Lapan Perampas Kapal Tangki Akan Didakwa di Malaysia

Oleh staf BeritaBenar
2015.06.22
150622-MY-ORKIM620 Kapal tangki Malaysia MT Orkim Harmony, yang berwarna biru dicat dengan warna hitam, manakala perkataan "Orkim Harmony" telah dikaburkan menjadi "Kim Harmon". Pada 11 Jun lepas, kapal tangki kepunyaan Magna Meridian Sdn Bhd, yang membawa muatan 6,000 tan minyak petrol RON95 bernilai RM21 juta ($5.6 juta) milik Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dilaporkan hilang selepas gagal dikesan dan dipercayai dirampas lanun.
Tentera Udara Diraja Malaysia

Malaysia akan mendakwa lapan penjenayah yang dipercayai merampas kapal tangki MT Orkim Harmony sebaik saja pihak berkuasa Vietnam menyerahkan kesemua mereka, kata Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, kesemua mereka akan dibawa ke muka pengadilan, sekurang-kurangnya pada Selasa ini selepas selesai proses mengekstradisi melibatkan negara Vietnam dan Indonesia.

“Polis Diraja Malaysia akan melakukan siasatan lebih lanjut setelah siasatan awal dilakukan oleh pihak berkuasa Vietnam.

"Malaysia mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Vietnam, Kemboja serta Thailand yang turut memberikan kerjasama kepada pihak penguatkuasa Malaysia," kata Ahmad Zahid seperti dilaporkan Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Pada 11 Jun lepas, kapal tangki kepunyaan Magna Meridian Sdn Bhd, yang membawa muatan 6,000 tan minyak petrol RON95 bernilai RM21 juta ($5.6 juta) milik Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dilaporkan hilang selepas gagal dikesan.

Kapal tangki yang sedang belayar dari Melaka ke Kuantan itu, dikesan kali terakhir pada kedudukan 31.5km (17 batu nautika) dari Pulau Aur  di antara Mersing dan Tanjung Sedili, Kota Tinggi, Johor.

Kapal itu membawa seramai 22 anak kapal yang terdiri daripada 16 warga Malaysia termasuk kaptennya, Nor Fazly Sahat, lima rakyat Indonesia dan seorang warga Myanmar.

Operasi menyelamat kapal berkenaan yang dirampas lapan orang lanun yang bersenjatakan pistol dan parang berakhir dengan kesemua anak kapal dibebaskan kira-kira pukul 2.30 pagi Jumaat lepas.

Perampas kapal itu telah ditahan oleh pihak berkuasa Vietnam berhampiran Pulau Tho Chu, di selatan Vietnam semasa cuba melarikan diri daripada pemburuan pada 6.30 pagi Jumaat lalu.

Sementara itu, Associated Press (AP) melaporkan, pihak berkuasa pantai Vietnam bagi wilayah selatan Kien Giang, Kolonel Doan Bao Quyet berkata, kesemua lapan yang ditahan itu adalah warga Indonesia berusia antara 19 dan 61 tahun, dan mereka mengakui bertanggungjawab merampas kapal tangki itu selepas disoal siasat.

"Pada mulanya mereka mendakwa mereka mengalami kemalangan di laut ketika menangkap ikan setibanya di Pulau Tho Chu di selatan pantai Vietnam pada Jumaat lepas,” katanya.

Bagaimanpun, apabila disoal siasat,  mereka mengaku terdapat 13 orang kesemuanya yang terlibat dalam rampasan kapal tangka itu, Quyet berkata.

Beliau menambah, penjenayah yang bersenjatakan pistol dan parang, mengambil alih kapal tangki, dengan lapan lelaki kekal diatas kapal tangki itu, manakala lima lagi menggunakan bot mereka untuk kembali ke Indonesia bagi mencari pembeli minyak petrol yang dirampas itu.

Quyet berkata, kesemua lapan penjenayah itu ditemui dengan berpuluh-puluh telefon bimbit serta sejumlah besar dolar Amerika dan Ringgit Malaysia.

Bernama melaporkan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) percaya terdapat lima lagi penjenayah terlibat dalam rompakan kapal tangki itu, masih bebas.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM, Laksamana Madya Maritim Ahmad Puzi Ab Kahar berkata, risikin agensi itu mengesahkan 13 penjenayah kesemuanya terlibat dalam rompakan itu.

