Vietnam Tahan Lapan Rompak Kapal Malaysia

Oleh H. Aleeya
2015.06.19
150619-MY-TUDM Tentera Udara Diraja Malaysia sedang menjalankan kerja menyelamat seorang anak kapal MT Orkim Harmony yang cedera di perairan Laut China Selatan. 19 Jun 2015
ehsan Tentera Udara Diraja Malaysia

Pihak berkuasa Vietnam telah menahan lapan orang lelaki yang dipercayai merampas dan merompak kapal tangki milik Malaysia MT Orkim Harmony di perairan Pulau Tho Chu di selatan negara itu pada Jumaat.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Madya Maritim Ahmad Puzi Ab Kahar berkata, mereka yang menaiki sebuah bot penyelamat berwarna kuning ditahan kerana menceroboh perairan negara itu, dan dipercayai cuba melepaskan diri daripada pemburuan.

"Mereka (perompak) kini sedang disoal siasat oleh pihak berkuasa Vietnam,” katanya.

Dalam pada itu, Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana Abdul Aziz Jaafar dalam Twitter beliau, memuat naik gambar lapan lelaki yang disyaki mempunyai kaitan dengan kes MT Orkim Harmony.

Abdul Aziz dalam beberapa tweetnya juga memaklumkan "Lapan warga Indonesia, berjaya melarikan diri dengan bot penyelamat dan ditemui di Pulau Tho Chu (Vietnam)”

“Mereka (perompak) mendakwa kepada pihat berkuasa Vietnam, yang bot menangkap ikan mereka karam. Siasatan sedang dijalankan dan kami sedang menunggu pengesahan daripada pihak berkuasa Vietnam," katanya melalui tweet.

Pada 11 Jun lepas, sebuah kapal tangki kepunyaan Magna Meridian Sdn Bhd, yang membawa muatan 6,000 tan minyak petrol RON95 bernilai RM21 juta ($5.6 juta) milik Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dilaporkan hilang selepas gagal dikesan.

Kapal tangki yang sedang belayar dari Melaka ke Kuantan itu, dikesan kali terakhir pada kedudukan 31.5km (17 batu nautika) dari Pulau Aur  di antara Mersing dan Tanjung Sedili, Kota Tinggi, Johor.

Kapal itu membawa seramai 22 anak kapal terdiri daripada 16 warga Malaysia termasuk kaptennya, Nor Fazly Sahat, lima rakyat Indonesia dan seorang warga Myanmar.

Abdul Aziz dalam satu kenyataan media memaklumkan perompak yang gagal merampas serta mencuri muatan kapal itu, apabila berjaya dikesan oleh pihak berkuasa Malaysia, mengambil keputusan untuk melarikan diri.

Larikan diri

“Mereka melarikan diri dengan meninggalkan kapal tangki itu,lalu menggunakan sebuah bot penyelamat MT Orkim Harmony pada kira-kira 8.30 malam Khamis,

“Lima jam selepas itu, kapten kapal memaklumkan kepada KD Terengganu yang mereka telah bebas daripada tawanan perampas,” katanya

Beliau berkata, Nor Fazly semasa dihubungi, berada dalam ketakutan dan turut memaklumkan bahawa kesemua 22 anak kapal itu berada dalam keadaan sihat dan selamat kecuali seorang daripada mereka cedera.

Beliau berkata, Nor Fazly juga telah diugut akan diancam keselamatan keluarganya jika mendedahkan rancangan mereka untuk meninggalkan kapal.

"Mereka (perampas kapal) juga telah mengambil butiran peribadi keluarga Nor Fazly," katanya.

Beliau berkata, tukang masak warga Indonesia mengalami kecederaan ringan akibat ditembak di paha kiri dan telah diterbangkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan.

"TLDM sedang menyiasat punca berlaku kes tembakan keatas tukang masak itu," katanya

Kapal tangki MT Orkim Harmony kini dalam pelayaran ke Pelabuhan Kuantan dengan diiringi oleh kapal TLDM, KD Handalan dan dijangka memasuki pelabuhan itu pada jam 2.00 pagi Sabtu.

