MARA Akui Wujud Percanggahan Dalam Pembelian Hartanah

Oleh staf BeritaBenar
2015.06.24
150624-MY-MARA620 Stesen Flinders Street merupakan stesen keretapi di pinggir bandar Melbourne, Australia. 2 April 2010
AFP

Majlis Amanah Rakyat (MARA) mengakui telah mengesan wujudnya percanggahan dalam pembelian hartanah di Melbourne, Australia sebelum berita mengenainya disiarkan oleh akhbar harian Australia, The Age, kata Pengerusi majlis itu Annuar Musa di Kuala Lumpur pada Selasa.

Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) melaporkan Annuar sebagai berkata, arahan supaya diadakan audit dalaman ke atas semua anak syarikat lain dalam agensi itu telah dibuat termasuk bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menyiasat perkara itu, sejak beberapa minggu lepas.

“Audit dalaman dan siasatan SPRM masih berjalan,” katanya.

Akhbar Australia, 'The Age' melaporkan seorang pegawai tinggi MARA, seorang pegawai kanan dan seorang bekas ahli politik didakwa membelanjakan berjuta-juta ringgit dana kerajaan untuk membeli satu blok apartmen di Melbourne dalam penipuan hartanah.

Akhbar itu turut mendakwa 'sekumpulan pegawai Malaysia yang amat kaya' terlebih bayar sebanyak A$4.75 juta (RM13.8 juta) bagi blok apartmen di bandar raya itu pada 2013.

Ketiga-tiga pegawai itu didakwa 'membida lebih tinggi' bagi bangunan itu dikenali 'Dudley International House", daripada A$17.8 juta kepada A$22.5 juta (RM65.3 juta), dengan wang perbezaan itu dijadikan sebagai rasuah di tanah air.

Dudley International House merupakan asrama pelajar yang dibeli oleh MARA. Perbadanan tersebut menyediakan biasiswa untuk pelajar Malaysia yang melanjutkan pelajaran di luar negara.

Bangunan setinggi lima tingkat di subbandar East Caulfield menempatkan 115 pelajar tajaan MARA yang melanjutkan pengajian di Monash University.

MARA merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, yang ditubuhkan pada 1 Mac 1966, di bawah Akta Parlimen sebagai sebuah badan berkanun.

Fungi MARA adalah untuk membantu dan menggalakkan serta memudahkan perjalanan pembangunan ekonomi dan kemasyarakatan kaum bumiputera terutamanya di kawasan luar bandar.

Kesan beberapa kes penipuan

Annuar berkata, MARA Incorporated, adalah anak syarikat dan juga sayap pelaburan MARA yang bertanggungjawab dalam membeli bangunan seluas 30,279 kaki persegi selepas Mac 2013.

Beliau berkata selain pembelian Dudley International House itu, MARA turut mengesan beberapa kes disyaki penipuan membabitkan anak syarikat lain dalam agensi berkenaan semasa proses audit dijalankan.

Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang terlibat dan beliau memberi jaminan kepada orang ramai bahawa integriti MARA tetap utuh.

"Tiada perkara yang akan disembunyikan dan kami akan memastikan integriti kami tetap tinggi," katanya.

Sementara itu akhbar Sinar Harian melaporkan Annuar sebagai berkata, MARA Incorporated telah mula disiasat oleh SPRM dan Unit Audit Mara sejak dua bulan lepas.

Katanya, proses siasatan itu dibuat kerana terdapat beberapa subsidiari MARA, termasuk MARA Inc, tidak mematuhi peraturan.

Beliau berkata, tindakan penyiasatan telah pun diambil, walaupun ia tidak khusus kepada kes hartanah itu.

"Ini bukan berita mengejut, Mara sedang ambil tindakan. Laporan The Age hanya memberi maklumat tambahan dan kami akan terus mengambil tindakan susulan," katanya pada persidangan media berhubung dakwaan itu di Kuala Lumpur pada Selasa.

Bernama dalam laporannya memetik Annuar sebagai berkata "Kami menyedari bahawa hartanah itu dibeli pada harga jauh lebih tinggi selepas akhbar Australia, The Age, menyiarkan laporan mengenainya semalam,"

Beliau berkata "MARA Incorporated membeli bangunan itu daripada pemaju pada harga yang berpatutan dan ini disokong oleh laporan hartanah daripada penilai profesional antarabangsa bertauliah,”

Beliau menjelaskan bahawa pembelian Dudley International House adalah sejajar dengan prosedur Mara seperti yang dinyatakan dalam laporan rasmi bahawa harga terbabit adalah berpatutan berbanding dengan nilai pasaran dan akan menjana hasil yang lumayan.