Katanya mereka menggunakan bot tunda untuk merapati kapal, manakala lapan lagi menaiki kapal tangki tersebut semasa cubaan rampasan itu.

Jejaki lima yang masih bebas

"APMM telah berhubung dengan pihak berkuasa Indonesia berkaitan penjejakan baki lima penjenayah tersebut,

“APMM turut dimaklumkan oleh pihak berkuasa Indonesia bahawa bot tunda yang dipercayai digunakan penjenayah itu telah ditemui di Batam, dua hari lepas" katanya.

Ahmad Puzi berkata siasatan pihak berkuasa Vietnam menunjukkan mereka berpengalaman dalam melakukan rompakan di laut selain mahir dalam pengendalian kapal.

Katanya, pelbagai alat perhubungan ditemui semasa mereka ditahan, dan itu, menunjukkan mereka merupakan 'perompak profesional' yang mempunyai rangkaian yang luas.

"Susulan siasatan ke atas anak kapal yang diselamatkan itu mendapati penjenayah yang dikenali sebagai 'Ruslan', dipercayai ketua kumpulan itu, yang sering membuat panggilan dan bercakap menggunakan bahasa Inggeris.

Sementara itu, kapal tangki itu telah berlabuh dengan selamatnya, di Pelabuhan Kuantan pada Sabtu lepas, lewat lima jam daripada waktu ianya dijadualkan tiba, berikutan kerosakan enjin.

Sementara itu, tukang masak kapal tangki berkenaan, Mawit Matin, 46, yang cedera ditembak lanun dibenarkan keluar dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian pada Ahad. Mawit cedera di paha kiri ketika beliau cuba melawan seorang daripada perampas kapal itu.

Ketua Penguatkuasa APMM daerah 10 Kelantan, Nurul Hizam Zakaria berkata warga Indonesia itu dibenarkan keluar untuk membantu dalam siasatan ke atas kes rampasan itu.

Abang Mawit, Marsuki Mohamad Rito, 63, berkata "Apa yang penting dia telah selamat, kami sekeluarga bersyukur dia tidak mengalami kecederaan yang serius,"

Mereka berdua kelihatan dibawa keluar dari hospital berkenaan dan menaiki van yang dipandu oleh anggota APMM.

Timbalan Duta Indonesia di Malaysia, Hermono yang melawat anak-anak kapal di Pelabuhan Kuantan berkata, anak-anak kapal berkenaan menceritakan detik-detik cemas yang terpaksa dilalui mereka semasa kapal itu dirampas.

"Mawit yang berasal dari Bangkalan, semasa itu sedang membuka pintu kabin untuk membuang sampah, ketika buka pintu ada orang, lalu dia melawan langsung ditembak dan mengenai pahanya," katanya.

Tindakan itu dipercayai dilakukan untuk menghalang perompak berkenaan daripada memasuki kapal tersebut.

"Empat lagi anak kapal warga Indonesia, bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan. Malah selama ditawan juga tidak ada sebarang kekerasan fizikal dilakukan terhadap mereka serta anak kapal yang lain," katanya.

Selain tukang masak itu, empat lagi anak kapal warga Indonesia ialah Bambang Suryawan, 43, dari Tanjung Pinang; Nelson HasIholan Sitorus, 35, dari Dolol Marubun, Ntan Kombongan, 30, dari Sesean dan Iwan Asriadi, 39, dari Parepare.

Sementara itu Muhammad Aiman Shafiz Marzuki, 19, yang sedang menjalani latihan amali di kapal berkenaan berkata "Syukur Alhamdulillah kami bebas dengan baik. Rasa gembira apabila telah selamat,"

Beliau yang merupakan pelajar jurusan Diploma Kejuteraan Perkapalan Politik Teknik Ungku Omar di Ipoh, Perak, adalah antara 21 anak kapal yang selamat tiba di Pelabuhan Kuantan pada Ahad.

Kawasan Dermaga Petronas itu turut dikawal rapi polis bantuan pelabuhan dengan petugas media juga tidak dibenarkan mendekati anggota keluarga yang datang melawat anak-anak kapal berkenaan.

Oleh staf BeritaBenar dengan maklumat dari laporan berita

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.