Malaysia Sedia Pelajari Cara Arab Saudi Pulih Anggota IS

Oleh Hata Wahari
2015.06.09
150609-MY-ARAB620 Seorang pejuang Syiah Iraq memegang cantuman kain berlogo kumpulan militan Negara Islam (IS) di bandar Baiji, utara Tikrit, Iraq. 7 Jun 2015
AFP

Malaysia bersedia mempelajari cara Arab Saudi memulih semula mereka yang terpengaruh dengan ideologi kumpulan militan Negara Islam (IS), kata Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi kepada BeritaBenar pada Selasa.

“Arab Saudi mempunyai pendekatan serta program khas untuk memulih semula ideologi rakyatnya yang terpengaruh dengan fahaman IS.

“Malaysia bersedia menjalinkan kerjasama dengan Arab Saudi serta negara-negara lain dalam menangani masalah kumpulan militan IS, baik dari segi menghalang penyebaran ideologi atau membendung serta menyedarkan masyarakat mengenai kumpulan itu,” katanya melalui mesej pesanan ringkas kepada BeritaBenar di Kuala Lumpur.

Kerajaan Malaysia pada April lepas, mengumumkan seramai 119 rakyatnya terlibat dengan kumpulan militan IS.

Hantar pasukan kaji metodologi

Ahmad Zahid berkata, Kementerian Dalam Negeri akan menghantar satu pasukan untuk mengkaji metodologi yang diguna pakai oleh kerajaan Arab Saudi dalam menangani masalah berkenaan.

Beliau berkata demikian kepada BeritaBenar selepas diminta mengulas mengenai kesediaan kerajaan Arab Saudi bekerjasama dengan Malaysia dalam soal pemulihan semula golongan yang terpengaruh dengan ideologi IS, semasa lawatan Perdana Menteri Najib Razak ke negara itu minggu lepas.

Najib dan rombongan beberapa menteri kabinet, termasuk Ahmad Zahid, melawat Arab Saudi serta turut berkesempatan mengadap Raja Salman Abdulaziz al-Saudi di Istana As-Salam di Jeddah pada Ahad lepas.

Ahmad Zahid berkata, “Malaysia sedang mempertingkatkan kerjasama dengan Interpol… juga bersetuju bahawa keperluaan peralatan moden dalam meningkatan aspek bina upaya sangat signifikan sebagai usaha menangani ancaman jenayah disamping kerjasama,”

“Arab Saudi turut melakukan tindakan yang sama,” tambah Ahmad Zahid.

Najib dalam satu sidang media dengan wartawan Malaysia yang mengikut lawatan beliau ke Jeddah berkata, kerajaan Arab Saudi telah menyatakan kesanggupan untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam soal memulihkan mereka yang terpengaruh dengan ideologi kumpulan IS.

Beliau berkata, Arab Saudi mempunyai program untuk memujuk golongan yang terpesong dengan perjuangan kumpulan pengganas itu,  supaya kembali semula ke pangkal jalan dan menjadi anggota masyarakat yang bertanggungjawab.

“Mereka mempunyai program tertentu dan kerajaan bersetuju menghantar sebuah pasukan untuk mengkaji....dengan cara ini kita dapat mempelajari kaedah yang digunakan," kata Najib selepas menghadap Raja Salman Abdulaziz al-Saud di Istana As-Salam seperti dilaporkan agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Setakat ini, 105 orang telah ditangkap di Malaysia atas dakwaan yang mereka mempunyai kaitan dengan IS. Usaha juga sedag dijalankan untuk mengenal pasti berpuluh-puluh lagi rakyat Malaysia berada di Syria dan Iraq.

Daripada jumlah itu, seramai sebelas orang terbunuh di kedua-dua negara itu.

Kumpulan pengganas IS telah menubuhkan pangkalan di Syria dan Iraq, bagi menjayakan rancangannya untuk mewujudkan khalifah Islam global.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.