IS Bakar Pasport Rakyat Malaysia Yang Mahu Pulang

Oleh Hata Wahari
2015.07.31
150731-MY-IS620 Pasukan Polis Kecemasan Iraq pasukan berdiri di belakang sekumpulan lelaki berbagai etnik yang dipercayai mempunyai hubungan dengan kumpulan militan Negara Islam (IS) dalam satu operasi di bandar utara Kirkuk, Iraq. 2 Julai 2015
AFP

Kumpulan militan Negara Islam (IS) telah membakar pasport milik anggota IS dari Malaysia yang cuba pulang ke tanah air, menurut pihak berkuasa Malaysia.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman Polis Diraja Malaysia (PDRM), Ayub Khan Mydin Pitchay berkata, maklumat mengenai ancaman yang dihadapi oleh rakyat Malaysia di Syria itu disampaikan oleh pihak berkuasa Malaysia di Turki.

Turki, negara yang bersempadan dengan Syria telah menjadi negara transit bagi mereka yang ingin memasuki Syria.

“Siasatan PDRM mendapati kumpulan militan IS akan mengambil serta memusnahkan pasport mereka…. Ada dikalangan mereka yang mahu pulang ke tanah air ini cuba untuk mendapatkan pasport atau dokumen perjalanan baru di pejabat Kedutaan Malaysia di Turki,” katanya kepada BeritaBenar dalam satu wawancara di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Difahamkan, mereka yang mahu mendapatkan pasport baru di pejabat kedutaan perlu membuat laporan polis mengenai kehilangan pasport terlebih dahulu, mengisi borang permohonan, dan melampirkan beberapa salinan dokumen penting seperti kad pengenalan. Kesemua lampiran beserta laporan polis yang dibuat itu perlu disahkan terlebih dahulu.

Selain itu, mereka juga perlu sertakan dua keping gambar, mempunyai alamat tetap dan wang pos.

Ayub yang tidak mendedahkan bilangan mereka tetapi berkata, setakat ini, belum ada lagi yang tampil di pejabat Kedutaan Malaysia di Tukri untuk membuat pasport baru atau dokumen perjalanan mereka untuk membolehkan mereka keluar daripada negara itu.

Disember lalu, IS telah memenggal kepala 120 anggota kumpulan sendiri, kebanyakannya cuba kembali ke negara asal, jelas pemerhati Hak Asasi Manusia Britain yang berpengkalan di Syria

Tiket sehala


"Antara sebab mengapa Polis sentiasa tegaskan kepada pelbagai lapisan masyarakat yang mahu menyertai kumpulan militan supaya tidak menyertainya adalah kerana ia bagaikan mendapat 'tiket sehala', sekali anda melangkah ke sana, tiada jalan kembali, “ tambah Ayub.

Beliau berkata, siasatan turut mendapati beberapa rakyat Malaysia yang berada di Syria itu, cuba untuk pulang menyambut Aidilfitri dengan keluarga.

‘’Kita tahu ada yang mahu pulang. Sekiranya ada yang berjaya pulang, kita tidak akan bertolak ansur mendakwa mereka menurut undang-undang yang sedia ada,” tambah beliau.

Awal Julai lalu, seorang wanita Malaysia yang dipercayai berada di Syria, menyatakan rasa kesalnya kerana menyertai kumpulan militan itu dan mahu pulang ke tanahair.

Beliau bagaimanapun takut berbuat demikian kerana hukuman mati menunggu mereka yang cuba melepaskan diri dari kem IS.

Beliau yang dikenali sebagai Yusophin, 28, menyatakan kekesalannya kepada kakaknya yang bernama Sofie di Kuala Lumpur.

Akhbar The Straits Times dalam laporan ekslusif mengenai itu, baru-baru ini, menemubual Sofie, 31, seorang ibu kepada dua orang anak yang menceritakan kebimbangannya terhadap adik beliau yang berada di Syria itu.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi berkata polis telah menahan 108 individu yang mempunyai elemen pembabitan dalam kegiatan militan IS di Malaysia, sehingga 13 Jun lepas.

Katanya, daripada jumlah itu, enam individu telah didakwa manakala selebihnya masih dalam siasatan polis.

“Sehingga kini, siasatan kita mendapati sejumlah 66 individu dari Malaysia dilaporkan berada di Syria dan Iraq. Mungkin jumlahnya lebih besar ..apa yang kita peroleh setakat ini adalah hasil daripada maklumat risikan," katanya.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.