Dua Beranak Anggota IS Kena Hukum Penjara

Oleh staf BeritaBenar
2015.06.30
150630-MY-ISDUA620 Anggota Kumpulan militan Negara Islam di Syria, mengawal pintu sempadan antara Syria dan Turki berhampiran Akcakale, di wilayah Sanliurfa, Turki. 13 Jun 2015.
AFP

Mahkamah Tinggi Malaysia pada Selasa menjatuhkan hukuman penjara terhadap dua beranak yang merupakan bekas anggota kumpulan militan Negara Islam (IS) selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan terlibat dengan aktiviti keganasan.

Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) melaporkan, Hakim Kamardin Hashim menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap Murad Halimmuddin, 49, bekas pejuang kumpulan IS di Syria atas pertuduhan berpakat mempromosikan suatu perbuatan keganasan di Malaysia dan 18 tahun penjara lagi atas pertuduhan kedua iaitu memberi sokongan kepada perbuatan yang sama.

Bagaimanapun, Murad yang juga pemimpin kumpulan kerohanian “Fisabilillah” dan bekerja sebagai penjual buah tembikai bernasib baik kerana mahkamah memerintahkannya menjalani hukuman secara serentak bermula dari tarikh beliau ditangkap pada 5 April lalu.

Mahkamah juga memerintahkan anaknya, Abu Daud, 25, menjalani hukuman penjara 12 tahun  bermula tarikh yang sama, selepas mengaku bersalah memberi sokongan kepada perbuatan keganasan.

Kedua-dua beranak itu menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 130G(a) dan Seksyen 130J(1)(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun jika sabit kesalahan.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Hakim Kamardin berkata mahkamah mengambil kira pelbagai faktor termasuk peranan kedua-dua tertuduh itu ketika melakukan kesalahan tersebut selain faktor rayuan yang dikemukakan.

"Saya berhadapan tugas berat untuk menjatuhkan hukuman yang bersesuaian selepas mensabitkan kesalahan itu terhadap tertuduh. Mahkamah memandang serius kesalahan ini kerana boleh mengancam keselamatan negara," katanya.

Pada 30 April lalu, Murad dan anaknya didakwa bersama-sama empat lagi di Mahkamah Sesyen Alor Setar, Kedah, namun pada 31 Mei mahkamah memerintahkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di ibunegara, Kuala Lumpur.

Empat lagi yang didakwa bersama mereka ialah dua pegawai tentera Nor Azmi Jalani, 28, Mohd Yusri Mohamed Yusof, 27, Hadharami Hashim 38 (pembantu guru agama) dan Ali Saifuddin, 28, seorang juruwayar warga Indonesia.

Bagaimanapun keempat-empat mereka mengaku tidak bersalah dan akan dihadapkan sekali lagi di mahkamah pada Ogos ini.

Dua beranak tersebut didakwa berpakat mempromosikan suatu perbuatan keganasan di Malaysia antara 30 Jan hingga 5 April tahun ini di No. 61, Pengkalan Batu Hampar, Mukim Air Putih, Pendang, Kedah.

Murad turut berhadapan pertuduhan kedua iaitu memberi sokongan kepada perbuatan keganasan pada 29 Mac tahun ini di alamat yang sama pada 29 Mac tahun ini.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Shukor Abu Bakar memohon hukuman penjara yang maksimum atas alasan kedua-dua tertuduh melakukan kesalahan serius dan berat.

Bernama melaporkan, mengikut fakta kes, Murad, yang baru pulang dari Syria setelah berapa lama menjadi pejuang kumpulan militan IS, keluar dari negara ini melalui Bukit Kayu Hitam, Kedah untuk ke Bangkok, Thailand pada 27 Ogos, 2014 sebelum meneruskan perjalanan ke Istanbul pada 31 Ogos, 2014.

Ketika di Turki dia menyelinap masuk ke Syria dengan bantuan seorang lelaki bernama Abu Nour, dan semasa di Syria tertuduh menyertai kumpulan militan dan dibekalkan dengan senjata api bagi tujuan berjuang.

Tertuduh kemudiannya telah pulang ke Kedah melalui Bangkok dan menetap di Pendang, Kedah.

Pada 30 Jan lepas, Murad dan anaknya mengadakan pertemuan dengan beberapa individu dan kedua-dua tertuduh berpakat dengan beberapa anggota kumpulan militan IS di Syria untuk merekrut sekurang-kurangnya 20 individu bagi melancarkan jihad di Malaysia.

Pada perbincangan itu, anaknya Abu Daud mencadangkan supaya menculik beberapa pemimpin negara untuk dijadikan tebusan bagi membebaskan tahanan SOSMA (Akta Kesalahan Keselamatan [Langkah-langkah Khas] 2012) yang terlibat dalam aktiviti keganasan, yang ditahan sebelum ini.

Mereka turut berbincang untuk menggulingkan kerajaan dan merompak senjata di kem Hobart milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Gurun dan di Bukit Pinang, Alor Setar, Kedah.

Selepas mencapai jumlah merekrut tersebut, mereka bercadang untuk rompakan van keselamatan yang turun membawa wang tunai dari Genting Highlands bagi mengumpul dana untuk membiayai misi jihad mereka.

Anak beranak itu ditangkap ketika sedang menjual buah tembikai di gerai buah-buahan mereka di Kedah dan tangkapan itu berkaitan maklumat mengenai pakatan untuk melakukan kekacauan di Malaysia.

Terdahulu, dua beranak itu yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan Murad masih mempunyai hutang dan menanggung enam anak yang masih belajar, menghidap penyakit buah pinggang, jantung dan kencing manis manakala Abu Daud perlu menanggung tiga anak yang masih kecil.

Pada April lepas, Ketua Polis Khalid Abu Bakar dalam tweetnya berkata, 17 ditahan berhubung cubaan melakukan serangan keganasan di ibu negara Malaysia, bagaimanapun tidak memperincikan tangkapan terhadap kesemua suspek itu.

Sementara itu,  Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi berkata polis telah menahan 108 individu yang mempunyai elemen pembabitan dalam kegiatan militan IS sehingga 13 Jun lepas.

Bernama dalam laporannya pada 13 Jun lalu memetik Ahmad Zahid sebagai berkata, daripada jumlah itu, enam individu telah didakwa manakala selebihnya masih dalam siasatan polis.

Katanya hingga kini, sejumlah 66 individu dari Malaysia dilaporkan berada di Syria dan Iraq.

"Mungkin jumlahnya lebih besar ..apa yang kita peroleh setakat ini hasil daripada maklumat risikan," katanya.


Oleh staf BeritaBenar dengan maklumat dari laporan berita

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.