh yang melibatkan semua negara Asean,” katanya dalam kenyataan sebagai pengerusi pada Mesyuarat Tergempar Peringkat Menteri-Menteri Asean Mengenai Jenayah Rentas Sempadan Berkaitan Pergerakan Manusia Tidak Teratur di Rantau Asia Tenggara di Kuala Lumpur pada Khamis.
Salinan kenyataan dikeluarkan selepas mesyuarat tertutup itu berlangsung dan turut dihantar ke ibupejabat BeritaBenar di Washington DC.   

Malaysia kini adalah pengerusi Asean dan negara-negara anggotanya terdiri daripada Brunei, Filipina, Indonesia, Kemboja, Laos, Myanmar, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Kenyataan itu turut menyatakan bahawa mesyuarat berkenaan bersetuju untuk mengesyorkan kepada pemimpin Asean supaya menubuhkan Pasukan Petugas yang boleh bertindak balas dalam menangani krisis dan kecemasan yang timbul daripada pergerakan manusia tidak teratur di Asia Tenggara itu.

Persetujuan itu dicapai oleh semua 10 negara anggota Asean pada mesyuarat tergempar itu, yang diadakan bagi membincangkan tiga perkara utama mengenai jenayah rentas sempadan di Asia Tenggara.

Tiga perkara utama yang dibincangkan itu meliputi senario pergerakan manusia tidak teratur melalui darat dan laut di Asia Tenggara, hubungan antara pergerakan tidak teratur itu dengan penyeludupan dan pemerdagangan manusia, serta pelan tindakan dan pergerakan masa hadapan untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan.

Respon positif Myanmar

Sementara itu pada sidang media selepas mesyuarat itu, agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) melaporkan Ahmad Zahid sebagai berkata, wakil negara Asean terkejut dengan respons positif yang ditunjukkan Myanmar berhubung isu Rohingya pada mesyuarat tergempar itu.

"Saya terkejut bahawa Myanmar positif dan menerima dengan lapang dada dan hati terbuka terhadap pandangan negara ASEAN lain,  di mana Myanmar bersetuju untuk membantu Malaysia dalam membuat pemantauan terhadap sindiket pemerdagangan manusia.

"Kita memahami permasalahan yang dihadapi mereka dari segi penudingan jari masyarakat antarabangsa pada Myanmar, umpamanya tidak semua pelarian itu etnik Rohingya," katanya.

Menurut Ahmad Zahid, tidak adil sekiranya Myanmar diberi tekanan memandangkan tidak semua pelarian yang terkandas di perairan beberapa buah negara baru-baru ini merupakan etnik Rohingya.

"Hanya satu pertiga daripada pelarian dikenal pasti sebagai Rohingya manakala selebihnya dari Bangladesh dan negeri-negeri kecil sekitar Teluk Bengal," katanya.

Sementara itu The Straits Times melaporkan "Myanmar akan bekerjasama dengan negara-negara ASEAN dari segi undang-undang dan risikan dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap sindiket pemerdagangan manusia. Saya kagum dengan Myanmar," kata Ahmad Zahid.

Bagaimanapun, katanya, isu-isu tertentu mengenai penganiayaan yang dihadapi oleh Rohingya di wilayah Rakhine itu "tidak dibincangkan" kerana "kita tidak perlu terlibat dalam hal-hal dalam negeri mereka".

Namun, beliau membayangkan bahawa Myanmar sedar ia harus menangani masalah  masalah itu kerana ia memerlukan sokongan daripada ASEAN dalam krisis kemanusiaan yang telah mendapat perhatian dunia selepas seramai 7,000 orang dibiarkan hanyut di perairan antara Malaysia, Thailand dan Indonesia pada Mei selepas penyeludup meninggalkan bot-bot  mereka kerana bimbangkan tindakan tegas pihak berkuasa.

Penemuan sejumlah besar kubur-kubur di sempadan Thailand dan Malaysia terus memaksa  negara-negara itu untuk bertindak. Ketua Polis Malaysia Khalid Abu Bakar berkata pada Jumaat bahawa 19 suspek telah ditahan sejak penemuan 139 kubur  pada akhir Mei.

Polis Myanmar juga menumpaskan sindiket penyeludupan manusia, kata ketua jenayah transnasional negara itu  kepada pemberita pada Jumaat, selepas menahan 36 daripada 39 suspek dengan kerjasama pasukan di Thailand.

Tiga orang lagi masih bebas, tetapi dalangnya rakyat Thailand yang berkahwin dengan wanita Myanmar telah ditangkap di Yangon, kata Ketua Bahagian Jenayah Transnasional Soe Myaing.

"Rakyat Myanmar yang terlibat adalah anggota biasa manakala rakyat Thailand adalah rajanya. Siasatan kini sudah  70 hingga 80 peratus siap dan boleh diselesaikan dalam masa kurang daripada sebulan," katanya.

Mesyuarat itu juga bersetuju untuk menubuhkan satu tabung amanah untuk menampung kos usaha kemanusiaan dan bantuan, walaupun sumbangan daripada setiap negara anggota masih belum dimuktamadkan.

Zahid berkata, beliau mencadangkan setiap negara menyumbang  AS$100,000  (RM377,000) , walaupun Singapura menawarkan untuk menyumbang dua kali ganda daripada jumlah itu sebagai bayaran permulaan.

H. Aleeya turut menyumbang kepada laporan ini

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.