Cadangan pembelian itu melalui beberapa peringkat kelulusan oleh Jawatankuasa Panel Pelaburan Mara, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Kewangan dan akhirnya kelulusan daripada Majlis Ekonomi Negara, yang dipengerusikan perdana menteri.

Beliau berkata, selepas mendapat kelulusan, pembayaran bagi pembelian bangunan itu kemudiannya dibuat. "Pembelian itu dibuat berlandaskan prosedur dan sebarang penipuan adalah di luar pengetahuan kami,".

Serah laporan dalam masa seminggu

Berikutan laporan itu, Annuar berkata MARA Incorporated diarah supaya mengemukakan laporan audit interim berhubung pemerolehan itu dalam tempoh tujuh hari, bermula Selasa.

"MARA Incorporated diberi masa seminggu, untuk menyerahkan laporan mengenai pembelian bangunan pada harga A$22.5 juta.

"Kami jamin bahawa jika terdapat penipuan atau salah laku dalam transaksi itu, kami akan mengambil tindakan terhadap pihak berkenaan," katanya.

Annuar berkata, dalam tempoh 14 hari, MARA akan mengadakan mesyuarat majlis itu, untuk membincangkan tindakan yang patut diambil termasuk penggantungan khidmat para pegawai kanannya yang didapati terlibat dalam penipuan itu.

Beliau berkata MARA Incorporated ditubuhkan pada tahun 2008 untuk mencari peluang pelaburan dalam industri hartanah di pasaran domestik dan antarabangsa.

MARA Incorporated pada masa ini mempunyai asset bernilai RM600 juta ($172 juta) di Australia dan sebuah hotel di London, United Kingdom.

Perdana Menteri Najib Razak pada Selasa menegaskan dakwaan rasuah yang mengaitkan beberapa individu dalam pembelian hartanah oleh agensi kerajaan itu, akan disiasat secara terperinci.

"Pihak berkuasa di sini akan menyiasat secara terperinci dakwaan tersebut, dan seandainya ada sebarang salah laku dan penyelewengan, tindakan akan diambil," katanya dalam kenyataan menerusi laman sosial Facebook dan Twitter miliknya.

Najib turut melahirkan kekecewaan apabila kenyataan Pengerusi MARA Annuar Musa berhubung pembelian hartanah itu telah diputarbelitkan sesetengah media.

Najib menjelaskan keputusan mengenai pembelian hartanah itu dibuat secara konsensus oleh Majlis Ekonomi.

"Saya kecewa bahawa kenyataan Annuar Musa diputar-belit oleh sesetengah media. Keputusan hanya dibuat secara konsensus oleh Majlis Ekonomi.

"Walau bagaimanapun, siasatan akan dilakukan oleh pihak berkuasa," katanya dalam catatan di laman Facebook dan Twitter beliau pada Selasa.

Najib berkata, sekiranya ada pihak yang didapati menipu atau cuba memperdaya ahli-ahli mesyuarat Majlis Ekonomi dengan butiran yang tidak tepat atau lengkap, tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab.

Sementara itu, SPRM akan meneliti laporan berita luar negara yang mendakwa pegawai kanan MARA terlibat dalam penipuan pembelian hartanah di Melbourne, Australia itu.

Bernama melaporkan sumber SPRM sebagai berkata, suruhanjaya itu akan meneliti laporan media berkenaan dan akan mengambil tindakan selanjutnya sekiranya terdapat unsur rasuah seperti yang dilaporkan.

"Setelah segala maklumat awal dikumpulkan dan terbukti adanya unsur rasuah, barulah kita ambil tindakan mengikut Akta SPRM," kata sumber itu pada Selasa.

Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar dilaporkan portal berita Malaysiakini sebagai berkata polis sedang menentukan sekiranya terdapat unsur-unsur pecah amanah dalam urusan pembelian itu.

"Jika tidak, perkara itu akan disiasat oleh SPRM. Siasatan sedang dijalankan dan semua pihak yang berkaitan akan disoal siasat termasuk rakaman kenyataan Pengerusi MARA," katanya.

Oleh staf BeritaBenar dengan maklumat dari laporan berita

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.