Abdul Aziz berkata, sebuah pesawat Tentera Udara Diraja Australia P-3C Orion, dua buah pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia C130 Hercules dan B200T- Beechcraft bersama tiga buah kapal dan dua helikopter TLDM terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat selama beberapa hari itu.

Pendakwaan di Malaysia

Dalam perkembangan yang sama Ahmad Puzi berkata, APMM telah berhubung dengan pihak berkuasa Vietnam bagi mendapatkan kerjasama, dan sekiranya mereka itu disahkan perompak yang terlibat dalam rampasan kapal tangki itu, usaha akan digerakkan untuk membawa penjenayah itu ke Malaysia untuk pendakwaan.

Bagaimanapun katanya, proses itu akan mengambil sedikit masa kerana perlu melalui beberapa saluran diplomatik.

Ahmad Puzi berkata, sehingga kini, APMM belum lagi mendapat pengesahan daripada pihak berkuasa Vietnam mengenai senjata yang digunakan semasa rampasan.

"Melalui pengalaman lepas, setelah mengetahuai mereka tewas, senjata yang dimiliki akan dibuang. Buat masa ini kami beri ruang [kepada] pihak Vietnam membuat siasatan," katanya.

Ahmad Puzi berkata, bagi memastikan penjenayah terlibat tidak terlepas daripada tindakan undang-undang, pihaknya akan segera merakam perbualan 22 anak kapal serta menjalankan siasatan forensik ke atas kapal tersebut sejurus berlabuh di Kuantan.

Ditanya mengenai kritikan sesetengah pihak bahawa pengawasan kurang berkesan pihak berkuasa menyebabkan perampas terbabit terlepas, Ahmad Puzi berkata dalam situasi sedemikian keselamatan anak kapal adalah lebih penting.

"Kapal itu bawa minyak yang mudah terbakar...tentulah kami letakkan keselamataan (anak kapal) sebagai keutamaan. Kes ini konklusif jadi fasa dua yang perlu kami buat adalah tindakan undang-undang," katanya.

Sementara itu, agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) melaporkan, Timbalan Pengarah Kanan Klinikal HUSM Dr Nik Min Ahmad sebagai berkata, tukang masak warga Indonesia itu, Mawit Martin, 45, dimasukkan ke hospital pada pukul 10.15 pagi Jumaat, selepas dibawa dari kapal itu menggunakan helikopter.

"Dia dilaporkan stabil dan sedang mendapatkan rawatan dengan pegawai perubatan yang bertugas. Kami akan beritahu perkembangan mengenai dia dari masa ke semasa," katanya.

Dalam pada itu, keluarga Muhammad Aiman Shafiz Marzuki, 20, seorang anak kapal yang sedang menjalani latihan praktikal di atas kapal yang dirampas bersyukur dengan berita yang diterima mereka.

Ibu Muhammad Aiman, Habibah Baharom, yang berasal dari Kuala Kedah memaklumkan mereka mendapat berita gembira mengenai berakhirnya episod tawanan itu melalui aplikasi whatsapp daripada syarikat perkapalan itu pada kira-kira pukul 7.30 pagi Jumaat.

“Berita kesemua mangsa termasuk anak saya merupakan hadiah menyambut Ramadan kerana sejak kejadian itu berlaku, kami sekeluarga tidak tidur lena.

“Kami berterima kasih kerana syarikat perkapalan sentiasa memberi laporan terkini mengenai operasi mencari dan menyelamat serta mereka yang sentiasa mendoakan kejadian ini berakhir,” kata Marzuki Ismail, bapa kepada Muhammad Aiman, semasa ditemui di rumahnya di Kuala Kedah, Kedah.

Adie Suri Zulkiflli turut menyumbang kepada laporan ini.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.