Lebih 10 Pegawai Imigresen Ditahan Sejak Awal Tahun

Oleh staf BeritaBenar
2015.06.10
150610-MY-IMIGRESEN620 Seseorang anggota Tentera Laut Malaysia berdiri mengawal sebuah trak yang membawa pendatang Bangladesh dan Rohingya dari pusat tahanan sementara di pangkalan tentera laut di Langkawi, untuk memindahkan mereka ke depot imigresen di Sik. 13 Mei 2015
AFP

Lebih 10 pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), telah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana di dapati melakukan pelbagai kesalahan termasuk melanggar integriti tugas sebagai pasukan penguatkuasa dan menerima rasuah sejak awal tahun lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Mustafa Ibrahim, berkata sehingga 31 Mei lepas seramai 37 pegawai Imigresen yang didapati melakukan pelbagai kesalahan pelanggaran integriti telah dikenakan tindakan tatatertib oleh jabatan itu.

Penahanan terbaru ialah pada Isnin lalu, apabila empat pegawai jabatan itu yang bertugas di Depot Tahanan Langkap, Hilir Perak, ditahan oleh sepasukan anggota SPRM kerana dipercayai meminta dan menerima wang suapan berjumlah RM12,000.

Kesemua mereka kini ditahan reman selama tujuh hari berikutan perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Ipoh, Perak pada Selasa, bagi membantu siasatan berhubung dakwaan yang mereka meminta dan menerima suapan kira-kira RM12,000 daripada tahanan pemegang kad Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) di depot tahanan itu.

Sumber SPRM berkata, kesemua mereka dipercayai meminta serta menerima suapan daripada 10 tahanan terdiri daripada pelarian Myanmar, Rohingya, Iran dan Yaman sejak November lepas.

Orang tengah

“Kemungkinan ada orang tengah membantu urusan memberi wang kepada pegawai-pegawai ini dan mungkin melalui saudara-mara pelarian, namun ia (dakwaan) masih dalam siasatan SPRM,” tambah sumber itu.

Sebelum ini, akhbar Utusan Malaysia melaporkan pada 5 Feb lepas, lapan pegawai termasuk seorang berpangkat Timbalan Penolong Pengarah Negeri Jabatan Imigresen Sabah telah ditahan oleh SPRM kerana dipercayai menjual ratusan Pas Lawatan Sosial (PLS) serta memalsukan butiran dokumen perkahwinan bagi meluluskan Visa Kemasukan Pelbagai kepada warga asing terutamanya warga Pakistan.

Penahanan oleh SPRM itu disifatkan terbesar di Sabah melibatkan pegawai Imigresen tersebut.

Kesemua mereka ditahan di pejabat masing-masing iaitu lima orang pegawai di Lahad Datu, dua di Kota Kinabalu dan seorang di Sandakan.

Pada 5 Jun lalu, tiga daripada lapan pegawai yang ditahan itu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Tawau terhadap tuduhan bersubahat memalsukan butiran dokumen perkahwinan untuk permohonan Visa Kemasukan Pelbagai, antara 2012 dan 2013.

Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) melaporkan kesemua mereka didakwa memalsukan butiran di dalam dokumen perkahwinan beberapa pasangan dan meluluskan Visa Kemasukan Pelbagai warga asing, sedangkan perkahwinan itu tidak wujud.

Tiada kompromi lakukan kesalahan

Sementara itu, Mustafa berkata jabatan itu tidak akan berkompromi terhadap pegawainya yang melakukan pelanggaran integriti sehingga mencemarkan nama baik dan imej jabatan.

Beliau berkata, selain memandang serius sebarang isu integriti yang melibatkan pegawai-pegawainya, pihaknya juga tidak akan melindungi mereka yang terlibat dalam aktiviti tidak berintegriti.

"Jabatan Imigresen sentiasa telus dan memberikan kerjasama penuh dalam melaksanakan siasatan hingga ke akar umbi untuk memastikan segelintir pegawai yang melakukan kesalahan dikenakan tindakan.

"Jabatan Imigresen juga akan mengambil tindakan dan mengenakan hukuman yang serius jika pegawainya didapati bersalah," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Kenyataan itu susulan perintah tahanan reman selama tujuh hari ke atas empat pegawai imigresen yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Ipoh, Perak pada Selasa.

Mustafa berkata penahanan empat pegawai tersebut bagaimanapun tidak menjejaskan operasi Imigresen dalam melaksanakan tugas-tugas harian dan menyampaikan perkhidmatan.

Beliau berkata, bagi memastikan tahap integriti pegawai JIM berada di paras maksimum, Bahagian Integriti JIM sentiasa menjalankan program-program pematuhan dan kempen kesedaran memerangi rasuah dan salah guna kuasa.

Sebagai langkah proaktif menangani isu-isu berkaitan integriti, Mustafa berkata pihaknya menjalinkan kerjasama erat dengan SPRM dan Institut Integriti Malaysia serta menghantar laporan kepada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP).

Akhbar Utusan Malaysia pada 7 Feb lepas melaporkan, Mustafa mengakui wujud masalah integriti di kalangan pegawainya yang mengakibatkan berlakunya kes salah laku seperti penerimaan rasuah.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.