Gempa Bumi Di Sabah, Jumlah Korban Dijangka Meningkat
2015.06.05
Pasukan penyelamat telah membawa turun dua mayat mangsa gempa bumi dari Gunung Kinabalu ke kem kaki bukit pada lewat malam Jumaat.
Gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter yang berpusat di Ranau berlaku pada pukul 7.15 pagi Jumaat.
Ranau ialah sebuah daerah yang terletak dibahagian pantai barat utara negeri Sabah terletak kira-kira 108 km dari Kota Kinabalu, ibu negeri Sabah.
Ia merupakan sebuah daerah pelancongan yang terkenal kerana menempatkan Taman Negara Gunung Kinabalu.
Dua terbunuh
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Masidi Manjun mengesahkan mengenai pertemuan mayat pertama mangsa gempa bumi itu yang dikenali sebagai Robi Sapinggi, 30, seorang penduduk tempatan yang juga malim gunung Kinabalu.
Seorang budak perempuan warga asing yang tidak dapat dikenalpasti identitinya yang dipercayai sedang mengikuti rombongan sekolahnya turut terbunuh pada kejadian itu.
Masidi berkata seramai 137 orang pendaki bersama-sama 32 orang penunjuk arah dipercayai terperangkap di kawasan pergunungan berkenaan pada kejadian itu.
Katanya kesemua mereka dipercayai sedang berjalan turun menuju ke Laban Rata untuk menyelamatkan diri dan akan diberi perlindungan sementara dan makanan.
Seorang pegawai pasukan penyelamat berkata, mereka terpaksa bekerja keras dan mengejar masa untuk ke lokasi terutamanya di laluan Via Feratta di atas gunung itu, untuk menyelamat 10 pendaki yang dilaporkan tidak sedarkan diri.
Kebanyakan pendaki dan malim gunung dipercayai terperangkap di antara batu-batu selepas kejadian gempa bumi itu. Jumlah yang terkorban turut dijangka meningkat.
Gegaran akibat gempa bumi di Ranau pada 7.15 pagi ini turut dirasai di beberapa tempat di pantai barat Sabah termasuk Tambunan, Pedalaman, Tuaran, Kota Kinabalu dan Kota Belud.
Berikutan gempa bumi itu beberapa kerosakan dilaporkan berlaku termasuk keretakan jalan raya yang menghubungkan Ranau-Kundasang.
Usaha menyelamat diteruskan
Masidi berkata keadaan mangsa yang cedera akan dipastikan terlebih dahulu sebelum dimaklumkan kepada anggota keluarga mereka.
"Usaha mencari dan menyelamat pendaki akan diteruskan sehingga tengah malam ini, dan kita akan pastikan pendaki yang terkandas dapat dibawa turun ke Laban Rata.
"Apa yang menjadi keutamaan adalah untuk memberikan keperluan makanan, minuman, tempat tinggal, keperluan pakaian panas dan selimut untuk mereka," katanya.
Masidi tidak menolak kemungkinan kesemua pendaki terpaksa bermalam di Laban Rata, bagi memastikan keadaan mereka stabil sebagai persediaan sebelum dibawa turun ke Pondok Timpohon.
Beliau berkata seramai 52 pendaki telah dibawa turun ke pondok berkenaan yang merupakan pintu masuk untuk melakukan aktiviti pendakian.
Katanya,* 85 anggota keselamatan terdiri daripada Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Tentera Malaysia serta agensi keselamatan lain yang terlibat dalam operasi itu.
Dua helikopter milik Polis Diraja Malaysia telah memberikan bantuan makanan, minuman dan selimut di Laban Rata, katanya.
Sementara itu dari SINGAPURA Channel NewsAsia melaporkan sekumpulan pelajar Sekolah Rendah Tanjong Katong menyertai rombongan bersiar-siar di Gunung Kinabalu apabila gempa bumi bermagnitud 5.9 skala Ritcher itu berlaku.
Stesen televisyen tempatan itu melaporkan salah seorang ibu bapa daripada pelajar terbabit, James Ho sebagai berkata, sekurang-kurangnya lapan daripada pelajar itu bersama dua orang guru gagal dihubungi.
Para pelajar berusia 12 tahun itu bersama guru mereka dikatakan telah bertolak ke Gunung Kinabalu, Rabu untuk menyertai program kepimpinan dan dijangka kembali pada petang Isnin.
Tiga buah sekolah, Sekolah Menengah Fuchun, Sekolah Menengah Greenridge dan Sekolah Rendah Tanjong Katong, berada di Gunung Kinabalu untuk mengikuti pengembaraan sambil belajar di luar negara. Semua pelajar dan guru dari Fuchun dan Greenridge telah dikenal pasti dan persiapan dibuat untuk membawa mereka pulang.
Sementara itu, penduduk tempatan percaya kejadian gempa bumi itu berlaku akibat kemarahan aki (pelindung gunung) terhadap pelancong yang berbogel dan membuang air kecil selepas berjaya mendaki ke puncak gunung itu.